Selasa, November 15, 2005

(dipetik dari laman: http://pimpinmelayu.blogspot.com/ )

Ungkapan yang menjadi tajuk post kononnya berasal dari bangsa Levant. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa bangsa Levant ialah Yahudi, manakala sesetengah pula mengatakan bahawa mereka itu adalah bangsa Arab Kristian.
Apa dan siapa bangsa Levant tidak penting, namum ungkapan yang dikaitkan dengan mereka itu sungguh jelas, lagi memperihalkan sifat hakiki manusia. Tidak perlu kupasan panjang lebar – bahawa kita semua punyai harga dengan mana kita boleh dibeli.
Khabar angin liar hari ini membayangkan betapa penyokong kedua-dua parti yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir terlalu ingin melihat per-te’wah-an [sila lihat nota kaki] ini menjadi perlawanan satu lawan satu.
Andai kata Tok Heng (Datuk Ibrahim Ali) atas apa sebab sekali pun mengambil keputusan untuk tidak bertanding. Sekali gus, keputusan yang sungguh berwibawa itu akan membolehkan umat Melayu di negara ini, di Singapura, di Selatan Thai, di Afrika Selatan dan di Brunei menyaksikan dengan jelas tanpa apa-apa kacamata atau perspektif, sejauh mana lagi pengaruh PAS masih ada di Kelantan.
Sebelum ini saya telah membincangkan data pilihan raya yang membayangkan bahawa PAS di bawah kepimpinan ulama telah tidak berjaya menahan kelunturan sokongan dalam DUN Pengkalan Pasir pada kadar 4.65% setahun atau 23.23% dalam tempoh lima tahun dari 1999 hingga 2004.
Andai kata kini PAS yang diterajui professional atau PAS-IKD -- mengambil sempena nama pentas di mana Setiausaha Agung PAS yang baru mencipta nama, iaitu Institut Kaji Dasar atau lebih mesra lagi di kenali sebagai IKD – tidak mempunyai masa yang cukup selepas mengambil alih PAS untuk menyekat hakisan; maka itu kita pemerhati bakal saksikan bahawa pada pilihan raya kecil kali ini, paling tidak pun, sokongan terhadap PAS akan luntur juga pada kadar, 4.56%.
Berapa ramai pengundi akal keluar mengundi kali ini? Biasanya untuk DUN Pengkalan Pasir rekod keluar mengundi ialah sekitar 75%. Dan daftar pemilih terbaharu mengandungi nama sejumlah 18,411 orang.
Baiklah, mungkin kerana jentera parti kedua pihak kini boleh menumpu usaha sepenuhnya untuk memastikan semua yang boleh mengundi keluar mengundi, katakan 85% atau 14,280 orang dari yang terdaftar keluar menggundi. Apa akan jadi?
Tanpa mengambil kira faktor calun, yakni UMNO mencalunkan segala nama lain kecuali nama Johan Che Pa seperti yang disebut-sebut, yang mana kalau nama tersebut dicalunkan, maka beliau semestinya akan menjadi laksana “pesta pulut durian” kepada PAS kerana faktor-faktor “kewibawaan yang belum selesai”; dan hanya mengambil kira faktor “mass consciousness” yakni “kesedaran atau keinginan massa yang tersirat” UMNO akan mendapat 9,065 undi berbanding PAS 7,584 undi. Yakni, UMNO akan menang pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir dengan majoriti 1,482 undi.
(Nota: Te’wah = istilah Kelantan yang bermaksud pertandingan. Apostrophe dalam ejaan berfungsi sama seperti “sabdu” dalam ejaan Arab yang ada baris. Seperti juga dengan perkataan “woh topoh” atau "buah topoh" yang berasal dari perkataan Arab “tofrah” atau apple, perkataan te’wah ini mungkin satu bastardization perkataan Arab “tilawah” yang bermaksud pertandingan.)

0 Comments:

Post a Comment