Sabtu, November 12, 2005

Pengundi Pengkalan Pasir ditawar RM1,000 setiap seorang(image placeholder)Saturday, November 12 @ 12:27:08 MYT
PASIR MAS, 12 Nov (Hrkh) – Tawaran cukup lumayan sekarang. Seumpama pasaran saham atau ‘cheap sale’ di pasar raya. Sebelum ini, setiap setiap pengundi dikatakan ditawar RM500, namun petang semalam tawaran itu melonjak sehingga RM1,000. Mana buktinya. Seorang penduduk di Slow Machang, Mohamad Noor, 45 memberitahu petugas Umno sudah menerima wang pendahuluan sebanyak RM30 setiap seorang.
“Selepas menerima duit mereka mulai bergerak termasuk mencari rumah-rumah untuk disewakan bagi menempatkan petugas Umno yang bakal datang. Mereka juga sudah mulai membersihkan pos-pos usang yang pernah digunakan pada pilihan raya umum lalu.
“Mereka memberitahu, hanya bersedia bekerja sekiranya duit dihulur dahulu, kalau tidak lebih baik duduk di rumah,” katanya ketika ditemui di sini.
Manakala di Pos Umno di Cabang Tiga Jias ke Slow Machang kelihatan beberapa petugas sedang menyapu sampah. Mereka yang berada di situ memberitahu setiap hari pemuda akan dibayar RM20 dan makan minum ditanggung beres.
Di depan pos itu terdapat pos PAS dan markaz besar sehingga menenggelamkan pos Umno yang berselindung di sebalik pokok rambutan. Pada pusingan awal ini, petugas-petugas Umno nampaknya belum bersemangat, hanya di Jias sahaja pos yang dibuka, sedangkan di tempat lain belum lagi.
Tumpuan gerak kerja Umno sekarang lebih banyak tertumpu di Pejabat Umno Bahagian di bandar Pasir Mas. Petang semalam banyak kereta berjenama mewah kelihatan di letak di sekitar bangunan tersebut.
Poster Umno yang terpampang gambar Dato’ Seri Najib Razak, Dato’ Seri Annuar Musa dan Dato’ Rahim Abdul Rahman kelihatan dipasang bagi menyambut kedatangan Timbalan Presiden Umno, Khamis lalu.
Namun pos-pos PAS sudah banyak kelihatan di sepanjang jalan dari Peti Undi Sakar ke bandar Pasir Mas. Markaz besar sudah bergemelapan lampu di waktu malam. Orang ramai berada di pos tersebut sehingga lewat malam.
Manakala sepanduk milik penyokong Dato’ Ibrahim Ali yang berwarna putih dapat dilihat di merata tempat. Berbagai tulisan yang ‘disembur’ dengan dakwah berwarna bagi mempertahankan kepemimpinan Ibrahim yang menjadi mangsa kerakusan pemimpin Umno dipasang.
Seorang penduduk di Jias, Abdul Rahman berkata, ramai orang sebut setiap pengundi akan dibayar sehingga RM1,000, namun di kampung ini belum didatangi agen mereka.
“Memang diakui Umno mempunyai duit banyak, namun berapa ringgit sampai ke sasaran di bawah, selebihnya diboloti pemimpin Umno peringkat bahagian dan cawangan.
“Tengoklah nanti selepas ini ada di antara mereka yang menukar kereta baru. Perkara seperti ini bukan perkara baru, malah sudah lama berlaku. Umno parti duit dan bukan parti agama,” ujarnya.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, berdasarkan kepada maklumat diterima setiap pengundi di Pengkalan Pasir akan dibayar RM1,000 sebagai habuan sekiranya memilih calon Umno.- mJ

0 Comments:

Post a Comment