Sabtu, November 12, 2005

Dewan Pemuda yakin majoriti diraih PAS meningkat
Saturday, November 12 @ 11:45:20 MYT
PASIR MAS, 12 Nov (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Pusat berkeyakinan majoriti yang bakal diraihkan calon PAS pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir, 6 Disember ini meningkat berbanding pilihan raya umum lalu. Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, andaian itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan semasa yang berlaku sekarang, di mana pengundi tidak lagi terpengaruh dengan isu pembangunan yang sering dijanjikan pemimpin Umno.
“Lagi pun jentera Pemuda yang datang bagi mempertahankan DUN Pengkalan Pasir berada di dalam keadaan semangat tinggi dan sekarang jentera pilihan raya dipertingkatkan berkali ganda lagi,” katanya selepas pelancaran jentera pilihan raya Dewan Pemuda di sini, petang semalam.
Hadir sama Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim, kepemimpinan Dewan Pemuda dari seluruh Kelantan dan anggota Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ismail Nuh.
Ramai di kalangan mereka memakai baju t-shirt bertulis ‘Kekal Pengkalan Pasir Kekal Tok Guru’. Dewan tempat perhimpunan itu penuh sesak dengan kehadiran pemuda.
Pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Wan Abdul Aziz Wan Jaffar pada 31 Oktober lalu akibat kanser hati. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat dengan majoriti 55 undi.
Salahuddin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersikap lebih profesional dengan tidak mengulangi lagi kesilapan yang berlaku pada pilihan raya umum lalu.
Katanya, kepincangan yang begitu ketara berlaku pada pilihan raya umum lalu di mana tempoh mengundi di Selangor dilanjutkan, nama pemilih di bangsal panas tidak sama dengan di bilik mengundi dan banyak lagi.
Beliau juga memberitahu, Dewan Pemuda PAS Pusat akan mendedahkan mengenai salah laku di kalangan pemimpin Umno selepas hari penamaan calon termasuk dari Kelantan yang mana ia disifatkan boleh mengancam keselamatan negara.
“Pendedahan itu membabitkan perbuatan pemimpin Umno termasuk yang berjawatan menteri di mana kelakuan mereka boleh mengancam keselamatan negara serta menimbulkan masalah besar kepada institusi yang menjadi kebanggaan orang Melayu.
“Institusi seperti Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kini menghadapi masalah akibat kerja orang besar Umno ini,” katanya. Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung perkara tersebut sambil berkata, ia adalah antara `senjata sulit' yang akan digunakan Dewan Pemuda PAS pada pilihan raya ini.
Mohd Zaki berkata, Dewan Pemuda PAS Kelantan menerima sesiapa sahaja yang dicalonkan mewakili PAS pada pilihan raya kecil ini.- mJ

0 Comments:

Post a Comment