Isnin, November 14, 2005

Monday, November 14 @ 19:53:54 MYT
Umno perlu buktikan kemampuannya memajukan negeri dengan memajukan terlebih dahulu 21 DUN yang telah mereka menangi sebelum meminta kerajaan negeri membubarkan Dewan
KOTA BHARU, 14 Nov (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa menyifatkan cadangan Dato' Seri Najib Razak supaya Kelantan membubarkan Dewan Undangan Negeri sekiranya BN memenangi pilihan raya kecil Pengkalan Pasir seumpama 'belum duduk sudah bersila'. Beliau berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak wajar bahkan juga kurang beradab kerana keputusan pilihan raya belum diketahui lagi. "Jangankan nak dapat keputusan pilihan raya, penamaan calon pun belum lagi, jadi tak perlulah nak bangkitkan perkara ni, nampak sangat kita tamak kuasa dan nak kerusi," ujarnya kepada pemberita hari ini. Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang meminta supaya kerajaan Kelantan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya peringkat negeri jika PAS kalah di Dun Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini. Najib dilaporkan berkata, walaupun pembubaran DUN bukan wajib mengikut perlembagaan namun dari segi moral, PAS berkewajipan memberi peluang kepada rakyat Kelantan menyuarakan pandangan melalui pilihan raya negeri. Husam yang anggota Exco kerajaan negeri berkata, kenyataan sedemikian tidak wajar dibuat oleh seorang pemimpin utama negara. "Boleh jadi PAS yang menang dalam pilihan raya itu dan sekiranya PAS menang adakah Najib bersedia melepaskan jawatannya," katanya. Katanya juga, keputusan pilihan raya kecil itu tidak boleh dijadikan gambaran sebenar hasrat rakyat negeri ini kerana PAS terpaksa berhadapan dengan pelbagai kepungan, ugutan dan jentera kerajaan. Menurutnya juga, kenyataan Najib sedemikian menggambarkan parti itu tamak kuasa. “Umno tidak seharusnya berebut untuk menambah jumlah kerusi semata-mata sekiranya 21 kerusi yang dimenangi mereka belum dibuat sebarang tindakan pembangunan. "Cuba berikan contoh pembangunan yang dibuat dalam Parlimen Bachok, sedangkan di situ terdapatnya seorang Timbalan Menteri. Bukan itu sahaja, seorang mangsa hempakan replika menara berkembar dari Bachok yang meninggal, apa bantuan yang diberikan mereka, kerajaan negeri juga yang hulurkan, jadi apa ertinya jika hanya ingin menambahkan jumlah kerusi semata-mata," ujarnya. Katanya, apa yang penting sekarang mereka hendaklah memajukan terlebih dahulu 21 DUN yang telah mereka menangi sebelum meminta kerajaan negeri membubarkan Dewan. - /mj

0 Comments:

Post a Comment