Sabtu, November 12, 2005

Saturday, November 12 @ 13:32:54 MYT PASIR MAS, 12 Nov (Hrkh) - Ketika menghadapi pilihan raya umum 1978, antara projek mega yang dijanjikan kepada rakyat Kelantan iaitu mewujudkan sebuah universiti awam di negeri ini. Namun sepanjang 12 tahun pentadbirannya sehingga 1990, hanya tapak unversiti sahaja mampu disediakan di Bachok, sebaliknya cadangan membina universiti pula difaham dipindahkan ke Sintok Kedah.
Lebih mendukacitakan lagi bukan sekadar universiti yang diwujudkan, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) yang begitu popular dikendalikan kerajaan negeri ketika itu pula "dikuburkan".
Kali ini, janji serupa diulang tayang. Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak sekali lagi menabur janji muluk tersebut.
"Pelbagai projek mega termasuk universiti awam, lebuh raya Pantai Timur dan pelaburan akan dibawa masuk ke Kelantan," kata Najib di depan kira-kira 2,000 penduduk dan sebahagian besar anak-anak muda yang hadir menyaksikan persembahan Mawi semasa berkunjung ke Pasir Mas.
Seorang penduduk dari Lorong Rogayah, Othman Daud, 42 berkata, usahlah hendak tabur janji dengan projek besar sangat. Buatlah prasarana asas yang kecil terlebih dahulu.
"Rakyat tidak pernah lupa dengan janji seumpama itu. Di Bachok tapak universiti hanya dibina sekolah menengah sahaja. Takkanlah rakyat Kelantan termakan dengan janji tersebut lagi.
"Buatlah jejantas menyeberangi landasan kereta api dan membina pasar bagi penduduk berniaga dengan lebih selesa daripada menabur janji yang hanya menjadi bahan ketawa orang kampung," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Ali Seman, 60 dari Kampung Aur Duri berkata, Umno nampaknya begitu ketandusan isu untuk berdepan dengan PAS di Pengkalan Pasir sehingga terpaksa mengungkit semula isu lama yang menjadi senjata makan diri.
Beliau yang pencen berkhidmat dengan Keretapi Tanah Melayu menjelaskan sekiranya hanya isu seperti itu mampu dibangkitkan pada pilihan raya ini, ternyata Umno terlalu lemas sekarang.
"Usahlah hendak cerita pasal universiti di Pasir Mas, buat dulu di Bachok kerana tapaknya sudah berpuluh tahun diambil balik kerajaan,” kata anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub. - mJ

0 Comments:

Post a Comment