Ahad, Jun 29, 2008

SHAH ALAM, 29 Jun (Hrkh) -Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media sebentar tadi mendedahkan gambar pengadu kes Anwar, Saiful Bukhari Azlan dengan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.

Gambar itu akhirnya mencetus tanda tanya samada kes dakwaan liwat terbaru membabitkan Anwar itu adalah berpunca dari konspirasi seseorang. Beliau tidak mendedahkan siapa yang menyerahkan gambar tersebut namun disyaki adanya konspirasi seperti kes pada tahun 1998 membabitkan Anwar.

Namun menurut sumber, Saiful adalah Pegawai Khas Anwar yang menjadi sukarelawan ketika pilihan raya umum lalu dan beliau dikatakan bukan ahli KeADILan.Wan Azizah yang mengulas perkembangan terbaru itu menyatakan rasa kecewa dengan dakwaan tersebut yang dikatakan sekali lagi untuk menjatuhkan Anwar. Malah menurut Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali, kini konspirasi itu bukan sahaja untuk menjatuhkan Anwar malah mengancam hidup Anwar.

Pimpinan KeADILan sepakat mengecam konspirasi terbaru ini yang nyata sekali untuk menjatuhkan Anwar tatkala perkembangan KeADILan semakin hampir memerintah kerajaan, kata Syed Husin. Pimpinan KeADILan sendiri sepakat tidak mempercayai dakwaan Saiful itu malah menyokong penuh kepimpinan Anwar. Suasana di perkarangan hotel dekat sini semakin bising dengan laungan reformasi dan takbir. Sejak semalam, timbul desas-desus yang menyatakan bahawa Anwar akan ditahan ekoran satu laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Laporan tersebut dibuat oleh pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa telah diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut. Sumber KeADILan mengatakan bahawa polis telah menahan pembantu khas Anwar semalam dan memaksanya membuat laporan polis yang dia diliwat oleh Anwar. Sementara Saiful Bukhari dikatakan sedang memberi keterangan di salah sebuah balai polis di Kuala Lumpur.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan dalam laporan tersebut dan mendakwanya ianya merupakan satu rekaan semata-mata. Sebaliknya, beliau berkata, laporan tersebut diatur oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk 'menyerangnya' sebagai tindak balas terhadap bukti yang diperolehinya, yang membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berhubung salah laku,termasuk mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998-1999. Anwar dijangka membuat laporan polis berhubung bukti-bukti yang diperolehinya itu hari ini.

Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan perkara itu tetapi tidak diketahui bila dan di mana laporan itu akan dibuat. Dalam kenyataannya pagi tadi, Wan Azizah berkata, Saiful merupakan seorang sukarelawan yang tampil membantu KeADILan, sewaktu pilihan raya umum lalu. Ekoran itu, katanya, mereka tidak membuat sebarang semakan latar belakang pengadu. Mengenai laporan tersebut, beliau berkata, ia bertujuan untuk mencemarkan masa depan politik Anwar. Menurut Wan Azizah perkara yang sama berlaku sepertimana 10 tahun yang dulu. Anwar, bekas TPM dan Menteri Kewangan, dipecat dari kerajaan pada 1998 kerana didakwa menyalahguna kuasa dan dituduh terbabit dalam perbuatan liwat.

Pada 1999, beliau dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan salahguna kuasa dan pada tahun 2000, dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara atas tuduhan liwat. Bagaimanapun, pada 2004, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan hukuman liwat dan membebaskan Anwar. Anwar mendakwa tuduhan terhadapnya itu merupakan satu konspirasi politik terhadapnya, tetapi kerajaan menafikannya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Naib Presiden Azmin Ali mendedahkan Anwar berbuat demikian demi keselamatan dirinya.

"Beliau telah dihantar ke sana sejak jam 6 pagi tadi. Tidak siapa pun yang boleh menziarahi beliau kecuali isteri dan anak-anaknya," kata Azmin.

Katanya, tidak dapat dipastikan sampai bila Anwar akan berlindung di kedutaan tersebut.

Dalam sidang akhbar sebelumnya, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, usaha terbaru untuk membabitkan Anwar dalam tuduhan liwat ekoran laporan polis oleh bekas sukarelawan parti itu, menunjukkan usaha lebih serius oleh pihak-pihak tertentu untuk menutup mulutnya.

Katanya, Anwar telah menjadi sasaran bukan sahaja pembunuhan politik tetapi juga menerima ancaman terhadap nyawanya.

"Kami (dalam PKR), dan saya sendiri, telah menerima maklumat bahawa ini adalah satu percubaan bukan sahaja untuk membunuh karier politiknya, tetapi jika boleh, membunuh beliau," kata Syed Husin dalam satu sidang akhbar di Hotel Quality di Shah Alam.

Katanya, pihak parti telah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keselamatan Anwar.

Menurut beliau, percubaan tersebut juga mungkin disebabkan oleh kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan seperti yang war-war  Anwar sejak kebelakangan ini.

Semalam, pembantu khas Anwar - Saiful Bukhari Azlan, telah membuat laporan polis, mendakwa ketua umum PKR itu telah meliwatnya.

Anwar bagaimanapun menafikannya dan berkata ia adalah satu rekaan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, laporan tersebut diatur oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk "menyerangnya" sebagai tindak balas terhadap bukti yang diperolehinya, yang membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berhubung salahlaku,termasuk mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998-1999.

Kenyataan Anwar 

Sementara itu, dalam kenyataannya yang dikeluarkan petang tadi, Anwar berkata beliau telah dibawa ke Kedutaan Turki awal pagi tadi demi keselamatan dirinya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menawarkan bantuan kepadanya dalam masa yang memerlukan ini.

Katanya, beliau juga terhutang budi kepada Duta Turki yang bersedia menyediakan perlindungan untuk dirinya di kedutaan tersebut.

Anwar berkata, sejak pilihanraya umum 8 Mac lalu, pelbagai sumber-sumber yang layak dipercayai dari dalam kerajaan dan perisikan tentera telah memaklumkan kepadanya bawa ejen-ejen tertentu dari dalam kepimpinan Barisan Nasional telah memulakan plot untuk membawa mudarat kepada dirinya atau keluarganya atau penyokongnya,

Tindakan tersebut, katanya, bertujuan untuk mengekang rakyat dan menamatkan perubahan-perubahan yang sedang berlaku di Malaysia.

Katanya, walaupun wujud ancaman untuk menutup mulutnya, beliau berhasrat untuk mendedahkan bukti baru, yang menurutnya, membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam perbuatan jenayah mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998.

Oleh itu, katanya, dakwaan yang dibuat terhadapnya semalam, adalah tidak lebih daripada ulangan apa yang berlaku pada 1998 apabila beliau dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri, dipenjara dan dipukul, dan kemudiannya didakwa dan disabit oleh mahkamah kangaroo bagi jenayah yang tidak pernah dilakukannya.

Beliau mendakwa kepimpunan BN yang korup melakukan semua itu dengan memperalatkan kuasa yang ada termasuk menguasai badan kehakiman, pasukan polis dan media arus perdana.

Tindakan yang sama, tegas Anwar, diulangi sekali lagi hari ini untuk menekan kuasa-kuasa reform dan pembaharuan yang tercetus daripada pilihanraya 8 Mac lalu.

"Saya ingin memberi jaminan kepada keluarga saya, rakan-rakan dan para penyokong saya di Malaysia bahawa saya selamat dan kekal komited untuk meneruskan perjuangan bagi negara Malaysia yang bebas dan adil," katanya. - Malaysiakini

Jumaat, Jun 27, 2008

 

Poi pokan naik basikal
tongah hari tongah paneh

Bait lagu nyanyian Ito Blues Gang bukanlah mengambarkan budaya berbasikal masyarakat kota masa kini tetapi sekurang-kurangnya ia memberi gambaran bahawa kesediaan empat Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berpeluh berbasikal ke sidang Dewan Rakyat.

ImageAhli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin, Tian Chua (Batu), N. Gobalakrisnan (Padang Serai) dan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) dilaporkan masuk Malaysian Book of Record sebagai Ahli Parlimen pertama naik basikal ke Parlimen.

Tindakan keempat-empat mereka itu berbasikal ke Parlimen secara tidak langsung merasmikan upacara perasmian untuk melancarkan cara hidup berjimat yang lupa dirasmikan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru rakyat ubah gaya hidup.

Pada kebiasaan acara perasmian Perdana Menteri, akan menepung tawar, memotong riben, memandu jengkaut, traktor dan lain-lain tetapi kenapa dalam perkara besar untuk mengubah gaya hidup tidak diatur sedemikian rupa bagi memberi pendidikan kepada rakyat.

Sepatutnya berbasikal ke Parlimen dilaksanakan Abdullah bersama pemimpin kanan mereka untuk dijadikan acara perasmian sebaliknya telah didahulukan oleh empat Ahli Parlimen KeADILan yang seolah-olah bertindak sebagai duta Perdana Menteri bahkan dapat masuk dalam rekod.

Mereka yang dapat sanjungan ini, rupanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pula mengeji.

Beliau sifatkan perbuatan itu sebagai kebudak-budakan yang langsung tidak mencerminkan tahap keupayaan pemikiran anggota Parlimen.

Katanya, mereka cuba mencari publisiti murahan sedangkan sebagai anggota Parlimen banyak lagi tindakan lebih matang boleh dilakukan bagi membantu kerajaan berhadapan dengan fenomena kenaikan harga minyak global.

Bagi negara maju di Eropah dan negara membangun Asia Timur, berbasikal ke pejabat menjadi amalan yang sudah biasa dan bukanlah satu pandangan yang aib menggambarkan kehidupan peribadi miskin sebagaimana pandangan mata kasar rakyat Malaysia.

Sesungguhnya berbasikal di Malaysia memalukan seperti lagu Ito tadi berbasikal ke bandar kerana tidak berkemampuan disebabkan bekerja menorah getah. Sambungan daripada rangkap diatas tadi:

apo dayo motong gotah
apo nak dikato
kalau buleh nak jadi cikgu sekolah kek kolo pilah

Oleh yang demikian tindakan keempat-empat ahli parlimen tersebut boleh memecah kebuntuan penyakit keegoaan masyarakat supaya dapat melihat berbasikal itu bukan kerana kemiskinan tetapi merupakan jentera paling jimat masa kini dan tidak mencemarkan alam sekitar di samping melahirkan rakyat yang cergas dan sihat.

Bagaimanapun empat ahli parlimen itu belum berjaya untuk melahirkan matlamat sedemikian rupa walaupun sudah ada ke arah tersebut kerana mereka bukanlah pemimpin yang sepatutnya menjadi tauladan sebagaimana slogan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepimpinan melalui tauladan.

Bagi mencapai cita-cita berbasikal menjadi amalan, kerajaan sepatutnya kena bertindak terlebih dahulu, menjadi contoh kepada rakyat.

Mahligai Abdullah dengan bangunan Jabatan Perdana Menteri tidak berapa jauh. Abdullah boleh menunjukkan contoh suspen kepada kakitangan dan rakyat dengan tiba-tiba muncul berbasikal ke pejabat, sebagai langkah pengajaran.

Perbuatan tersebut tidak bermaksud menyuruh Abdullah berbasikal setiap hari tetapi memadai beliau menjadikan amalan baik kerana sekurangnya Perdana Menteri dapat menjiwai rakyat bawahan yang miskin dan berbasikal.

Jika amalan tersebut berterusan bolehlah rakyat anugerahkan pemimpin berjiwa rakyat. Kalau dahulu beliau turun padang dikatakan berjiwa rakyat tetapi ia tidak lebih daripada lakonan seperti berlakon naik basikal tadi.

Sahabat Rasulullah s.a.w yang memimpin kerajaan dahulu bukan berlakon naik basikal tetapi memang kehidupannya sama dengan rakyat biasa sehingga mereka menjiwai perasaan rakyat yang hidup miskin.

Dalam Sahih Bukhari ada menyatakan ketika Rasulullah saw pulang daripada mendapat wahyu pertama, Khadijah berkata: "Seseungguhnya anda itu betul-betul menyambungkan kekeluargaan, suka menanggung beban orang yang sedang dalam kesukaran, memberi pertolongan kepada orang miskin, gemar menghormati tetamu dan menolong orang yang ditimpa bencana sama ada diperlakukan secara tidak adil oleh orang lain."

Falsafah pemimpin Islam berlumba menjadi paling miskin daripada rakyatnya yang miskin bukan berlumba menjadi paling kaya daripada rakyatnya yang kaya.

Abu Bakar, Umar dan lain-lain tidak melakukan demand untuk diri sendiri sebagai pemimpin sebaliknya memastikan rakyat terlebih dahulu menikmati kehidupan sempurna barulah beliau merasa selesa untuk hidup senang.

Diriwayatkan Ibn Sa'd, pada tahun kelaparan pemerintahan Umar bahawa unta disembelih lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga kepada Umar.

Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu Umar bertanya: "Dari mana diperolehi ini?". Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata 'Umar: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa." Dalam riwayat al-Tabari, Umar juga tidak makan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai terlebih dahulu dapat memakannya. Umar mengambil sikap sedemkian kerana barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. Umar enggan makan bahkan berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?".

Bersediakah Abdullah mengambil Umar sebagai idola beliau untuk diterapkan dalam pemerintahannya?

Allah berfirman dalam surah al-Isra ayat 26-27: "Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya." Selain itu kerajaan juga kena meningkatkan prasarana laluan berbasikal dan pejalan kaki. Prasarana jalan ibu kota dan peraturan tidak memberi keutamaan kepada penjalan kaki dan berbasikal kerana itu kenderaan tidak menghormati pihak yang kecil sehingga mengancam nyawa.

Koridor jalan mesti selesa untuk kemudahan laluan basikal supaya tidak menganggu kenderaan lain dan perasaan penunggang lebih tenteram berbasikal tanpa rasa takut dirempuh kereta atau kenderaan berat. - mns_

.

Khamis, Jun 26, 2008

Tidak pasti kenapa tetapi proses menyiapkan tulisan ringkas ini bersempena dengan 100 hari pemerintahan PAKATAN Selangor dan beberapa negeri lagi banyak kali tertangguh.
Selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu Barisan Nasional seolah tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka hampir kalah. Konsep kekebalan BN yang menguasai SPR pasti akan menang mudah tercabar. Ramai mengatakan PRU lalu bebas kerana itu ramai calon BN tewas. Itu tidak benar sama sekali. Apa yang berlaku ialah penipuan SPR tidak berjaya menidakkan gelombang rakyat menolak BN yang berlaku di luar jangka. Malah che'GuBard cukup menyakini jika digunakan dakwat penanda sudah pasti BN akan terkubur sama sekali kerana pengundi berulang yang menjadi taktik utama BN akan digagalkan.

Sebelum PRU lalu ramai pemimpin Bn dengan sombong mencabar rakyat agar membuktikan dengan undi ketika pilihanraya.
"Perubahan perlu dilakukan dalam kotak undi" kata mereka.
"pembangkang perlu paham erti demokrasi yang dipilih rakyat akan menang dan pembangkang sengaja membangkitkan sentimen berkumpuluntuk menyuarakan suara minoriti rakyat" tambah pemimpin BN lagi.
"pembangkang sering sabotaj kerajaan rakyat kerana tidak mahu kerjasama...pilihanraya sudah berlalu... sekarang masa untuk kerja sama" itu ayat PM masa selepas menang besar PRU 2004.
Namun melihat beberapa perkembangan terkini jelas. Bnlah yang tidak boleh menerima hakikat demokrasi. Dengan sedikit kelebihan kuasa di kerajaan persekutuan Bn dengan bersungguh - sungguh untuk mensabotaj kerajaan PAKATAN di Selangor, Perak,Kedah, P.Pinang dan Kelantan.
Selalu sangat terpacul dari mulut pimpinan Bn di segenap peringkat menyeru perlunya berjiwa besar demi rakyat. Namun mana pergi jiwa besar itu bila pengerusinya di Wilayah Persekutuan, Dr Tan Kee Kwong menyertai kerajaan Selangor demi membantu rakyat. Dia bukan menyertai keADILan atau DAP dia menyertai sebuah kerajaan yang dipilih rakyat. Mengapa ini menjadi kontroversi ? begitu juga beberapa pimpinan Bn di P.Pinang yang dilaporkan menawarkan khitmad kepakaran mereka membantu kerajaan yang dipilih rakyat tetapi diambil tindakan oleh Bn.
Contohnya arahan kepada semua agensi di bawah kerajaan Pusat yang berada di negeri - negeri PAKATAN di arahkan jangan bekerja sama atau memanggil mana - mana wakil rakyat termasuk Menteri Besar untuk acara mereka. Buktinya di Selangor, Tan Sri Khalid yang berbesar hati untuk bersama meraikan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor anjuran Jabatan Pendidikan Selangor di halang untuk berbuat demikian.
Bertindak atas nama rakyat Selangor,YAB Menteri Besar Selangor memohon untuk mendapatkan waktu siaran Radio Selangor FM untuk menyampaikan dasar Kerajaan Selangor dan mendapatkan maklum balas secara terus dari rakyat. Malangnya tindakan ini dihalang oleh Menteri Penerangan dan bukan sahaja itu, Kementerian Penerangan turut memindahkan Stesen Selangor FM ke Angkasapuri. Kemudian Menteri Penerangan pula secara tidak malu menfitnah dengan mengatakan Kerajaan Selangor menghalau Stesen Selangor fm agar keluar dari bangunan kerajaan negeri. Ini bukan sahaja berlaku di Selangor malah di Kedah ketika Radio temapatan menyiarkan siaran langsung perasmian Musabaqah Al Quran Peringkat Negeri Kedah secara tiba - tiba apabila YAB MB Kedah memulakan ucapan, siaran lansung terhenti.
Begitu jugalah semua agensi pusat sedang dalam usaha serius memastikan rakyat negeri yang menolak Bn akan terus derita dengan harapan rakyat negeri - negeri tersebut insaf dan melutut semula kepada ajaran sesat 'tuhan pemberi rezeki' Bn. Azalina Othman selaku Menteri Pelancongan pula dengan sengaja membatalkan semua Mou kerjasama Kementerian Pelancongan dengan Kerajaan Negeri yang tidak berada dengan Barisan Nasional. Malah syarikat television yang ada kepentingan keluarga Abdullah Badawi dalam tidak sampai dua minggu selepas pilihanraya mengumumkan bahawa Karnival Jom Heboh akan memboikot negeri bukan bawah BN.
Agen Bn sentiasa berusaha bersungguh - sungguh dalam usaha sabotaj ini. Mereka mula mengupah agen - agen mereka kononya atas nama rakyat negeri tertentu untuk membuat laporan polis dan seumpamanya kononya kerana kerajaan di bawah PAKATAN gagal tunai janji. Ini sebenar bukan kerana janji dan prihatin terhadap rakyat pun. Ini lebih kerana mereka cemas dan mereka percaya jika kerajaan PAKATAN tidak disibukkan dengan menjawab agen - agen Bn ini sudah tentu banyak pendedahan rasuah dan penyelewengan pimpinan lama terbogel.
Di Selangor Khir Toyo dan Md Taib sedang berlumba mencipta agen menggagalkan kerajaan Selangor untuk membuktikan kekuatan masing - masing. Satu demi satu Laporan Polis di buat , sidang media diadakan untuk menunjukkan kononya rakyat mula menolak kerajaan Selangor kerana gagal mentadbir dan menunaikan manifesto, tetapi persoalan timbul jika benar jawatankuasa yang membuat sidang media dibentuk atas kepentingan rakyat di mana mereka ketika wujud banyak pihak yang ingin menggagalkan usaha pemberian air percuma kepada rakyat selangor.
Dalam isu pemberian air percuma ini pemimpin BN pusat dalam sidang Parlimen menyatakan bahawa PAKATAN di selangor merasuah rakyat ? tetapi di Sidang Dewan Selangor pula pemimpin Bn mengucapkan terima kasih dan cabar pula beri lagi banyak air percuma. Ini menunjukkan sikap berdolak dalik Bn.
Masalah dalam pemberian air percuma ini menggambarkan kegagalan sistem penswastaan Bn. Apabila kemudahan asas seperti air pun diserahkan kepada pihak swasta sudah tentu akan menyebabkan masalah rakyat akan dijerut dengan bil yang semakin menaik.
Pengurusan Air Selangor diuruskan atas nama Syabas, dimana pegangan majoritinya dipegang oleh Tan Sri Razali atas nama Puncak Niaga. Razali ialah teman rapat Md Taib. Dia yang merupakan bekas bendahari Umno dalam Selangor naik kerana diberi ruang oleh Md Taib sebagai kroni beliau. Razali ini jugalah yang terbabit dalam usaha memperdaya penduduk Sungai Buaya dalam isu tanah yang sehingga kini masih tidak selesai.
Bayangkan air yang penting bagi rakyat Selangor diserahkan kepada manusia seperti ini. Razali untung besar...menjual air kepada rakyat dan menyedut duit umpama puntianak menghisap darah. Puncak Niaga melalui Syabas dijanjikan kenaikan tarif dalam bil air dari masa ke semasa. Dia sudah terlalu banyak untung.... dan terus tamak untuk untuk dan menjamin saluran wang kepada pemimpin tertentu Bn dapat diteruskan.
Mujurlah usaha serius oleh YAB MB Selangor dan di sokong oleh sebuah syarikat kerajaan negeri, KDEB di bawah Datuk Karim Munisar bersungguh - sungguh sehingga berjaya merialisasikan air percuma untuk rakyat Selangor. Ramai menganggap semuanya selesai...tidak Tan Sri Razali akan terus menikmati dalam amsa terdekat ini nikmat penjualan air kerana kos kenaikan dan pembayaran akan di bayar oleh KDEB belasan juta sebulan kepada Puncak Niaga. Tetapi sedikit harapan kepercayaan mungkin boleh diletakkan kepada Karim, Pengerusi KDEB kerana beliau sudah pun membuktikan kemampuan korporatnya yang menjadikan KDEB antara anak syarikat kerajaan negeri dalam Malaysia yang paling progresif malah berjaya merangkul rekod pencapaian terbaik rantau ini berdasarkan pencaipan di BSKL.

Bn tidak akan berhenti, mereka tidak faham isyarat rakyat. Md Taib, selaku Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah sehingga kini masih gagal menafikan berita Malaysiakini.com yang menyatakan bagaimana beliau menggunakan kemudahan (termasuk wang) kementerian dibawah beliau untuk menaja JKKK yang ditaja kerajaan Pusat untuk mensabotaj kerajaan Selangor.

Sebanar mungkin bagi Bn mereka cuba mensabotaj kerajaan PAKATAN tanpa dia sedar dia sedang mensabotaj dan mendera rakyat. Jika mereka sedarpun mereka pasti akan meneruskan usaha tersebut kerana nafsu politik rakus. Malah terbaru ada diberikatan betapa Bn bersama dengan orang bekas keADILan sedang dalam usaha serius mempengaruhi pemimpin PAS Selangor menyertai usaha mereka secara terus terang menyeberang atau sebagai pengacau dalam selimut.

che'GuBard yakin usaha mereka sia - sia. Rakan dalam PAS akan terus teguh berdiri bersama rakyat. Namun kerajaan negeri dan gabungan PAKATAN pula jangan ambil mudah teruskan usaha memperkasakan rakyat. Jangan ulang kesilapan Bn yang tamak dan rakus. Tidak dinafikan sudah ramai orang PAKATAN mula bincang pasal berniagaan itu tidak salah tetapi itu bukan sehausnya jadi tajuk utama.

che'GuBard sekali lagi seru untuk semua pimpinan tumpu terus pada rakyat bukan masalah kecil yang melarikan perhatian. Jangan ulang kesilapan bagaimana Barisan Alternatif terpisah selepas PRU 1999 oleh kerana sesuatu pertikaian tak perlu

--
Inter-Asia Graduate School of NGO Studies, Songkonghoe University,
1-1 Hang-Dong, Guro-Gu, Seoul152-716 South Korea
http://chegubard.blogspot.com
mobile phone : +8210 28975133

profile url : http://chegubard.blogspot.com/2006/12/chegubard-profile.html

Nak ke kita jadi Wakil Rakyat dengan elaun/gaji lebih kurang RM 5000 sebulan
? Kalau di DUN Paroi ni pengundinya saja sekitar 20,000 orang, penduduknya
mungkin ada 100,000 orang, rumahnya mungkin ada 20,000 rumah. Kalau
tiap-tiap hari melawat satu rumah mengambil masa 55 tahun. Setiap hari pula
mungkin ada 5 ke 10 orang datang mengadu perlukan bantuan, anak tak sekolah,
bil air tak dapat bayar dan macam-macam lagi masalah.

Nak ke kita jadi wakil rakyat , tambahan pula di Negeri Sembilan ini , elaun
untuk membuka Pusat Khidmat Masyarakat RM 1,500 ditarik balik oleh Kerajaan
Negeri Sembilan ? Dahlah elaun RM 5,000 tolak RM 1,500 untuk pengurusan
Pusat Khidmat tinggal RM 3,500. Siapa yang nak jadi wakil rakyat dengan RM
3,500 di Negeri Sembilan ini, itu sahaja sumber pendapatan mereka. Nak
berniaga tak ada masa, sebab hampir setiap hari kalau tidak melawat kawasan,
orang ramai akan datang mengadu.

Dengan RM 3,500 untuk wakil rakyat tanpa bantuan dari sesiapa sudah pasti
tak ada siapa nak jadi wakil rakyat di Negeri Sembilan ini.

Lebih baik jadi Jurutera di kilang dari jadi wakil rakyat, ada banyak masa
bersama keluarga. Lebih baik jadi pengurus bank dari jadi wakil rakyat, ada
masa balik kampung jumpa emak ayah. Lebih baik jadi guru dari jadi wakil
rakyat, dapat tengok perkembangan pembelajaran anak-anak.

Tetapi kenapa orang berebut jadi wakil rakyat dengan hanya RM 3,500 ?
Bukannya jadi wakil rakyat ni boleh berniaga. Bukannya jadi wakil rakyat ini
dapat keistimewaan dapat projek, dapat pasir, dapat balak, dapat rumah murah
dan sebagainya. Kenapa nak juga jadi wakil rakyat ? Tambahan pula di Negeri
Sembilan ? - Rozmal

Rozmal http://waghih.blogspot.com

Yayasan Amal Malaysia

http://www.amalmalaysia.net

Kelab AMAL NS http://amal-ns.blogspot.com

Institut Kajian Angkasa http://ikam-space.blogspot.com

Pusat Pendidikan As
Saidiyyah http://puspa-ns.blogspot.com

Oleh husamjr

Tajuk diatas ialah tajuk sebuah artikel diruangan Pedoman & Iktibar majalah Mastika keluaran Julai 2008 (ms118). Ia merupakan artikel menarik selain daripada artikel mengenai Tok Guru Nik Abdul Aziz di ms 84. Meremang bulu roma saya setelah membaca kehebatan ulama tersebut sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi "berdakwah" hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam.

Bukan itu sahaja, menurut pilot tersebut, di sepanjang penerbangan tersebut awan memayungi pesawat tersebut sedangkan tempat lain keadaan panas terik. Kejadian tersebut juga disaksikan oleh krew pernerbangan tersebut. Melihat kepada kejadian aneh itulah, pilot tersebut mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Subhanallah.

Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau. Antaranya :

  • Beliau merupakan seorang yang terkenal yang berjuang atas nama Islam.
  • Beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung 6 tahun yang lepas di sebuah Hospital di Kuala Lumpur
  • Jenazah beliau diterbangkan ke sebuah negeri di utara dengan pesawat Hercules TUDM daripada airport Subang. Selain itu jenazah beliau juga diiringi oleh polis.
  • Disemadikan di sebuah madrasah negeri kelahiran beliau sesuai dengan wasiat beliau.
  • Ribuan rakyat hadir dari seluruh pelusuk negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah beliau.

Itulah antara fakta2 yang dinyatakan tentang jenazah ulama tersebut. Saya yakin, berdasarkan fakta2 tersebut, ulama yang dimaksudkan ialah Almarhum Ustaz Fadhil Nor, mantan Presiden PAS.

Almarhum meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di HUKM pada 23 Jun 2002. Almarhum disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah negeri kelahirannya. Jenazah Almarhum diterbangkan dengan pesawat Hercules TUDM di Subang dan tiba di airport Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 orang. Ramainya orang yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum sehinggakan jalan raya sesak teruk lebih 20 km. Kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km. Subhanallah.

Cerita awan memayungi pesawat yang membawa jenazah Almarhum Ustaz Fadhil Nor ini mungkin baru kita dengar. Dan ia diceritakan oleh pilot yang membawa kapal terbang tersebut. Inilah bila berjuang dengan keihklasan, balasan yang Allah tunjukkan dengan jelas kepada kita dan ia sebagai pemangkin semangat kita untuk terus memperjuangkan agama Allah. Kehebatan & keihklasan Almarhum berdakwah dan berjuang untuk agama sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi "berdakwah" hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam. Sememangnya Almarhum berjuang tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Almarhum disegani teman dan lawan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.

Al-Fatihah.

Rabu, Jun 25, 2008

Pendapatan isi rumah di bawah RM 1,500 sebulan adalah secara rasminya berada
dalam kategori keluarga miskin pada ketika ini. Keluarga yang keputusan
bekalan makanan asas selama beberapa hari semakin banyak kedengaran sekarang
ini bukan sahaja mereka yang tinggal di pedalaman tetapi mereka yang tinggal
di kota-kota besar.

Menyedari hakikat ini Pusat Khidmat DUN Paroi yang kerap dikunjungi mereka
yang memerlukan bantuan makanan dan angka ini semakin bertambah setiap hari
, telah melancarkan Program Bantuan Makanan Kecemasan untuk memberi peluang
kepada orang ramai yang berkemampuan untuk membantu golongan mereka yang
amat memerlukan bantuan makanan.

Program Bantuan Makanan Kecemasan ini adalah bertujuan untuk memberi segera
bantuan makanan kepada keluarga miskin sementara menunggu kelulusan
permohonan bantuan dari agensi kerajaan yang lain seperti Baitul Mal dan
Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kepada mereka yang prihatin bolehlah menghulurkan sumbangan seperti , Beras
, Tepung , Gula , Susu , Biskut , Sardin serta lain-lain bahan makanan asas
yang tahan lama dan tidak mudah rosak ke Pusat Khidmat Masyarakat Paroi , No
22 , Jalan Bunga Raya 27 , Taman Tasik Jaya , 70400 Seremban , N.Sembilan
atau menghubungi Koordinator Pusat Khidmat Sdr Hassan 019-2171942 ,
06-6794609

Sumbangan kewangan juga boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Msia Bhd
(BIMB) Nama akaun : PAS Dun Paroi . No akaun : 05012010063902


Blog PAS N.Sembilan http://pasns.blogspot.com

Rembau

http://rembau-hari-ini.blogspot.com

Anak Muda Kampung

http://amkns.blogspot.com

Harakahdaily
Menemui yang dikasihi anak abah yang tersayang, semoga sihat sejahtera dan dipelihara Allah sentiasa...Amin.

Suhaib,
Abah di Kemta sihat, Alhamdulillah.

Hari Selasa lepas, 29 Jan 2008, beberapa orang kawan abah iaitu Terhamid, Ahmad dan Zakaria (semua dari Indonesia) telah dilanjutkan lagi penahanan mereka dari empat tahun kepada lapan tahun. Pakcik Yazid Sufaat juga telah ditambah lagi dua tahun iaitu dari enam tahun kepada lapan tahun.

ImageMemang tension juga abah memikirkan kisah pelanjutan penahanan ini, tetapi bila fikir pahala yang Allah janjikan ...apalah sangat ujian seperti ini. Bila abah baca pengalaman Zainab al-Ghazali yang diseksa di penjara Mesir, terasa malu pulak dengan ujian yang tidak seberapa ini.

Suhaib,
Kawan-kawan abah, berebut-rebut nak baca buku Zainab al-Ghazali itu. Sesiapa yang membacanya memang terasa mendapat suntikan baru, menggantikan semangat yang semakin longgar.

Tuan buku tu bernama 'Harun dan Salina', mungkin mereka antara kawan-kawan umi, dan harap dapat sampaikan ucapan terima kasih kepada keduanya kerana sudi pinjamkan buku itu. Lain kali, kalau ada buku seperti itu, bawalah ke Kemta.

Semalam, Selasa 30 Jan 2008, satu rombongan peguam telah datang ke Kemta. Salah seorang dari mereka ialah Pakcik Bon (Edmund Bon), orang kuat Majlis Peguam. Ada ramai peguam India dan seorang peguam berbangsa Melayu.

Peguam itu menceritakan pelbagai aktiviti hak asasi mereka dan juga kerja-kerja GMI. Sebelum bertemu tahanan Jemaah Islamiyyah (JI), Pakcik Bon dan kawan-kawannya berjumpa lima orang pemimpin Hindraf yang turut ditahan di Kem Kamunting ini.

Peguam Edmund Bon minta pengesahan daripada abah sama ada hendak meneruskan Habeas Corpus (HC) atau tidak. Abah, pakcik Murad Sudin, dan pakcik Sufian Saleh bersetuju HC itu diteruskan saja kerana jika tidak buat apa-apa pun, kami akan terus ditahan juga di kem.

Jadi, lebih baik teruskan dengan HC, paling tidak pun, kes itu akan dedahkan kejahatan ISA. Insya-Allah, kami dapat pahala. Mungkin Suhaib dan umi boleh tengok surah Taubah ayat 120 dan cuba fahamkan maksud ayat itu.

Selepas pertemuan itu, peguam telah belanja kami semua (tahanan yang bertemu peguam saja) makan tengahari. Abah rasa, pertemuan hari ini, ada kelainan sedikit dari biasa. Pakcik Bon ada sebut tentang pilihan raya yang semakin hampir. Abah harap pihak pembangkang tidak akan lupakan isu ISA ini.

Suhaib,
Abah sentiasa doakan Suhaib sentiasa bersabar dengan ujian ini. Abah dah rasa terlalu lama ketinggalan dengan urusan penghidupan di luar sana, terutamanya dalam membantu umi mendidik Suhaib tentang akidah dan akhlak. Abah selalu berpesan kepada umi untuk mengatur semuanya dengan sebaik mungkin. Abah hanya mampu mendoakan saja dari penjara ini.

Salam sayang buat Suhaib dan umi.

Abah,
Mat Sah Satray,
12.15 pagi, 1 Feb 2008.
Kem Tahanan Perlindungan.

____________________________

Surat ini merupakan sebahagian coretan yang dimuatkan dalam buku 'Dunia Tanpa Suami', yang menukilkan sebahagian luahan hati para isteri yang dinafikan hak mereka angkara ISA.

Buku setebal 115 muka surat itu antara lainnya menceritaka pengalaman pahit dan kesengsaraan para isteri, yang suami mereka ditahan selama beberapa tahun di bawah ISA.

Malah, bekas tahanan yang kini sudah menjadi wakil rakyat, Saari Sungib turut menulis pengalaman beliau ketika ditahan dan juga selepas bergelar YB.

Membaca pengalaman isteri-isteri tahanan ISA seperti isteri Saari, Aliza Jaafar, Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA, Norlaila Othman dan Siti Norma Ismail, jelas menggambarkan kesengsaraan dan keperitan yang dialami keluarga tahanan.

Bukan sahaja suami mereka ditahan, keluarga termasuk ibu bapa dan rakan-rakan turut diganggu polis cawangan khas (Special Branch-SB), ke mana sahaja mereka pergi, dengan pelbagai cara.

Buku yang dijual dengan harga RM15 itu wajar dimiliki bagi mereka yang prihatin dengan nasib keluarga tahanan ISA kerana wang dari pembelian buku tersebut akan disumbangkan kepada tabung GMI.

Bagi mereka yang ingin memiliki buku tersebut, boleh menghubungi terus Norlaila Othman di talian 012 6892608, dan pejabat Suaram (03-77843525).

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan bahawa isterinya Rosmah Mansor terbabit dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu seperti yang didakwa oleh Raja Petra Kamarudin. Najib juga berkata, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan bersumpah penulis sensasi itu.

rosmah mansor and altantuya murder caseBercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini, Najib berkata akuan Raja Petra itu satu "pembohongan dan sampah" semata-mata. Najib juga menyifatkannya sebagai satu tindakan terdesak untuk mencemarkan imej politik beliau. Sebelum ini, beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai masalah pendatang tanpa izin di Sabah. Raja Petra, dalam akuan bersumpahnya 18 Jun lalu, mendakwa Rosmah bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum wanita Mongolia itu diletupkan. Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Pengendali blog Malaysia Today juga mendakwa perdana menteri menerima maklumat tentang pembabitan tiga individu itu, termasuk Rosmah, dan menyerahkan laporan perisikan kepada menantunya dan juga naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Bagaimanapun, semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan ada menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera mengenai mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya. Abdullah dilaporkan berkata: "Memang saya concern (dengan dakwaan Raja Petra). "Perbuatan Raja Petra itu tidak boleh diterima. Sebab apa yang dia nyatakan itu adalah sesuatu yang tidak betul. "Terutamanya dalam surat itu (akuan berkanun Raja Petra) disebut yang saya dah diberi satu laporan mengenainya dari pihak perisikan tentera. "Itu tak betul," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan jawatankuasa khas mempertingkatkan daya saing kelapa sawit di bangunan Parlimen.

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menegaskan beliau tidak akan mengadakan sebarang pertemuan dengan pemimpin Umno bagi mengelak perpecahan dalam PAS sendiri.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, sebarang perundingan dengan parti lawan itu hanya akan memecahbelahkan PAS kerana ada di kalangan anggota PAS yang tidak bersetuju dengan perkara itu.

"Terhadap ura-ura yang mengatakan saya akan mengadakan perundingan dengan Umno, ini saya nak jawab, tak akan ada perjumpaan dengan Umno.

"Kita tak mahu nanti timbul perpecahan dalam PAS sendiri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini. 

Beliau berkata PAS perlu menjaga hati anggota dan juga penyokong parti itu selain tidak mahu Muktamar PAS yang akan datang menjadi medan melepaskan kemarahan anggota parti yang tidak setuju dengan cadangan itu.

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz berkata kerajaan negeri hari ini merangka beberapa lagi langkah penjimatan yang akan dilaksanakan serta-merta.

"Kerajaan negeri Kelantan telah lama mengamalkan langkah penjimatan dan ia dilaksanakan berdasarkan ajaran Islam, iaitu jangan boros dan juga jangan kedekut dalam mengurus kewangan kerajaan," katanya.

Antara langkah penjimatan itu ialah semua penerbangan pegawai kerajaan perlu menggunakan kelas ekonomi kecuali bagi kes kesihatan dan tuntutan elaun exco kerajaan negeri dihadkan.

Nik Aziz berkata pembiayaan program yang dianjur kerajaan negeri dikurangkan sebanyak 30 peratus daripada biasa dan program hendaklah diadakan di dewan-dewan milik kerajaan negeri.

Selain itu, penjimatan elektrik di semua pejabat kerajaan pada waktu rehat kecuali ada staf yang bertugas dan juga penjimatan dari segi pembelian peralatan pejabat.

"Kerajaan juga akan memberhentikan segera projek naik taraf yang tidak perlu. Pekeliling mengenainya akan diedar dalam dalam masa terdekat," katanya.

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) mengumumkan bahawa perhimpunan satu juga rakyat akan diadakan pada 6 Julai 2008 bertempat di Padang Timur Petaling Jaya berhadapan Amcorp Mall pada jam 10.00 pagi.
Penyelaras Protes, Dr Hatta Mohd Ramli yakin Protes dapat mengumpul sejuta rakyat negara ini kerana keadaan negara semakin gawat dengan berbagai-bagai masalah termasuklah politik kerajaan.
Tambahan pula katanya, sudah 15 hari rakyat terus menjalani kehidupan yang terhimpit sejak kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Katanya, kemarahan rakyat semakin memuncak dengan demonstrasi membantah kenaikan minyak merata-rata tempat termasuk di Masjid Kampung Baru dan di Kajang.
Beliau juga meminta satu juta rakyat yang akan mengikuti perhimpunan itu memakai baju berwarna merah sebagai identiti rasmi membantah kenaikan harga minyak.
Oleh itu, katanya Protes kali ini dengan slogannya 'Protes Satu Juta Rakyat Turun' akan terus menyatakan siri bantahan terhadap kerakusan kerajaan di seluruh negara.
Ketika ditanya sebab Padang Timur dipilih sebagai lokasi perhimpunan, Dr Hatta berkata Protes mengambil kira keselesaan peserta himpunan dan ia berdekatan dengan sebuah tasik rekreasi.
"Orang ramai boleh datang dari beberapa arah tanpa kesesakan seperti dari lebuh raya persekutuan dan boleh menggunakan kemudahan awam LRT yang berhenti di Taman jaya," katanya kepada wartawan di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.
Jelasnya, dalam perhimpunan itu pemimpin Pakatan Rakyat turut berucap kemudian diikuti tayangan media tentang senario kenaikan harga minyak yang akan memberi semangat dan kesedaran kepada rakyat.
"Di samping itu, kita akan menjemput beberapa artis serta mengadakan persembahan teater bergerak untuk menaikan semangat kepada para penyokong bantahan itu," katanya.
Apa yang penting Hatta menegaskan, perhimpunan itu sebagai satu mesej penting kepada Abdullah Badawi untuk menurunkan harga minyak.
Katanya, orang ramai pula tidak perlu risau dengan keselamatan di padang itu, kerana pihak penganjur akan menyediakan seramai 3,500 petugas keselamatan untuk mengawal cubaan provokasi oleh pihak tertentu.
Beliau juga menegaskan tidak berhasrat untuk memohon sebarang permit daripada pihak polis untuk perhimpunan itu.
Merujuk hari perhimpunan yang berubah, Hatta berkata hari Ahad cuti umum dan tidak ramai yang berniaga dan keadaan lalu lintas agak lengang.
"Jika tidak ada di kalangan peniaga merungut mereka kerugian ribu ringgit kerana perhimpunan oleh Protes," katanya.
Menjawab kenapa tidak membuat di tempat yang diputuskan sebelum ini iaitu KLCC, Hatta berkata, sasaran perhimpunan kali ini agak besar dan di kawasan padang berkenaan amat sesuai di samping memudahkan pihak keselamatan mengawal.
Semasa ditanya apa kemucak perhimpunan tersebut, Hatta berkata mereka akan membuat satu 'pengisytiharan' bagaimanapun beliau tidak menjelaskan apa pengisytiharan itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga penyelaras Protes berkata, himpunan itu juga sebagai satu insiatif Pakatan Rakyat bahawa mereka amat serius dalam menangani masalah rakyat.
Bagaimanapun, katanya untuk menggerakkan satu juta rakyat turun sama-sama membantah kenaikan minyak adalah satu cabaran yang besar.
"Kita tunjuk kepada kerajaan kita akan menggunakan hak demokrasi untuk mengubah nasib kita sendiri," katanya.
Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin mengajak semua mahasiswa dan mahasiswi untuk sama-sama menyertai perhimpunan itu sebagai satu platform menyampaikan ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan.
"Mereka mewakili golongan muda untuk sama-sama mengembleng tenaga bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan memanipulasi isu minyak," katanya.
Seorang lagi penyelaras Protes S. Arultcelvan pula berkata, pada 6 Julai nanti rakyat telah membuktikan kepada kerajaan bahawa mereka menyahut cabaran Perdana Menteri untuk terus mengadakan perhimpunan bantahan.