Selasa, Disember 13, 2005

Sepanjang interbiu itu Tengku Razaleigh Hamzah jelas menampakkan minatnya yang mendalam pada Kongres Kepentingan Bangsa yang akan berlangsung di Dewan Besar kampus Universiti Teknoloji Malaysia (UTM) Jalan Semarak,Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Disember ini.Dari riak wajahnya ada semacam satu nostalgia bila bercakap mengenai hal yang melibatkan kepentingan orang Melayu.Mungkin kerana penglibatannya dalam berbagai keputusan misalnya dalam penubuhan Petronas,Pernas,Bank Bumiputra semasa zaman pentabiran Allahyarham Tun Razak.Begitu juga sebagai Menteri Kewangan sewaktu dalam kabinet dulu.Atas sebab ini Tengku Razaleigh mempunyai `asas' yang kukuh untuk bercakap mengenai bab ini.Menurut Tengku Razaleigh kongres itu adalah himpunan terbesar para cendikawan Melayu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak 1946 bilamana badan-badan Melayu berhimpun di padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru Kuala Lumpur untuk mempertahankan maruah bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu sekaligus menolak Malayan Union. Niat dan tujuan Kongres Kepentingan Bangsa adalah jelas.

Namun begitu sebagai orang politik, peranan beliau sebagai pengerusi kongres ini yang akan menilai dan membuat rumusan untuk membantu menjayakan lagi usaha memajukan orang Melayu tentunya akan mencetuskan sosek itu ini.

Berikut ialah transkrip interbiu penuh dengan Tengku Razaleigh selaku Pengerusi Kongres Kepentingan Bangsa:

AGENDADAILY : Selalunya apa jua `gerak' Tengku pasti ada orang akan melihatnya dari sudut politik..Kongres ini melibatkan ramai cendikawan melayu dan pelbagai NGO. Tentu ada yang berkata what Tengku Razaleigh is up to now.

TENGKU RAZALEIGH :Sangkaan orang. ini terpulang pada perasaan dalam hati masing-masing.Kalau ada syak, tidak ada keyakinan penuh pada dirinya sememangnya boleh timbul bermacam-macam prasangka terhadap orang lain.

Bagaimanapun kita percaya bahawa tidak ada sebab mengapa atau sesiapa hendak mempunyai prasangka buruk seumpama itu terhadap apa yang hendak dilakukan oleh kita kerana apa yang hendak dilakukan oleh kita itu bertujuan baik.. niat kita adalah untuk membantu dan menolong.

Kita bukanlah golongan yang berkuasa, kita dari kumpulan kecil-kecil seluruh negara yang sanggup bersatu dan berpadu untuk mengemukakan gagasan yang difikirkan boleh membantu masa depan orang-orang Melayu dan juga negara.Saya berkata begitu kerana selain daripada orang yang barangkali mempunyai prasangka buruk terhadap apa yang hendak dilakukan oleh kita, ada juga golongan lain yang mungkin curiga terhadap apa yang hendak dilakukan oleh kita.

Kalau mereka yang berkenaan tidak memikirkan begitu maka ia tidaklah ada tanggapan seumpama itu.

Kalau saya telah dianggap seorang yang jahat dan hendak berbuat sesuatu yang jahat apa juga yang saya buat tidak akan jadi baiklah, mengikut pandangan orang berkenaan. Saya berserah pada Allah.

Bukan saya yang buat semua ini (menganjur).mereka yang datang memberi pandangan dan cadangan bukanlah yang bodoh-bodoh belaka, semua cerdik pandai, lebih pandai pada saya.

Saya hanya jadi pengerusi saja. Baik buruknya terpulang pada kongreslah, tapi yang hadir pun bukan orang yang bodoh-bodoh, mereka terdiri bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan,pegawai bank, bekas gabenor Bank Negara, bekas naib canselor UiTM.mereka ini semua tidak mencari 'political point'.

Tujuan kita ini adalah untuk mencari kebaikan, bukannya untuk mencari kesalahan kerajaan. Kita lakukan untuk bangsa kita, bukannya untuk bermusuh dengan sesiapa atau hendak menidak hak dan menyalahkan orang Cina.

Orang Cina yang sudah berjaya, biarlah mereka berjaya tetapi kita hendak mencari kesempatan untuk bangsa kita pula berjaya. Bila kita sama-sama berjaya maka ekonomi kita akan jadi bertambah kuat dan kukuh, negara kita pun selamat. Semua pihak menjadi senang.

AGENDADAILY :Tengku benar-benar yakinkah kongres seumpama ini dapat membuka mata mereka yang berkenaan untuk turut sama-sama memikirkan masalah orang melayu serta mengubah persepsi orang bukan melayu terhadap usaha memartabatkan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan sebagainya?

TENGKU RAZALEIGH: Saya rasa, kita orang Melayu mesti bertindak secara bijaksana untuk menjaga kepentingan bukan sahaja masyarakat orang Melayu saja malah negara keseluruhannya.Ini kerana tanpa kerjasama dan bantuan bukan Melayu, bukan mudah untuk kita menyelesaikan masalah Melayu pun.

Tapi bukanlah mesti mengharap atau bergantung pada orang lain, kita sepatutnya buat apa yang perlu untuk kebaikan msyarakat kita sendiri.

Dalam negara masyarakat berbilang kaum seperti negara kita ini, tidak mungkin kita boleh lakukan segalanya.Kita hendak pada sekurang-kurangnya persefahaman daripada orang lain kalau pun tidak ada bantuan secara langsung pada kita . tapi kalau ada kerjasama dan bantuan adalah lebih baik.

Bagi orang bukan Melayu pun, tak perlu mereka rasa risau, kalau tengok pada rekod orang Melayu sejak sebelum merdeka dan selepas merdeka, sehingga sekarang ini telah bermacam-macam perkara dilakukan oleh kerajaan pimpinan orang Melayu tetapi tak berlaku sesuatu yang merugikan orang bukan Melayu sepanjang kita berkuasa selepas merdeka.

Tidak ada undang-undang pun yang menyatakan kita mesti rebut atau merampas hak orang lain apatah lagi perkara yang dimiliki oleh kumpulan lain.ini tidak berlaku.Bahkan orang Melayu cukup bertimbang rasa, orang Melayu sepanjang masa cuba hendak bertolak ansur dimana boleh patut orang Melayu bertolak ansur.

Orang Melayu hendak jaga keharmonian dan keamanan, demi menjaga keselamatan kita semua di negara kita. Umpamanya kita buat Dasar Ekonomi Baru (DEB), itupun terdesak, bukanlah DEB itu dikemukakan untuk dilaksanakan semata-mata kerana orang Melayu berkehendak.tidak.

Ini kerana peristiwa berdarah 13 Mei. jadi pemimpin-pemimpin Melayu dengan kerjasama pemimpin bukan Melayu memikirkan elok diadakan dasar seumpama itu kerana kita tidak boleh membiarkan orang Melayu hanyut selepas merdeka, sedangkan segala kemajuan yang dibuat oleh kerajaan dan rakyat juga dinikmati hanya oleh sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Sementara itu orang Melayu memikirkan mereka hanya sebagai penonton dan orang Melayu berasa takut. takut jadi macam 'Red Indian' atau orang asli di Australia atau masyarakat asli di kepulauan Hawaii dan sebagainya.orang Melayu bimbang dan takut.

Dan sekarang, orang Melayu majoriti di sini, 60 peratus lebih daripada bilangan penduduk. Orang Melayu masih ketinggalan, jadi, itu sebablah pimpinan kita selepas 13 Mei berpakat mendapat kerjasama serta persefahaman daripada kumpulan lain seperti orang Cina, India dan lain-lain bangsa untuk mengubal satu dasar baru.

Dasar ini tidaklah memihak kepada orang Melayu semata-mata.Untuk membasmi kemiskinan melibatkan juga bukan Melayu dalam dan luar bandar. Penyusunan semula masyarakat, bukan bererti orang Melayu saja diajak masuk ke dalam ekonomi moden seperti berniaga dan sebagainya, tetapi itu orang Melayu hendak cari juga orang bukan Melayu untuk berkongsi.

Orang Melayu akan cari orang bukan Melayu untuk bekerjasama dan dengan adanya penglibatan orang Melayu dalam ekonomi moden, harapan kita sudah memang terbukti tidak akan terulang apa yang berlaku pada 13 Mei.

Tinggal lagi. yang mengamalkan sikap Ali Baba akan terus Ali Baba.manakala yang salah guna kesempatan yang diberikan memang berlaku jugalah. Namun begitu sekurang-kurangnya pendedahan itu sudah dimula dengan perlaksanaan DEB dan semua orang tengok secara terbuka apa yang telah dicuba oleh masyarakat Melayu dengan tajaan kerajaan.

Jadi sekarang, kita mengadakan kongres ini kerana lihat DEB tidak dapat mencapai sepenuhnya objektif ia digubal dan kita tengok juga keresahan berlaku dikalangan orang Melayu terutama sekali kerana perbezaan pendapatan.

Ia berlaku bukan saja dikalangan orang Melayu dengan orang bukan Melayu bahkan orang Melayu dengan orang Melayu.

Ramai orang Melayu telah mengambil kesempatan, apabila diberi kesempatan dan telah melonjak naik menjadi terlampau kaya telah meninggal jauh kebelakang majoriti anak Melayu yang tidak berpeluang langsung.

Ini telah timbul perasaan irihati, perasaan tak puashati dan sebagainya dikalangan orang Melayu walaupun yang mendapat faedah adalah terbit daripada perlaksanaan dasar-dasar yang digubal dibawah DEB dulu. Barangkali ini berlaku, orang kata kerana adanya kronisme atau kerana itu dan ini.

Saya tidak mahu menggalak orang menimbulkan banyak masalah, nak salahkan orang itu atau orang ini.tidak.Kita terima kenyataan ini dengan memandang terus ke depan.kalau itu yang menjadi masalahnya, bagaimana kita atasi, bagaimana kita nak 'ubati'nya, bagaimana kita menyelesaikannya dan bagaimana kita jamin masa depan tidak akan berulang kesilapan-kesilapan yang berlaku.

Contohnya di Indonesia setelah berlakunya krisis kewangan 1998, banyak harta orang-orang Cina telah dibakar, dimusnah oleh orang yang 'turun darah'.yang marah kerana tidak mendapat apa-apa sedangkan orang Cina yang kaya raya dengan mengambil kesempatan kelemahan pimpinan di Indonesia ketika itu sehingga berlaku rusuhan dan sebagainya.

Kita tidak mahu perkara seumpama ini berlaku di negara kita, sudah terbukti walaupun berlaku krisis kewangan yang melanda juga negara kita pada tahun 1998, tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini. Bahkan orang Melayu, Cina atau India yang ada harta dan tidak ada harta boleh memelihara semangat muhibah, semangat permuafakatan antara satu sama lain, tidak timbul masalah dengki, cemburu dan sebagainya seperti berlaku dengan dahsyatnya di Indonesia.

Di negara kita telah terbukti kejayaan DEB yang dilaksanakan 30 tahun lalu, walaupun dasar itu tidak dapat menghasilkan sepenuhnya objektifnya. Ini seperti hendak menyatukan rakyat, membahagikan kekayaan negara secara yang adil dan saksama, nak menjamin yang miskin sudah tidak ada lagi, yang belum merasai bidang baru iaitu perniagaan dan sebagainya sudah pun dapat melibatkan diri.

Walaupun begitu, DEB telah menjamin kita hidup dalam keadaan yang aman kerana tidak ada perasaan buruk sangka dan sebagainya terhadap orang lain. Tinggal lagi sekarang, kita dengar barangkali kerana keadaan ekonomi dan sekeliling kita orang Melayu pendapatannya kurang, peluang-peluang perniagaannya pun kurang.Itu pun barangkali kerana modal luar tidak datang kerana tarikan ke negara China atau ke negara-negara lain yang mana kos pengeluarannya kurang jika dibanding dengan negara kita.

Orang Melayu merasakan sekarang ini terkebelakang.Kita tidak mahu perkara ini menjadi 'buruk' . tak tahulah samada ia menjadi bertambah buruk atau jadi lebih baik,tetapi kita merasakan lebih baik kita tampil ke hadapan untuk cari jalan, bukan untuk cari nama.nak tolong masyarakat kita dan membantu kerajaan, itu saja. Percayalah Ini bukan platfom politik kerana dikalangan kita tidak ada niat dan cadangan hendak mengemukakannya sebagai platfom politik.

Saya rasa mereka yang ada pengaruh dan kuasa sepatutnya tidak memandang serong pada kita. Orang bukan Melayu pun jangan memikir apa yang kita hendak buat ini akan merugikan mereka bahkan bila orang Melayu dapat terjamin masa depannya dengan lebih baik barangkali orang bukan Melayu pun juga akan lebih terjamin di masa depan.

Jadi kita cuba hendak mengatur semula keadaan yang barangkali pincang sedikit supaya masa depan lebih selamat. itu yang kita hendak buat.

AGENDADAILY : Bagaimana Tengku boleh terlibat dalam kongres ini.Kita difahamkan idea awal kongres ini bukannya buah fikiran Tengku?

TENGKU RAZALEIGH : Kongres ini bukanlah buah fikiran saya.Ia bermula bila badan-badan sukarela atau NGO Melayu datang berjumpa saya dan dikepalai oleh pimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Alasan mereka saya adalah orang yang pernah terlibat dalam Kongres Ekonomi Bumiputera pertama, kedua, ketiga, keempat, bahkan saya juga jadi pengerusi, terlibat dalam Kongres Pendidikan Melayu pertama, kedua.jadi mereka merasakan apa salahnya saya cuba memimpin kongres yang bakal diadakan ini sebagai pengerusi.

Saya beritahu bahawa saya sanggup dengan syarat semua pihak akan terlibat dan ia bukan berbentuk politik.Kalau kita hendak buat kerja kenalah buat dengan serius supaya hasil nanti bertujuan untuk membantu kerajaan dan masyarakat. Kita hendak lihat masa depan kita selamat.itu sebab saya pun telah sanggup terima tawaran untuk menjadi pengerusi.

Nampaknya mereka pun terima, kita jemput semua orang tak kira siapa, lebih-lebih lagi bijak pandai , golongan korporat, profesional, dikalangan universiti dan luar universiti membantu kita disamping itu mencari derma sikit-sikit bagi membantu menjayakan kongres ini.

GPMS tidak memainkan peranan utama dalam kongres ini kerana kita telah tubuhkan seketariat yang mengurus segala hal yang bersabit dengan persediaan ini.

Kita juga ada satu 'organizing committee' yang diwakili oleh semua pihak yang terlibat untuk mengatur segala kerja bagi melancarkan kongres tersebut.

Oleh kerana masanya yang terlalu singkat, tidak sampai dua bulan sejak idea ini dibawa kepada saya maka kita terpaksa bekerja setiap hari, siang malam untuk membuat persiapan ini.

AGENDADAILY :Apakah ada sesuatu pembaruan pada pengendalian kongres ini? TENGKU RAZALEIGH: Pada awalnya kita hendak adakan tiga kertaskerja tetapi setelah dibincang, keputusan dibuat tidak perlu kita ikut format biasa.

Biasanya ada kertaskerja lepas itu kita pecah jadi bengkel dan kita bincang balik ke pleno dan kita buat rumusan kemudian baru kita buat resolusi.

Jadi kita tidak mahu ikut cara lama, kita tidak mahu buang masa, kita mahu semua orang terlibat dalam semua aspek perbincangan kita.

Mereka mencadangkan supaya diadakan satu saja kertaskerja yang merangkumi semua perkara yang ada kaitan dengan kedudukan kita orang Melayu. Keputusan dibuat agar saya mengemukakan kertaskerja ini dalam bentuk sebuah ucaputama dan selepas itu kita akan bersidang sebagai sebuah 'workshop' seluruh yang hadir.

Contohnya kita akan bincang masalah pendidikan semasak-masaknya, apa yang tak puashati, apa yang patut kita buat, apa yang kita perlu baiki.

Cuma saya nak ingatkan kongres ini bukan tempat kita hendak lepas geram.ia tempat kita cari jalan penyelesaian yang sebaik-baiknya untuk sekarang dan masa depan anak-anak Melayu kita.

Begitu juga dibidang ekonomi, sosio budaya, bidang kepimpinan dan politik untuk masa depan.Setiap sekali kita bersidang sebagai bengkel, kita akan serahkannya pada pakar rujuk yang terdiri dari lima atau enam orang yang boleh memberi pandangan-pandangan untuk memimpin atau memandu perbincangan atas tajuk-tajuk tertentu.

Kita juga ada jawatankuasa yang merumuskan hal ini dan akhirnya membuat resolusi-resolusi yang kita rasa boleh dilaksanakan samada oleh kerajaan atau oleh kita sendiri ataupun oleh badan-badan NGO.

Apa yang penting, kita ingin melihat kita sendiri yang ambil daya utama melaksanakan keputusan tersebut. Kita nak tengok orang Melayu,boleh atau tidak menguatkan jatidiri, tak payah bergantung pada kerajaan semata-mata, cuba menyelesaikan masalah ini, tanpa menimbulkan masalah yang boleh mengeruhkan kesalamatan dan keamanan dalam negara kita.

Kita rasa mampu dan boleh, sebab kita mempunyai kuasa beli yang agak besar. Tidak sebab mengapa kita tidak boleh buat, dengan adanya kerjasama dan pakatan yang betul-betul mantap. saya rasa kita boleh buat semua ini.Orang Melayu kena bersedialah, kita rasa pihak atas sampai bawah kena serius dalam soal ini, tak boleh buang masa lagi.

Kita kena guna setiap saat, setiap minit untuk kebaikan kita, kalau kita hendak 'hadap' (laksanakan) kita 'hadap' betul-betul.

Bagi mereka yang hendak berniaga maka berniagalah betul-betul, yang hendak libatkan dalam pendidikan tumpukan betul-betul.

Kita imbas kembali Dasar Pelajaran Razak. pada fikiran kita ia akan diterima oleh seluruh masyarakat negara kita, ia sudah pun diterima, cuma kesan daripada perlaksanaan dasar ini tidak menyeluruh.

Apa yang diharapkan sekolah kebangsaan akan jadi tempat tumpuan seluruh rakyat, dari generasi muda hingga dewasa dengan tujuan untuk menyatukan rakyat dengan satu bahasa dan satu dasar pendidikan. Apabila kita laksanakan sepenuhnya sehingga tidak ada pihak lain yang akan pergi ke tempat lain, walaupun kita izin, mengadakan sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan sebagainya. Tetapi kita fikirkan, inilah tempatnya, kerana 'second language', walaupun bahasa pengantarnya bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu,'second language' kita terpaksa juga guna iaitu Bahasa Inggeris, ini kerana pemimpin kita memikirkan Bahasa Inggeris itu penting, bukan sekarang, dulu pun.

Itulah yang menjadi asas Dasar Pelajaran Razak yang diperkenalkan pada tahun 1956 lagi.

Jadi, pada tahun 1970, apabila Akta Bahasa Kebangsaan diperkenalkan dan dikuatkuasakan, bukan bererti kita ketepikan Bahasa Inggeris,ia digunakan juga sebagai 'second language'. Apa yang berlaku sekarang ini tak sepatutnya berlaku, ia menjadi begitu kusut sekali, kita ingin cuba melihat semula keadaan ini supaya kekeliruan yang timbul dapat difahami dengan baik sekaligus menyekat ia berterusan.

AGENDADAILY : Kebanyakan kongres,seminar dan sebagainya nyata menjadi talkshop sahaja.Habis saja semua bersurai lepas tu diam terus.Bagaimanakah Tengku dan tenaga utama kongres ini hendak memastikan segala idea-idea dan rumusan-rumusan yang diputuskan nanti akan dilaksanakan?

TENGKU RAZALEIGH : Mana yang kita fikir kerajaan patut beri perhatian, kita akan serah pada kerajaan dan kita akan minta kerajaan laksanakannya.

Kalau banyak perkara yang kita fikirkan dan kita sendiri patut laksanakan dengan pakatan kita, kerana seorang diri tidak boleh.

Contohnya, kita patut baiki cara orang Melayu melaksanakan perniagaan,maka kita sendiri kena buat,kita sendiri kena turun untuk mengasuh orang Melayu supaya ubah cara-cara lama, mereka perlu ubah dan menerima cara baru.

Bagi menjaminkan kejayaan, adalah cara kita buat kerja. Kita sering berkata mengapa orang Cina itu berjaya, dia datang ke negara ini sehelai sepinggang tapi sekarang sudah jadi jutawan dan hartawan.

Kalau dia boleh buat, kenapa kita tidak boleh buat.Orang Melayu tak malas, kalau orang Melayu malas, dia tidak dapat makan nasi sebab nak tanam padi bukannya kerja senang.

Orang Melayulah yang tanam padi di negara kita ini, pagi-pagi dalam suasana sejuk mereka turun ke sawah,berjemur panas ketika menuai padi.orang Melayu makan nasi kerana dia rajin. siapa kata Melayu malas adalah tidak betul.

Siapa kata orang Melayu tidak boleh jadi pendidik.ada orang Melayu yang hafal Al-Quran. Tidak ada sebab, cuma cara kita untuk membina orang Melayu, kita kena ubah supaya sesuai dengan tuntutan zaman ini.

Saya rasa orang Melayu boleh buat, tapi kena berpakatlah.

AGENDADAILY : Apakah kelak akan ada satu format rasmi untuk turun ke bawah bagi menyampaikan maklumbalas atau resolusi daripada kongres ini?

TENGKU RAZALEIGH : Tidak ada format rasmi, kita akan turun ke bawah untuk jumpa cawangan-cawangan badan NGO yang bersama dengan kita diperingkat pusat. sebab amat mustahil hendak kita ajak semuanya datang ke Kuala Lumpur. Kita bersidang hanya dua hari saja, masa ini ramai yang bercuti kerana kebetulan cuti sekolah dan ramailah yang tidak dapat hadir.

Kita hendak meluaskan fahaman ini supaya mereka semua tahu apa yang hendak dibuat oleh kita dan akhirnya apa yang diputuskan. Ini bukan keputusan kita satu dua orang tapi ia keputusan kongres.Kita kena berkongsi dengan yang lain-lain yang tak sempat datang.

Kita nak ajak kerajaan pusat dan kerajaan negeri terlibat dalam soal ini.ini bukan masalah kita tetapi masalah negara, masalah orang Melayu yang tidak boleh dipikul oleh seorang dua atau badan-badan Melayu sahaja, sepatutnya oleh semua pihak termasuk bukan Melayu.

AGENDADAILY : Sejauhmanakah keputusan yang benar-benar bermutu dapat dihasilkan dalam satu kongres yang hanya berlangsung selama dua hari saja

TENGKU RAZALEIGH : Tidak ada satu keputusan yang baik boleh dilakukan, jangan kata dalam masa dua hari, dalam masa setahun tidak boleh.

Bangsa-Bangsa Bersatu yang bermesyuarat tiap-tiap tahun pun tidak dapat menghasilkan sesuatu keputusan yang benar-benar bermutu, tapi kita kena mulakan dengan dua hari dan selepas itu kita turun ke bawah, maka kita akan dapat pandangan baru lagi, ianya akan berterusan.

Dan sekiranya kongres menetapkan satu badan tetap atau satu sekreteriat tetap, kita boleh buat mesyuarat pada setiap minggu atau setiap bulan ataupun setiap hari sekiranya ada isu yang perlu serta patut diberikan perhatian oleh kita kemudiannya disampaikan kepada masyarakat atau kerajaan atau kepada pihak yang bertanggungjawab.itu contohnya, saya tidak boleh nak menduga apa yang akan berlaku kemudian.

Itu adalah harapan kita. kita ada Yang DiPertuan Agong yang menjadi ketua bagi orang Melayu. Baginda adalah Raja berperlembagaan yang salah satunya Raja di dunia ini yang dibekalkan dengan kuasa di bawah Artikal 153. Baginda adalah Raja berperlembagaan tidak sepatutnya ada kuasa eksekutif.

Tapi Yang DiPertuan Agong kita, di dalam perlembagaan negara kita telah dibekalkan dengan kuasa eksekutif luar biasa kerana Baginda boleh veto keputusan kabinet, Baginda boleh perintah kabinet untuk buat sesuatu bagi menolong dan menyelesaikan masalah orang Melayu.

Soal pendidikan, perniagaan dan pelbagai lagi, ini adalah kuasa Yang DiPertuan Agong, tapi Baginda tidak akan mengguna kuasa itu melainkan keadaan memaksa.

Kita, sebagai rakyat, sekiranya kerajaan tidak upaya hendak lakukan kerana macam-macam masalah yang kerajaan hadapi, kita berkemungkinan boleh pergi menghadap Yang DiPertuan Agong bagi memohon perkenan.kerana Baginda adalah Raja kita. Baginda adalah pelindung kita orang Melayu, boleh minta tolong dengan Baginda.

AGENDADAILY : Tidakkah kongres ini akan dilihat sebagai satu cubaan untuk memperkukuhkan kedudukan institusi Melayu.

TENGKU RAZALEIGH : Mengapa tidak. kita hendak orang Melayu menjadi kukuh, kita orang bumiputera dan ini negeri kita asalnya tapi kita sudah sanggup berkongsi dengan orang lain yang dibawa oleh penjajah dulu.

Tak apalah. tetapi apakah salah orang Melayu memperkukuhkan kedudukan kita, bahkan ini untuk menjamin kebaikan masa depan negara kita. Kalau orang Melayu kita berkucar-kacir, rasa tidak senang hati dan rasa tak puashati . 60 peratus lebih orang Melayu di negara ini, huru-hara negara kita. Tapi bila orang Melayu merasa puashati, rasa selamat.saya semua orang akan rasa selamat. Soal memperkukuhkan orang Melayu, kita perlu tahu bahawa orang Melayu tidak ada universiti.Kita menumpang hak kerajaan dimana bukan Melayu pun boleh pergi ke situ, tapi orang Cina dah buat, tengoklah Universiti Tunku Abdul Rahman yang dulunya kolej saja.Banyak lagi kolej-kolej yang didirikan dengan gagahnya yang dimiliki oleh orang bukan Melayu.

Ada juga IPTS Melayu, tapi bagaikan nak mati esok lusa dah, itu kedudukannya.Jadi salahkah kita hendak cuba memperkukuhkan kedudukan Melayu supaya orang Melayu tidak susah hati dimasa depan. Saya rasa wajar dan wajib dilakukan oleh orang Melayu.. ini negeri dia asalnya.

Setelah 48 tahun merdeka, kita bersyukur kehadrat Allah kerana kita telah mendapat itu dan ini jika kita bandingkan dengan dulu, pendidikan, kesihatan dan segala-galanya boleh dikatakan baik.

Tetapi jika kita banding dengan orang lain, kita jauh ketinggalan baik pendidikan, ekonomi dan lain-lain. pendekata serba-serbilah kekurangan orang Melayu. Cuba bilang berapa ramai doktor Melayu berbanding doktor bukan Melayu, berapa ramai peguam Melayu dan berapa ramai pulak peguam bukan Melayu.walaupun kita telah perjuangkan dan ada keistimewaan diberikan pada orang Melayu.

AGENDADAILY : Bagaimana jika ada persepsi kurang senang dikalangan orang bukan Melayu.

TENGKU RAZALEIGH : Saya suka untuk menjelaskan lagi bahawa orang Melayu adalah bangsa yang cukup bertimbang rasa, sanggup bertolak ansur. tidak ada jenis manusia dalam dunia ini seperti orang Melayu.

Kalau orang bukan Melayu, pada masa ini hendak timbul rasa curiga atau cemburu pada orang Melayu, saya rasa orang itu 'misplace' kerana sudah merdeka 48 tahun, apa yang sudah berlaku. orang Melayu terpinggir.

Mana ada bangunan di Kuala Lumpur ini yang dimiliki oleh orang Melayu, milik kerajaan ada, PNB ada, Tabung Haji ada, itupun hasil kutipan dari orang Melayu yang hendak menunaikan ibadat haji.

Malah di negeri-negeri pun tidak ada, tapi orang Melayu tidak bimbang, orang Melayu tumpang seronok melihat orang lain buat bangunan tinggi-tinggi.

AGENDADAILY : Apa perlunya orang Melayu ada bangunan sendiri,universiti sendiri, sedangkan kerajaan adalah kerajaan Melayu?

TENGKU RAZALEIGH : Kalau begitulah, mengapa TAR Kolej dijadikan universiti, mengapa ada universiti-universiti kolej yang menganjurkan 'twinning' program bersama universiti seberang laut, mengapa.berapa peratuskah anak Melayu berada di situ.

Ini semua adalah 'kilang', bila mereka keluar akan cari kerja, semua ada 'certificate', anak-anak Melayu tidak dapat cari tempat, adakah kita hendak berdiam diri, adakah kita hendak bergantung pada universiti tajaan kerajaan.

Di situ pun tidak ramai anak Melayu, cuma 55 peratus saja, itupun dalam jurusan yang barangkali tidak dikehendaki oleh pasaran pada masa inilah. Apa nak jadi pada anak-anak kita.

Dulu, bila kita pergi India, bila kita baling batu dan jatuh atas kepala orang, orang itu mesti ada BA, boleh jadi akan jadi macam itu di Malaysia ni. Baguslah, tetapi orang ini suatu hari nanti tidak laku dalam pasaran moden. Kita rasa kena buat sesuatu untuk bangsa kita. kalau orang lain tidak mahu buat kita kena buat.

AGENDADAILY : Apakah Tengku merasakan tidak cukup apa yang dibuat oleh kerajaan untuk orang Melayu.

TENGKU RAZALEIGH : Saya rasa cukup. tetapi tidak sepenuhnya.Kita kena lihat keciciran berlaku dimana-mana sekarang. DEB, kerajaan sendiri mengakui sudah gagal, lihatlah dari sudut pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. Sekarang orang Melayu memegang jawatan penting di mana. bukankah dalam kerajaan saja, sebagai pegawai kerajaan.

Dalam 'private sector', yang boleh buat duit.berapa kerat ada orang Melayu. Syarikat Melayu, berapa banyak yang ada tersenarai di bursa saham.

Kerajaan hendak laksanakan pertanian secara besar-besaran, kita sokong. Tapi dimana tempat orang Melayu, kalau tak buat macam Felda, orang Melayu tak dapat tempat.ini yang kita bimbang.

Nak bawa biotech kepada orang Melayu, modalnya dari mana, apakah kita hendak tubuh bank, tabung dan sebagainya lagi. di mana orang Melayu nak pergi. Buat perumahan untuk menyelesaikan masalah rumah miskin terutama orang Melayu, dulu rumah murah RM25 ribu. orang Melayu nak cari selonggok RM2,500 untuk bayar duit muka pun susah.

PTPTN dan MARA pun tak ada duit, anak-anak Melayu perlukan kewangan bagi melanjutkan pelajaran pun tak ada duit. Inilah antara yang akan ditimbulkan dan dibincang dalam wacana kita.

AGENDADAILY : Perkara ini dah lama. what went wrong?

TE NGKU RAZALEIGH : Kalau nak bangkitkan soal what went wrong. banyaklah, sebab itu saya tidak mahu timbulkan masalah. Mudah bagi kita cari orang itu buat salah dan orang ini buat salah. tapi ia tidak selesai masalah.

Kongres ini bukan bertujuan mencari salah orang, tidak. Kita terima hakikat kedudukan orang Melayu. berapa ramai anak Melayu lulus jadi doktor, pakar ekonomi dan sebagainya kemudian kita bandingkan dengan orang lain. Mengapa jadi begini, kita mahu selesaikan masalah ini.

Tapi kita tidak boleh tahan jika dalam kongres itu ada orang yang cuba untuk melepas geram, dalam perbincangan, ada orang yang timbulkan perkara-perkara yang kita tak nak dengar. apa boleh buat dalam persidangan terbuka begitu. Pentingnya, ialah penyelesaian masa depan.

AGENDADAILY : Bagaimana jika berlaku ada peserta yang bercakap dalam nada sinis, cemuh, kritis dan menyentuh kredibeliti pihak tertentu.

TENGKU RAZALEIGH : Itu adalah realitinya, kita tidak boleh tutup mulut orang. Orang nak bercakap, tak bercakap di forum seumpama ini mereka akan bercakap di kedai kopi atau bercakap dimana-mana.

Baik kita dengar. tapi kita tidak galakkan, kongres kita itu bukannya forum untuk orang lepas geram atau nak 'score political point'.

AGENDADAILY : Sekiranya dibenarkan para peserta membangkitkan isu-isu yang 'pedas' mengkritik kerajaan.tidakkah nanti kongres ini akan di 'cap' sebagai anti kerajaan.

TENGKU RAZALEIGH : Orang nak bercakap. adakah orang yang bercakap di kedai kopi itu merupakan orang yang anti kerajaan.

Contoh, kalau seorang peserta bercakap tentang anaknya tidak dapat lanjutkan pelajaran kerana kerajaan tidak dapat bagi pinjaman. adakah dia anti kerajaan. Saya tak fikir begitu.

AGENDADAILY : Apakah kongres seumpama ini pertama kali diadakan?

TENGKU RAZALEIGH : Pertama kali perhimpunan seperti ini diadakan oleh orang Melayu ialah dalam tahun 1946.Ketika itu badan-badan Melayu berhimpun di padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru Kuala Lumpur hendak mempertahankan maruah bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu sekaligus untuk menolak Malayan Union.

Hasil daripada perhimpunan itu, Datuk Onn Jaafar menganjurkan satu perhimpunan orang Melayu di Johor Bharu sehingga langsung tertubuhnya UMNO.

Kali kedua orang Melayu mengadakan perhimpunan seumpama ini ialah selepas 13 Mei 1969, apabila secara rasminya Tun Razak mengadakan 'national goodwill council' terdiri daripada orang Melayu dan bukan Melayu sehingga lahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Adalah kongres-kongres yang diadakan dari masa ke semasa oleh orang Melayu tetapi tidaklah sepertimana yang akan diadakan kali ini.

InsyAallah, ini (kongres) merupakan kali pertama selepas merdeka kita mengadakan perhimpunan seumpama ini, tapi ia tidak berbentuk politik. Ramai dikalangan professor-profesor dan cendiakawan Melayu yang hadir memberi pandangan bagi menjayakan kongres ini.

AGENDADAILY : Berdasarkan perbincangan terbuka dalam kongres tersebut maka apakah kemungkinan ada semacam desakan pada kerajaan.

TENGKU RAZALEIGH : Mungkin ada. saya tidak dapat menduga dan saya tidak tahu apa yang mereka hendak suarakan dalam kongres itu, tapi harapan kita ialah keputusan nanti akan dapat memperbaiki keadaan orang Melayu.. kerajaan dan UMNO sendiri menyentuh soal agenda Melayu baru.

Apakah ini hanya monopoli UMNO, saya rasa patut UMNO berkongsi dan ajak orang Melayu seperti kita hendak buat ni, untuk menyumbang sama membantu hasrat UMNO itu sendiri. Ini semua bagus untuk UMNO dan kerajaan.

Tapi kita ingin melihat dari sudut lain, kita hendak jemput yang lain-lain, mereka yang barangkali terpinggir. nampak respon, ramai yang datang. Orang politik pun kita jemput.

AGENDADAILY : Kongres ini mungkin dilihat semacam mengambilalih peranan UMNO,apa komen Tengku?

TENGKU RAZALEIGH : Kita tidak merasakan begitu kerana UMNO telah buat segala-galanya, apa yang berlaku dalam negara kita dilakukan oleh UMNO. Dasar pendidikan, ekonomi dan berbagai dasar lagi termasuk dasar tolong Melayu, semua itu diperjuangkan oleh UMNO.

Kita berkongres adalah untuk memperkuatkan lagi apa yang sudah dilakukan oleh pemimpin Melayu.Setelah dilihat kajian dibuat kedudukan orang Melayu masih terkebelakang, itu tidak boleh kita naïf.UMNO tidak boleh naïf . kerajaan pun tidak boleh naïf.

Kongres ini akan melibat ramai pihak. ini kali pertama diadakan. Kita panggil semua orang, kerajaan pimpinan sekarang pun mengamalkan ketelusan, terbuka, mahu dengar 'consensus' . kita akan himpunkan 'consensus' dalam kongres ini.

Yang mana kita boleh buat sendiri, kita akan buat sendiri. Mana perkara yang kita rasakan kerajaan patut beri perhatian, kita akan serah pada kerajaan. Tidak ada niat lain, kalau untuk saya mencari kedudukan. itu bukan tempat untuk saya cari pengaruh.

AGENDADAILY : Tengku dilihat sebagai tokoh ekonomi negara,pemimpin lama yang mahir dalam percaturan ekonomi tapi ada pihak-pihak yang merasa Tengku agak `sepi' .seolah yang tidak menyumbang,tidak aktif dalam usaha membantu kerajaan memulihkan ekonomi negara. Apa jawapan Tengku dipandang sebegitu?

TENGK U RAZALEIGH : Kenapalah saya dilahirkan di dunia ini. Susah betul nak fikir. Kalau saya aktif, ada pihak anggap saya nak rebut kuasa, saya cari pengaruh. Kongres ini pun hendak bantu kerajaan juga dalam satu sudut.

Saya bercakap di Parlimen pun tak dapat siaran akhbar pun, mengapa jadi begitu. saya hairan. Saya bercakap secara terbuka, bukannya bercakap masuk kelambu. Selain di Parlimen saya bersuara, di Kelantan pun saya bersuara. Banyak tempat saya bersuara.

Saya tidak dipanggil untuk berbincang bagi mencari jalan bagaimana hendak tolong. barangkali, khidmat saya tidak diperlukan.

Saya pun berdiam dirilah kerana ada orang lain yang lebih layak, lebih berkebolehan .. biarlah mereka fikir dan laksanakan.

Kalau mereka memerlukan khidmat saya.mereka tahu dimana saya tinggal.

Sekiranya saya ingin aktif berpolitik, lain coraknya. saya pergi ke Parlimen pun, tak pernah usik orang pun. Kalau nak usik, banyak yang boleh saya usik. Jangan fikirkan tidak ada isu sekarang ini, kalau saya nak 'lambung'.

AGENDADAILY : Ada kalangan yang ingin melihat Tengku aktif bersuara, kritis dan memberi pandangan serta cadangan dalam Dewan Rakyat?

TENGKU RAZALEIGH : Saya boleh buat. tapi saya ke Parlimen, saya kena jaga supaya tidak timbul suasana syak wasangka terhadap saya. Saya dah lama kritik kerajaan. semenjak UMNO diharamkan, saya berada diluar,saya banyak memberi pandangan teguran sampai sekarang

Tapi dulu lebih aktif.Sekarang, saya anggap kepimpinan hari ini telah ada 'team'nya dan kuasanya. buatlah sesuatu untuk kebaikan negara.

Kalau perlu kepada saya, mereka boleh cari dan boleh panggil saya, tapi 'dia' tidak panggil saya, ini bermakna 'dia' tidak perlukan khidmat saya.

Mengapa saya perlu dipersalahkan, kalau mereka perlu saya.silalah call saya.

Saya bersuara dalam Dewan Rakyat adalah untuk rakyat juga dengar, tapi tidak masuk suratkhabar pun, Banyak soalan yang saya kemukakan, saya hadir ke Parlimen, soalan pada mulanya nombor satu kemudian dialihkan ke nombor 12.

Saya tanya hal kapal selam, mengenai MARA dan PTPTN tidak boleh mengadakan duit untuk membantu pelajar ke IPTA, apakah tidak ada punca duit untuk tanggung anak-anak orang Melayu, saya juga bertanya hal peruntukan dalam RMK-9, macamana peruntukan, adakah buat peruntukan seperti dulu. Kita pergi keluar negara, kita bersuara supaya menolong negara-negara yang sedang membangun (Third World), negara-negara mundur.

Dalam negara sendiri peruntukan banyak diberikan pada negeri-negeri maju berbanding negeri mundur.

Universiti, ada negeri sampai ada dua dan tiga buah universiti, Kelantan, terpekik-pekik hendakkan universiti, sampai sekarang tidak ada. Kelantan negeri Melayu.

Saya bercakap soal kewangan, soal bank, soal inflasi yang menekan kehidupan rakyat, betapa susahnya hidupan rakyat sekarang, harga naik.kerajaan kata tidak betul, siapa kata tak betul.orang nak hidup susah. Harga minyak naik. mereka kata tidak memberi kesan. Macamana tak beri kesan. diesel pun tidak ada.

Saya main peranan di Dewan Rakyat. saya beri ucapan, saya boleh garang di Parlimen, tapi jangan pulak ada orang salah faham, dulu pun saya bercakap dan kritik.

Ketika ini, kepimpinan yang ada telah berpeluang untuk menerajui negara, saya tidak serba salah dalam memberi pandangan, teguran dan kritikan. Biarlah Perdana Menteri perintah negeri ini dengan baik, buatlah sesuatu yang baik. Takkan saya nak tegur setiap hari setiap masa.

Sekarang, Datuk Seri Abdullah jadi Perdana Menteri, sekali pun saya tidak pernah dipanggil ( berbincang dan beri buah fikiran).

Semasa Tun Dr. Mahathir jadi PM, walaupun saya adalah seteru dalam politik tapi beliau panggil saya berbincang, pasal krisis kewangan dan berbagai isu. Saya bercakap dalam Dewan Rakyat, semasa kali pertama perlantikan Datuk Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri, panjang lebar saya berucap terutama mengenai rasuah, saya berucap ketika membahaskan titah ucapan Yang DiPertuan Agong, lebih setengah saya bercakap.

Tak tahulah sejauhmana kebebasan akhbar di negara kita ini, saya tidak dapat liputan, saya tidak boleh bercakap tanpa fakta dan asas yang kukuh. Saya bercakap dengan teliti, barangkali semasa pembentangan RMK-9, mungkin saya akan bercakap. Saya memang pilih-pilih untuk bercakap.

Saya akan bercakap atas perkara yang ada 'substance', walaupun ucapan saya tidak disiarkan oleh akhbar tempatan tapi ia menjadi permintaan oleh pihak lain di luar negara. Saya akan hantar ke akhbar,makalah, journal luar negara.

Semasa saya berucap di Law Conference yang dihadiri Sultan Azlan,tersebar meluas keseluruh dunia ucapan tersebut, tapi akhbar dalam negara, sepatah ayat tidak ada siaran. British Law Journal misalnya menyiarkannya secara penuh.

AGENDADAILY : Apakah Tengku masih menyimpan cita-cita mahu berada dalam kabinet atau lebih `tinggi' lagi?

TENGKU RAZALEIGH : Saya suka duduk diluar begini, saya dulu pun tidak mahu masuk kerajaan. Saya masuk kerajaan dulu kerana wasiat Tun Razak. Arwah berpesan, walau sehari pun saya mesti masuk kabinet, kerana saya sudah senior sebagai Naib Presiden sejak beberapa tahun, Tan Sri Musa Hitam adalah junior saya.

Dia masuk kabinet, saya tak nak kerana banyak kerja luar yang saya boleh buat, untuk bantu kerajaan masa itu (kepimpinan Tun Razak). Soal badan-badan kerajaan seperti bank, Pernas, Petronas yang saya kena buat, bukan kerja sikit. lebih berat kerjanya daripada jadi seorang menteri.

0 Comments:

Post a Comment