Ahad, November 13, 2005

Sunday, November 13 @ 11:54:55 MYT
"Gerak membuka penyertaan kepada setiap rakyat Malaysia sebagai sukarelawan Gerak, yang melangkaui batasan politik, bebas dan bukan sebahagian daripada mana-mana parti politik di negara ini, termasuk PKR dalam usaha berkongsi aspirasi dan berjuang bersungguh-sungguh ke arah memperkukuh demokrasi dan menghapus korupsi di negara ini sehingga lahir sebuah negara yang berwibawa dan mampu menghadapi persaingan zaman,"
Oleh ANIS NAZRI
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh) - Ketua Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (AMK-PKR ) Mohamad Ezam Mohd Nor, menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa beliau kononnya telah menyertai Umno, sebaliknya menubuhkan sebuah badan bebas bagi memperjuangkan demokrasi dan membanteras rasuah.
Badan bebas tersebut, Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) telah ditubuhkan beliau bagi membina urustadbir bersih (good governance), di mana kedua-dua elemen penting iaitu pengukuhan demokrasi dan penghapusan korupsi sudah terkebelakang di Malaysia.
Malah katanya, media yang menjadi nafas bagi setiap sistem demokrasi masih dibelenggu dengan akta kuno dan zalim seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Percetakan.
Ezam berkata demikian dalam sidang media khasnya kepada wartawan di Pejabat PKR, di Tun Sambanthan, hari ini.
Ezam yang sebelum ini pernah didakwa di bawah OSA berhubung dakwaan rasuahnya terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz itu, berkata usaha penghapusan rasuah masih di tahap yang lemah dan tidak bersungguh-sungguh.
Beliau menambah, pendakwaan masih bersifat selektif dan yang paling ketara Badan Pencegah Rasuah (BPR) masih diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang tentunya membataskan kebebasab pegawai BPR untuk melaksanakan tugas tanpa rasa takut.
Beliau berkata, atas sebab berkenaan, maka Gerak ditubuhkan oleh beliau dan beberapa orang temannya dalam usaha berjuang melakukan perubahan, khususnya dalam menjadikan negara ini mampu berdiri sebagai sebuah negara yang berwibawa.
Justeru, katanya, Gerak akan bergerak atas lima asas utama iaitu, pendidikan, di mana program seperti "Gerak Zon Bebas Korupsi" akan dilaksanakan untuk merubah sikap masyarakat terhadap korupsi serta membina budaya yang membenci korupsi.
Seterusnya, badan ini akan memperjuangkan kebebasan institusi kehakiman dan kewibawaan undang-undang, Selain itu asas ytang ketiga, Gerak akan memperjuangkan media yang bebas, di mana bagi Gerak, sebuah negara demokrasi tidak akan berfungsi secara adil sekianya media dikekang.
Asas yang keempat pula Gerak menumpukan kepada institusi anti korupsi yang bebas, di mana ia perlu ditubuhkan seperti di negara-negara lain serta terus berjuang untuk menjadikan BPR sebagai sebuah institusi yang bebas.
Sementara perkara yang kelima, Gerak bercita-cita membentuk jaringan kerjasama antara institusi masyarakat, di mana kerjasama antara golongan akademik, NGO, media, badan agama dan parti politik harus dijuruskan ke arah membina suasana yang terbuka, terutamanya di dalam memperkukuhkan perubahan undang-undang.
Menurut Ezam, Gerak akan dilancarkan di setiap negeri bermula di Kedah pada 18 November akan datang bersempena menghormati dan menyanjungi perjuangan Almarhum mantan Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Nor yang mengasaskan Gerak, sebuah gabungan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersama menuntut reformasi di negara ini sebaik selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dan ditahan.
"Gerak membuka penyertaan kepada setiap rakyat Malaysia sebagai sukarelawan Gerak, yang melangkaui batasan politik, bebas dan bukan sebahagian daripada mana-mana parti politik di negara ini, termasuk PKR dalam usaha berkongsi aspirasi dan berjuang bersungguh-sungguh ke arah memperkukuh demokrasi dan menghapus korupsi di negara ini sehingga lahir sebuah negara yang berwibawa dan mampu menghadapi persaingan zaman," tegas beliau lagi.-wn.

0 Comments:

Post a Comment