Selasa, Disember 13, 2005

Bagaimanapun sekiranya Kerajaan Pusat berhasrat untuk membina pasar dan jajantas itu, kerajaan negeri amat mengalu-alukan biarpun plan pembangunannya telah disiapkan.
Oleh SALMAH MAT HUSEIN
KOTA BHARU, 13 Dis (Hrkh)- Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri tetap akan membina jejantas yang merentangi laluan keretapi dan pasar baru di Pasir Mas, biarpun PAS tewas dalam pilihan raya kecil pada 6 Disember lalu.

Katanya, kerajaan negeri berhasrat berbuat demikian sebelum ini memandangkan infrustruktur khususnya jajantas tiada dalam plan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-9 yang digariskan oleh Kerajaan Pusat.
“Kerana itu sejak awal lagi kita berhasrat untuk mendirikan jejantas dan pasar baru di situ biarpun calon PAS gagal mempertahankan kemenangannya baru-baru ini.
“Lagipun adalah menjadi kewajipan kerajaan negeri berbuat demikian kerana Pengkalan Pasir yang terletak dalam Jajahan Pasir Mas adalah sebahagian dari negeri ini, lagipun kita bukan memerintah Pengkalan Pasir saja, tetapi Kelantan seluruhnya,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Desa Wadi Iman Perbadanan Menteri Besar Kelantan di Kok Lanas, di sini hari ini.
Tuan Guru bagaimanapun berkata, sekiranya Kerajaan Pusat berhasrat untuk berbuat demikian (bina pasar dan jajantas), kerajaan negeri amat mengalu-alukan biarpun plan pembangunannya telah siap.
Jelasnya, sekiranya Kerajaan Pusat membina pasar dan jajantas itu, kerajaan negeri boleh menggunakan wang terbabit untuk pembangunan di tempat lain.
“Saya tak kisah bahkan dialu-alukan, wang yang disediakan untuk membina pasar dan jajantas di situ boleh digunakan untuk membuat benda-benda lain,” ujarnya lagi.
Beliau juga turut bersetuju sekiranya Pusat berhasrat untuk bekerjasama denan Kelantan untuk sama-sama memajukan negeri itu untuk membina pelbagai prasarana seperti longkang, rumah kedai, pasar dan sebagainya.
Tuan Guru juga turut menegaskan, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Pusat tidak akan terjejas biarpun PAS hanya mempunyai kelebihan satu kerusi sahaja di Kelantan.
Sambungnya, tidak ada sebab kerajaan negeri harus menghentikan hubungan antara Kerajaan Pusat memandangkan negeri ini (Kelantan) adalah sebahagian dari Malaysia.
-zs

0 Comments:

Post a Comment