Rabu, Oktober 15, 2008

KUALA LUMPUR:Sehari selepas disahkan bebas daripada cabaran perundangan, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin menafikan beliau ada ditawarkan supaya menyertai Umno.

Sebaliknya tegas wakil rakyat itu beliau masih bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen semalam, Zulkifli juga menegaskan beliau akan bersama dengan parti yang memperjuangkan Islam.

Ekoran keputusan mahkamah semalam banyak pihak membuat andaian bahawa beliau akan menyertai Umno.

Malah komen pengunjung blognya juga menyentuh kemungkinan tersebut.

Menurut beliau, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan parti itu masih memperjuangkan Islam.

"Setakat ini belum lagi (tawaran dari Umno). Saya ambil pendirian dan konsisten dengan pendirian saya untuk memartabatkan Islam dan mana-mana platform yang memperjuangkan Islam.

"Kalau DAP memperjuangkan Islam, saya pilih bersama DAP” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada kenyataannya itu bermakna beliau akan menyertai PAS, Zulkifli berkata, beliau tidak bermaksud demikian.

"Saya masih duduk di kerusi PKR. Cuma ada sedikit hiccup atas perjuangan dengan Islam tapi tak timbul soal melompat parti.

"Saya masih berhubung dengan Datuk Seri Anwar dan beliau memberi jaminan pada saya yang perjuangan Islam masih diiktiraf," katanya.

Zulkifli berkata, beliau telah dipanggil mengadap jawatankuasa disiplin partinya berhubung penyertaannya dalam perhimpunan membantah penganjuran forum ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam pada 9 Ogos lalu dan tiada tindakan yang dikenakan ke atasnya.

"Saya telah memberikan penjelasan yang cukup jelas tentang pendirian saya bahawa saya utamakan perjuangan Islam dan kalau PKR utamakan Islam, saya tiada masalah.

"Saya tiada halangan khususnya dari (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) yang telah banyak kali berjumpa dan berhubung.

"Saya tak dikenakan sebarang sekatan untuk teruskan perjuangan Islam saya khususnya berkaitan dengan bangsa," katanya.

Zulkifli berkata, beliau bersyukur atas penarikan balik petisyen tersebut dan selalu meletakkan keyakinan bahawa kebenaran akan terserlah.

"Walaupun kita bersedia untuk menghadapi perbicaraan tersebut dengan persediaan rapi dan saksi yang kita ada tapi keputusan yang dibuat oleh BN untuk menarik balik petisyen tersebut, kita terima dengan dada yang lapang," katanya.

Sementara itu, Anwar ketika diminta mengulas mengenai hal itu berkata Zulkifli masih menjadi wakil rakyat PKR bagi kawasan Kulim-Bandar Baharu.

Katanya, dakwaan bahawa Zulkiffli keluar daripada PKR dan menyertai parti lain adalah khabar angin semata-mata, tambahan pula mereka sering berhubung dan tidak pernah dimaklumkan pengerusi Persatuan Peguam Islam itu mahu keluar daripada parti.

Berhubung tindakan calon BN kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menarik balik petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangan Zulkiffli, Anwar berkata, perkara itu mungkin disebabkan BN tidak yakin dengan keupayaan mereka untuk menang atau mereka juga tidak yakin bahawa akan ada pilihan raya kecil diadakan.

"Banyak pandangan mengatakan kes itu kuat (untuk BN menang). Itu yang saya dengar daripada peguam mereka dan mereka akan lawan habis-habisan tetapi memandangkan keadaaan politik dan ekonomi sekarang, BN dan Umno tidak bersedia menghadapi pilihan raya kecil sebab itu mereka tarik petisyen terhadap Zulkifli di Kulim-Bandar Baharu," katanya.

Semalam, Zulkifli berjaya mengekalkan kerusi Kulim-Bandar Baharu apabila Mahkamah Tinggi Alor Star menolak petisyen tersebut selepas Barisan Nasional (BN) memohon untuk menarik balik petisyen berkenaan.

Pada 27 April lepas, bekas calon BN bagi kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Mohd Hafarizam Harun memfailkan petisyen memohon keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas bagi kerusi itu diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

KOTA BAHRU: Murysidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang mengetuai Kelantan sejak 1990, masih yakin Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat sambil menekankan bahawa pihaknya akan tetap memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Keputusan memilih Anwar jika pembangkang berkuasa di peringkat persekutuan, kata Nik Aziz, sudah lama dipersetujui oleh pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pembangkang telah memutuskan demikian semasa pihaknya bersetuju untuk mewujudkan barisan alternatif sembilan tahun lalu.

"Cerita Anwar (dipilih sebagai Perdana Menteri) sudah lama... belum pada ini kita ada APU (Angkatan Perpaduan Ummah), lepas itu Barisan Alternatif, masa kita buat (bentuk) BA, kita dah buat keputusan, Perdana Menterinya Anwar... bukan cerita baru," kata beliau ketika ditemui di kediaman beliau di sini baru-baru ini.

Barisan alternatif dibentuk oleh pembangkang ketika menghadapi pilihan raya umum 1999 dan 2004.

Selepas pilihan raya umum Mac lalu pihaknya menamakan ikatan pembangkang sebagai Pakatan Rakyat.

Nama itu diumumkan pada 1 April lalu dengan menyasarkan 16 September bagi membentuk kerajaan baru persekutuan.

Bagaimanapun pada tarikh tersebut kerajaan baru tidak dibentuk, sebaliknya Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat meminta diadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah Anwar juga meminta supaya diadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan sokongan anggota Dewan Rakyat pada 23 September lalu.

Kedua-dua permintaan itu telah ditolak oleh Abdulllah.

Ketika ditanya tentang peluang dan kemungkinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat, Nik Aziz berkata: "Kami mesti ambil alih kecuali dia (kerajaan) kacau, diguna ISA, ditangkap, itu lainlah."

Tambah beliau, jika demokrasi dilaksana dengan sepenuhnya, sudah lama Umno digantikan dengan kerajaan baru.

"Kami yakin, syaratnya demokrasi diberi peluang penuh, tiada gangguan ISA, tiada ditangkap, kecuali dia ditangkap macam komunis," katanya.

Apabila ditanya mengenai perbezaan pandangan dan tidak puas hati dalam isu pembentukan kerajaan oleh Pakatan Rakyat dan diketuai Anwar jika menjadi, Nik Aziz berkata, masalah itu tidak wujud secara keseluruhan.

Cuma, jelas Nik Aziz, wujud sedikit perasaan ragu-ragu memandangkan Anwar dituduh kerana dituduh liwat sedangkan mahkamah sudah lepaskan beliau.

Anwar, kini Ketua Pembangkang di Parlimen, pernah berhadapan dengan kes liwat 10 tahun lalu tetapi dibebaskan dan berhadapan dengan tuduhan buat kali kedua Ogos lalu.

Jumaat, Oktober 10, 2008

KOTA BHARU, 10 Okt (Hrkh) - Rakyat tidak seharusnya gusar biar pun tarikh pertukaran kerajaan yang diuar-uarkan 16 September lalu belum menjadi kenyataan, kata Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, lagi pun rakyat sebelum ini sanggup menunggu puluhan tahun bagi membolehkan Pakatan Rakyat bangkit pada pilihan raya umum lalu.

"Puluhan tahun kita sanggup tunggu, tak kan hendak tunggu sekejap lagi pun tidak boleh," katanya pada ceramah perdana Aidilfitri di Padang Perdana, malam tadi.

Padang tempat berlangsung ceramah penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Ceramah itu turut mendapat liputan sebuah stesen televisyen dari Australia yang memfokuskan segmen kebangkitan semula Anwar.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali, Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail dan wakil-wakil rakyat Kelantan.

Anwar yang juga anggota parlimen Permatang Pauh berkata, Pakatan Rakyat tidak mahu pertukaran kerajaan berlaku seperti di Bangkok dan Filipina secara tidak aman.

"Kita pilih secara aman biar pun usaha Pakatan Rakyat sebelum ini mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri tidak diendahkan. Begitu juga permohonan untuk mengadakan sidang parlimen khas juga tidak dihiraukan.

"Malah Pakatan Rakyat sudah menghantar surat kepada Yang di Pertuan Agong bagi memaklumkan perkembangan terkini dalam Pakatan Rakyat yang sudah ada simple majority bagi membentuk kerajaan," katanya.

Pada ceramah itu sekali lagi beliau menegaskan Islam menjadi tunggak utama kerajaan baru sebagaimana yang termaktud dalam perlembagaan.

Katanya menjadi keutamaan Pakatan Rakyat untuk terus memartabatkan Islam dan PAS tetap menjadi penaju utama kepada kerajaan baru.

Menurutnya, setiap dasar kerajaan akan diputuskan bersama dengan parti-parti Pakatan Rakyat dan bukan menjadi dominan kepada pihak tertentu sahaja.

Anwar juga memberitahu beliau tidak setuju dengan cara pemimpin Umno menghina begitu rupa presiden mereka sehingga terpaksa membuat keputusan berundur Mac depan.

"Oleh itu baki lima bulan yang ada sekarang Perdana Menteri hendaklah menggunakan ruang tersebut bagi memulihkan kembali reputasinya. Pertama membebaskan mereka yang ditahan tanpa bicara di Kem Tahanan Kemunting.

"Dato' Seri Abdulllah tidak perlu lagi takut kepada pemimpin lain dalam Umno kerana mereka sudah meneranjangnya sekarang," tambahnya.

Beliau berkata, sekiranya Abdullah tidak menggunakan peluang tersebut, Pakatan Rakyat akan melakukannya dengan membebaskan semua tahanan ISA apabila dapat membentuk kerajaan kelak.

Hujah itu turut disokong Husam yang mahu Perdana Menteri menggunakan baki kuasa yang ada sekarang kerana penggunaan ISA muktahir ini begitu meragukan sekali.

"Tidak pernah berlaku orang yang dikatakan kena ugut ditahan dan orang yang mengugut pula bebas di luar," katanya.

Beliau juga berkata, petanda-petanda kejatuhan kerajaan BN semakin jelas sekarang apabila perpecahan dalam parti semakin ketara.

Sebab itulah sekarang menurutnya, rakyat tidak sabar lagi menunggu kerajaan baru dibentuk dan bukan lagi sekadar pertukaran Abdullah kepada Najib.

Saifuddin menjelaskan biar pun Najib menggantikan Abdullah pada Mac depan ia tidak menjanji apa-apa perubahan kepada rakyat kerana dasar parti tetap sama.

"Institusi polis, peguam negara, badan rasuah masih lagi terkial-kial sekarang. Kerajaan yang diketuai Najib juga tidak menjanjikan masa depan yang baik.

"Oleh itu anggota-anggota parlimen BN dipelawa menyertai Pakatan Rakyat bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar telus dan adil dapat dibentuk melalui simple majority," ujarnya.