Selasa, November 22, 2005

Pasir Mas, 22 Nov - Tindakan para pemimpin UMNO/BN yang memulakan cabaran agar PAS membubarkan DUN Kelantan sebenarnya menggambarkan kedudukan UMNO Kelantan yang semakin terdesak dan berangan-angan untuk berkuasa bagi memerintah Kelantan.
Keinginan BN untuk mengambilalih teraju pentadbiran disokong penuh oleh Perdana Menteri dan juga Timbalan Menteri yang turut sama mendesak PAS membubarkan DUN Kelantan.
Desakan dari pimpinan tertinggi UMNO ini memberi maksud bahawa keinginan dan nafsu besar UMNO/BN untuk menguasai Kerajaan Kelantan tidak dapat ditahan lagi sehingga mereka lupa bahawa rakyat Kelantan sebenarnya telah memberi isyarat jelas pada tahun 2004 bahawa UMNO/BN masih tiada ruang bertapak semula di Kelantan.
Walaupun PAS menang tipis, 24 daripada 45 kerusi DUN, namun pernyataan hasrat rakyat bagi melihat kesinambungan serta penerusan pentadbiran Islam di Kelantan tidak tergendala dan dicemari oleh politik kotor UMNO/BN adalah jelas.  Rakyat tidak mahu kerajaan yang korup, pecah amanah, cakap tak serupa bikin, kebas wang rakyat (PPRT) dan kerajaan yang zalim (ISA).
Hari ini kita melihat di dada akhbar, UMNO sekali lagi meletakkan syarat kepada PAS bila mendesak PAS membubarkan DUN. Nampak nyata bahawa UMNO sebenarnya sangat tidak ikhlas dan hanya ingin mengaburi mata rakyat Kelantan. Jika benar UMNO anak jantan, usah letakkan sebarang syarat.
Dalam konteks pilihan raya kecil N.12 Pengkalan Pasir, UMNO telah megambil peluang habis-habisan melalui pelbagai instrumen bagi memastikan PAS dapat ditumbangkan. UMNO tahu bahawa, PAS dan rakyat Kelantan tidak boleh ditumbangkan dengan wang ringgit, kain pelikat, projek pembangunan, gula, beras dan segala bentuk habuan material lain.
Kerana itu, UMNO telah menggasak PAS melalui instrumen lain. Media contohnya, menjadi bahan manipulasi dan propaganda bagi mereka bagi meracuni fikiran rakyat Kelantan. Perang psikologi mereka terhadap rakyat Kelantan nyata ada sedikit kesan, namun rakyat sedar, sudah lama sebenarnya rakyat sedar bahawa itu hanyalah perang saraf bagi melunturkan keyakinan rakyat terhadap PAS
Tidak cukup dengan media, jentera Kerajaan lain, polis dan tentera turut sama menjadi alat utama UMNO/BN untuk menumbang dan menghancurkan PAS dalam pilihan raya kecil ini. Semuanya sudah diketahui umum.
SPR, badan bebas, namun diikat kaki dan tangan. Yang menjadi mangsa adalah kakitangan kerajaan yang bekerja secara bebas. Kita tidak salahkan SPR seratus peratus, tetapi mereka yang menjadi tali barut kepada UMNO/BN yang berada dalam SPR. Penipuan daftar pemilih boleh dilakukan sesuka hati. Lihat saja semasa pilihan raya umum 2004 dalam kes negeri Selangor.
Ternyata, UMNO bernafsu besar untuk berkuasa bukan kerana batang tubuh mereka kuat. UMNO telah berpecah belah dan sudah menjadi 3 keratan. Dahulu semangat 46, dan sekarang KeADILan. UMNO/BN hanya kuat bila badan lain yang menjadi penyokong dan penguat. Badan lain tersebut ialah sebagaimana yang disebut tadi. UMNO tidak mampu bergerak sendiri. UMNO umpama orang yang sakit, tapi masih bernafsu besar.
Jika dinilai, UMNO sebenarnya tidak mampu berdepan dengan PAS sebagai anak jantan. UMNO hanya parti Melayu bertopeng. PAS tidak pernah gentar, dan senjata PAS adalah keyakinan yang kuat kepada ideologi perjuangan Islam berasaskan Al-Quran dan Sunnah.
Jika UMNO sibuk mencabar dan meletakkan syarat, PAS juga boleh mencabar dan meletakkan syarat. Cabarannya ialah, UMNO bertanding secara anak jantan, buanglah 'pistol, pisau, keris, parang dan senjata lain'. Kita bertumbok dengan kekuatan diri kita sendiri. Hantarlah SB pulang, risikan tentera pulang, ini bukan kerja mereka. Biarkan SPR menjalankan kerja dengan adil, telus, bersih dan suci dari pengaruh UMNO.
Rakyat akan buat penentuan dan rakyat hendaklak bebas dari tekanan, ancaman dan sogokan. UMNO jangan ingat rakyat Kelantan bodoh dan boleh dijadikan robot yang di 'diremote control'.
PAS sentiasa bersedia. Keyakinan adalah kepada Allah setelah berusaha sepenuhnya. Pejuang dan jentera PAS mengambil pengiktibaran dan pengajaran yang berkesan dari perang Badar. Walaupun jumlah yang sedikit dengan kelengkapan serba kekurangan, namun ia bukan faktor bagi PAS untuk berundur dan mengaku kalah. UMNO tidak boleh mendabik dada dengan taktik dan strategi mereka. PAS bukannya pejam mata. Jika PAS tertidur sekalipun, UMNO/BN tidak akan terlepas dari diperhatikan. 

0 Comments:

Post a Comment