Jumaat, Oktober 28, 2005

Oleh ANIS NAZRI
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Hrkh) - Apa jua yang berkaitan dengan harta benda boleh menjadi fitnah besar sekiranya tidak diuruskan dengan baik dan amanah, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib bagi mengulas isu kerugian membabitkan institusi berkaitan Islam.

Segala perkara yang melibatkan ikon ini dan fitnah wanita, sekiranya tidak ditadbir dengan amanah, akan lebih menjerumuskannya kepada kegagalan dan kerugian, katanya.

"Rasulullah telah mengingatkan kita bahawa dua perkara ini (wanita dan harta benda) jika tidak diuruskan dengan amanah, walaupun sedikit akan menyebabkan kegagalan dan kerugian kepada Islam itu sendiri," tegas beliau sebagai reaksi kerugian Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebanyak RM700 juta, yang didedahkan media, baru-baru ini.

Mengulas lanjut perkara tersebut, beliau berkata, BIMB perlu memperbaiki kelemahan itu secara dalaman berbanding diketengahkan kepada umum kerana ia lebih banyak merugikan daripada membawa kebaikan.

Beliau turut mendakwa, banyak lagi 'institusi lain' yang kerugian tetapi tidak diambil peduli oleh orang ramai.

"Lagipun, institusi yang lebih kecil seperti BIMB ini lebih mudah nampak kelemahannya apabila ia duduk di tengah-tengah kelompok konvensional yang besar, cuma kelemahan institusi konvensional lain itu tidak diterjemah dalam bentuk kerugian," jelas beliau lagi.

Ditanya mengenai sama ada perkara ini boleh menjejaskan imej Islam ataupun tidak , Ustaz Taib berkata musuh Islam memang akan mengeksploitasikan perkara ini atas sebab itu institusi seperti BIMB, Tabung Haji dan badan-badan Islam perlu berhati-hati dan berjaga-jaga.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa faktor individu ini ada di mana-mana bukan sahaja di institusi Islam.

"Oleh itu, faktor individu ini hanya boleh diselesaikan dengan dengan syarak iaitu hukum Islam itu sendiri.

“Jika seseorang itu tidak amanah, maka ia perlu dihukum mengikut syarak. Jangan kerana simpati, kita melepaskannya kerana ia akan membawa masalah kepada semua pihak," tegasnya lagi. – lanh

0 Comments:

Post a Comment