Sabtu, November 12, 2005

Media PRM: PERUTUSAN SAMBUTAN PRM KE-50 TAHUN Oleh Hassan Karim, Presiden PRM


50 TAHUN PRM: MENERUSKAN PERJUANGAN RAKYAT

Pada 11 November 2005 ini Parti Rakyat Malaysia menyambut ulang tahun yang ke-50. Bersama-sama PAS dan Umno, PRM merupakan salah satu parti politik tertua di Malaysia yang masih wujud hingga ke hari ini. PRM yang ditubuhkan pada tahun 1955 oleh pengasasnya antara lain Ahmad Boestamam, Dr Burhanudin Al Helmy dan Ishak Hj Muhammad, lahir dalam zaman perjuangan pembebaskan tanahair dari belenggu penjajahan.

Banyak pihak tertanya-tanya apakah PRM masih wujud? Perutusan rasmi ini bersempena Ulangtahun PRM ke-50 adalah jawapan kepada soalan tersebut. PRM masih wujud. PRM tidak bubar. PRM masih ada ahli-ahlinya. PRM masih ada pemimpinnya. Organisasi PRM masih kukuh. Sebagai sebuah parti politik PRM masih berdaftar. Pendek kata, PRM hari ini, masih hidup secara sah dari segi undang-undang negara.

Bersempena ulangtahun ke-50 ini PRM berikrar untuk meneruskan agendanya iaitu perjuangan rakyat untuk kemerdekaan yang tulen dan keadilan sosial, dua matlamat utama yang telah diperjuangkan oleh PRM selama lima dekad ini tanpa kenal erti putus asa atau menyerah kalah. PRM akan meneruskan perjuangan rakyat yang diwarisinya daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

PRM telah mengadakan Kongres Nasionalnya pada 17 April 2005 di Johor Bahru bagi memilih Jawatankuasa Pusat untuk memimpin PRM. Jawatankuasa Pusat terdiri 19 orang itu telah menyelesaikan tugas penting mereka dalam hal pendaftaran PRM dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan.

Sukacita dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Pusat PRM yang baru telah berjaya menyelamatkan PRM daripada dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan atas sebab teknikal kerana pemimpin-pemimpin lama PRM tidak menghantar kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Penyata Tahunan Kewangan PRM dan lain-lain Laporan Tahunan sejak tahun 2001 hingga tahun 2004.

Setelah masalah teknikal berkaitan dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan diselesaikan, kini barulah PRM dapat menumpukan perhatiannya kepada kerja-kerja politik bagi tujuan kembali cergas dalam arena politik negara.

Tugas utama PRM tentu sekali perlu menyusun organisasinya supaya lebih kuat dengan menambah keahlian dan memperbanyakkan ranting atau cawangan di seluruh tanahair. Kerja-kerja politik PRM di kalangan golongan pekerja yang semakin besar akan diperhebatkan. Begitu juga PRM akan bergerak menyusun sektor-sektor lain masyarakat seperti golongan belia, pelajar, wanita, rakyat miskin bandar, petani dan nelayan.

PRM juga akan sama-sama bergerak memperjuangkan tuntutan adil rakyat kelas menengah yang semakin besar jumlahnya yang sama-sama terhimpit dan tertindas oleh dasar-dasar dan tindakan-tindakan oleh kerajaan Barisan Nasional yang ternyata mengutamakan golongan atasan yang berkuasa dan kapitalis kaya yang tamak haloba.

Sepanjang 50 tahun, PRM sentiasa berkerjasama dengan parti-parti politik pembangkang dalam menghadapi Barisan Nasional (sebelum ini dikenali sebagai Perikatan). Mula-mula melalui gabungan Fron Sosialis (lewat 50-an hingga awal 60-an); kemudian bergabung di dalam Gagasan Rakyat (1990 hingga 1995); dan seterusnya bersama Barisan Alternatif (1999 hingga 2004). Dalam sejarah PRM yang agak panjang itu, PRM amat menyedari pentingnya parti-parti pembangkang berkerjasama dalam menghadapi Barisan Nasional terutama ketika menghadapi pilihanraya.

Justeru itu bersempena ulangtahun ke-50, PRM berikrar untuk meneruskan kerjasamanya dengan lain-lain parti pembangkang di Malaysia atas prinsip saling hormat menghormati antara satu sama lain.

PRM juga akan berusaha lebih aktif untuk menjalin kerjasama yang lebih bermakna dengan kesatuan-kesatuan sekerja, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penulis, intelektual, seniman dan budayawan bagi tujuan saling sokong menyokong, kuat memperkuat, lengkap melengkapi antara satu sama lain ke arah memperkasa massa rakyat di semua sektor dan lapangan.

PRM percaya perubahan politik, ekonomi dan sosial bagi mencapai matlamat mengwujudkan masyarakat adil, bebas dan demokratik tidak dapat dilakukan oleh satu dua tokoh individu. Perubahan atau reformasi itu hanya dapat dilakukan dengan pernyertaan meluas massa rakyat dari seluruh lapisan dan sektor. Kerana itulah PRM percaya rakyat perlu diperkasakan. Langkah pertama ke arah itu ialah kesedaran rakyat.

PRM yakin apabila rakyat telah cukup sedar mereka akan bangun untuk membuat perubahan. Rakyat yang telah sedar itu akan yakin sendiri bahawa kezaliman, ketidakadilan, penindasan, rasuah, kemiskinan, penyalahgunaan kuasa, pembaziran, kecurangan, keruntuhan moral yang berlaku akibat daripada pemerintahan berterusan Barisan Nasional perlu ditamatkan.

Ketika itu juga rakyat akan percaya bahawa mereka sendiri perlu membebaskan diri mereka daripada cengkaman, penguasaan, kongkongan dan belenggu Barisan Nasional yang telah berlarutan hampir lima dekad ini.

Atas kesedaran inilah PRM percaya ia mempunyai tugas dan peranan dan bersama-sama semua kekuatan demokratik, progresif dan reformis, PRM yakin, dengan izin Allah perjuangan rakyat Malaysia untuk kebebasan, kemerdekaan dan keadilan boleh dicapai.

Hidup Perjuangan Rakyat!

Hidup PRM!

Bertarikh 11 November 2005

Alamat untuk dihubungi: Hassan Karim, D/a Tetuan Hassan Karim & Co. Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat, 82000 Pontian, Johor. Tel:07-6881839 Fax:07-6882369 H/P:012-7931148 E-mail: hakarim2001@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment