Selasa, November 22, 2005

Oleh : Roslan sms

Semuanya bermula dengan congak-congak cetek dan separuh masak Annuar Musa, Ketua Perhubungan Umno Kelantan. Kata beliau jika PAS kalah dalam PR Kecil DUN Pengkalan Pasir 6 Disember ini maka wajarlah PAS mengambil inisiatif membubarkan Dewan Undangan Negeri Kelantan kerana ketika itu PAS akan hanya berdiri berkuasa dengan majoriti 1 kerusi.

Tambah beliau sewajarnyalah rakyat diberikan mandat untuk memilih semula sebuah kerajaan baru.

Sergah pukul curi Annuar ini yang disangkakannya paling bijak dan pintar itu dibeli pula oleh Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak. Kata Najib walaupun tidak ada peruntukkan dalam perlembagaan yang memaksa kerajaan negeri untuk membubarkan dewan namun dari segi moral PAS septutnya memohon mandat baru dari rakyat.

Sondolan buta Najib ini malangnya disambut pula dalam keadaan separuh sedar oleh Pak Lah selaku Presiden Umno. Pak Lah pun bersetuju mengatakan dewan patut dibubarkan.

Melihatkan pimpinan kanannya masing-masing termakan mentah-mentah silat terajang beliau, Annuar maju selangkah lagi dengan mencabar pula ahli-ahli DUN PAS seramai 23 orang itu agar meletakkan jawatan beramai-ramai yang akan diikuti oleh ADUN Umno seramai 21 orang bagi mengukur sokongan rakyat.

Kata Annuar kesemua 21 ADUN Umno telah pun bersetuju menghantar surat perletakkan jawatan masing-masing berkuatkuasa 1 Disember dengan syarat kesemua 23 ADUN PAS berbuat yang sama.

Tak ke pening kepala kita dibuatnya dengan aksi politik caca-marba Annuar ini? Berpusing-pusing macam gasing gelagatnya.

Tiba-tiba akhbar-akhbar tempatan melaporkan hari ini yang pihak SPR memberi amaran melalui Timbalan Pengerusinya Wan Ahmad Wan Omar.

Menurut beliau
, Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan menyebut, seseorang yang meletakkan keahliannya dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh peletakan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat. Kata beliau peruntukkan ini dipakai sama bagi negeri Kelantan.

Oleh itu kalau Annuar dan rakan-rakannya dalam Umno meletakkan jawatan, bermakna mereka merelakan diri masing-masing untuk tidak lagi bertanding semula dan bersetuju memberi laluan kepada calon-calon lain jika tidak kertas-kertas pencalonan mereka semuanya akan ditolak kerana melanggar perlembagaan!

Sejurus itu Pak Lah selaku Presiden Umno pun terpaksalah terkial-kial membuat kenyataan mencuci kotoran yang telah ditabur dan diselerakkan oleh Annuar lantaran keghairahan dan keangkuhannya mahu berlagak pandai itu. Kata Pak Lah sebagaimana dilaporkan BENRAMA:

Abdullah menasihatkan supaya tindakan cabar-mencabar itu dihentikan oleh Adun kedua-dua parti. Tak payahlah nak letak-letak jawatan, katanya selepas melancarkan majlis sambutan Hari Kualiti Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di sini hari ini.

Siapa letak jawatan tidak payah bertanding lagi dah. Takkanlah dah letak jawatan, esok nak bertanding (semula), katanya kepada pemberita di sini semasa ditanya mengenai tindakan cabar-mencabar antara PAS dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir 6 Dis ini.

Rakyat Kelantan dan kita di seluruh negara tahu bahawa segala-galanya bermula dari kegatalan mulut Annuar. Kalau beginilah singkatnya perkiraan dan pertimbangan Annuar, layakkah beliau mahu menuntut takhta MB Kelantan? Saya kira memang tepat sungguh apabila Tok Guru MB Kelantan ketika mengulas isu ini beberapa hari lalu mengatakan:

Jadi, tak payahlah cakap banyak, kami ni bukannya bodoh nak ikut saja apa yang dia cakap

Oleh itu kepada Annuar dan rakan-rakan hadapilah PR Kecil Pengkalan Pasir ini terlebih dahulu dengan penuh gentleman. Keluar keputusan nanti baru kita buat kira-kira. Kalau awal-awal dah buat nanti orang kata telur belum menetas, kita dah sibuk beli kayu dan atap untuk bina reban ayam. Kalau telur tak menetas, jadi tembelang macam mana? Kering-kering sahaja orang perbodohkan kita.

0 Comments:

Post a Comment