Ahad, November 13, 2005

Sunday, November 13 @ 15:52:40 MYT
"Saya yakin pilihan raya kecil ini akan berlakunya rasuah," kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh) - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Pasir yang dijadualkan 6 Disember ini akan diadaptasi Barisan Nasional (BN) dengan amalan rasuah dan politik wang untuk memancing pengundi merampas kerusi Dun tersebut, kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru, Haji Abdul Hadi Awang."Saya yakin pilihan raya kecil ini akan berlakunya rasuah," kata beliau ketika mempengerusikan sidang media sebelum Majlis Rumah Terbuka PAS di Markas Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar di sini sebentar tadi.
Turut serta dalam sidang media itu ialah, Naib Presiden PAS, Husam Musa dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar. Mengulas lanjut kenyataan itu beliau berkata, secara umumnya sebelum ini dalam pilihan raya umum, umno menggunakan pendekatan politik wang dan rasuah untuk terus berkuasa.Malah katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satru pertemuan dengan PAS sebelum ini pernah mengakui bahawa pilihan raya umum yang lalu berlakunya politik wang dan pelbagai penyelewengan oleh parti pemerintah.
Beliau juga turut menyatakan bahawa, dalam pemilihan jawatan parti Umno sendiri berlakunya wabak politik wang dan rasuah yang begitu hebat sekali sehingga beberapa individu telahpun diambil tindakan kerana didapati terlibat dengan politik wang.Tidak cukup dengan itu katanya, sebelum pilihan raya lagi, media cetak dan elektronik sudah muda memburuk-burukkan PAS dan membuat laporan yang berat sebelah.
Bagaimanapun beliau terus berharap agar kerajaan terutamanya SPR agar terus komited memperbaiki ruang demokrasi dan memberi kebebasan kepada pembangkang menyuarakan pandangan mereka, katanya.
Sementara itu Husam pula menyatakan, Umno telahpun mula mengumpulkan 'juak-juak' mereka di Pengkalan Pasir bagi berkempen di sana. Malah ada diantara juak mereka itu adalah orang yang amat disyakki terlibat dalam politik wang ketika pemilihan jawatan dalam Umno sebelum ini, tetapi individu itu katanya terlepas dari tindakan oleh Tatatertib Umno, kata Husam.
Dalam pada itu PAS Kelantan turut dinasihati agar memperhalusi nama-nama calon yang telah diserah kepada PAS Pusat, kata Tuan Guru Abdul Hadi. "Kita mahu calon yang berakhlak, berilmu dan mempunyai pengaruh setempat," katanya ketika diminta mengulas kriteria calon bagi Dun Pengkalan Pasir.
Sehingga kini katanya, PAS Kelantan telah menyerahkan antara empat hingga lima nama sebagai senarai calon PAS yang akan bertanding di Pengkalan Pasir.-wn.

0 Comments:

Post a Comment