Jumaat, Oktober 28, 2005

Oleh SALMIYAH HARUN
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Hrkh) - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Abdullah Mat Zin disoal bertalu-talu daripada beberapa ahli parlimen kerana meragui tanda halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketika Abdullah menggulung perbahasan, Mohamad Said Yusof (BN-Jasin) bangkit mempersoalkan kewujudan kedai mamak yang menggunakan tanda halal yang pengusahanya tidak beragama Islam.

"Pergi kedai mamak banyak logo halal dipamerkan, tetapi taukenya ada tanda putih di atas dahi, ini jelas kedai mamak bukannya dimiliki oleh orang Islam, bagaimana mereka memperoleh tanda halal daripada Jakim" tegasnya.

Mohamad Said berkata, oleh kerana sambutan daripada orang-orang Islam amat menggalakkan maka mereka mengambil kesempatan mempamerkan tanda halal.

Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pula membangkitkan sejauhmanakah kesahihan logo halal memberi keyakinan kepada penggunanya sekiranya sehingga hari ini masih mempunyai enam orang pegawai penguatkuasa.

"Jadi bagaimana kita hendak memastikan setiap produk yang dikeluarkan Jakim sahih halalnya," katanya dan meminta penjelasan.

Sejurus selepas itu, Idris Haron (BN-Tangga Batu) pula bingkas menyoal menteri berkenaan, berhubung minuman arak yang diletakkan di tempat yang sama dengan minuman-minuman halal.

"Misalnya di beberapa buah restoran yang didapati meletakkan arak bersama minuman halal, dalam satu peti ais, jadi saya minta penjelasan," katanya.

Selepas itu, Abdul Fatah Harun (PAS-Rantau Panjang) pula membangkitkan soal menempatkan arak di atas kapal terbang MAS sedangkan tempat dan rak yang digunakan untuk menghidangkan minuman tersebut adalah terhad.

"Bagaimana pula kita lihat di atas kapal terbang MAS adakah minuman halal dan haram ini tidak bercampur sedangkan tempatnya adalah sempit," soalnya.

Abdul Fatah juga mempersoalkan adakah Jakim membuat pemeriksaan di atas kapal terbang untuk memastikan minuman halal dan haram diasingkan.

"Bolehkah Jakim minta izin daripada pentadbiran MAS sekali sekala untuk membuat pemeriksaan, dan saya yakin, barangkali pihak Jakim belum membuat pemeriksaan di atas kapal terbang itu," tegasnya.

Bagaimanapun Abdullah Mat Zin, menjelaskan sekiranya Jakim berpuas hati dan tidak ada aduan daripada mana-mana pihak maka Jakim tidak perlu membuat pemeriksaan sewenang-wenangnya.

Ismail Noh (PAS-Pasir Mas) pula bangun menceritakan pengalamannya di dalam kapal terbang Mas ketika pulang daripada menunaikan umrah.

"Pada masa itu hampir 99 peratus penumpang adalah jemaah baru balik dari umrah dan hanya enam orang sahaja penumpang Filipina dan saya yakin dia bukan Islam, malangnya MAS menghidangkan arak kepada mereka, apakah MAS tidak tahu menjaga atau menghormati penumpang orang Islam ini," jelasnya.

Ekoran daripada itu, Ismail meminta menteri supaya tidak menghidangkan arak kepada penumpang biarpun mereka bukan Islam sebagai menghormati penumpang yang baru balik dari umrah.

Ismail juga membangkitkan soal langkah kerajaan yang akan mengimport daging daripada luar negara semasa musim perayaan ini kerana daging tempatan tidak mencukupi.

Jelasnya, beliau sendiri akan merasa ragu-ragu apabila kerajaan mengambil tindakan mengimport daging daripada Argentina, China dan Amerika memandangkan hampir 90 peratus penduduknya bukan Islam.

"Kalau negara Islam Malaysia timbul keraguan tentang masalah halal dan haram inikan pula daging daripada negara luar ini yang seratus peratus penduduk negara mereka adalah Kristian," katanya.

Abdullah kemudiannya bangun menjelaskan satu persatu jawapan daripada ahli parlimen antaranya, beliau menjelaskan pelantikan pegawai penguatkuasa untuk memantau tanda halal adalah di bawah tangungjawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Bagaimanapun katanya, kementerian berkenaan sentiasa memberi kerjasama sekiranya pihak Jakim memerlukannya. - mks. 

0 Comments:

Post a Comment