Jumaat, Oktober 28, 2005

Oleh RIZAL TAHIR
KOTA BHARU, 26 Okt (Hrkh) – Kalau disebut Kelantan sebagai pelopor dalam banyak aspek pentadbiran kerajaan, ada pihak tidak senang hati. Misalnya cuti mingguan dua hari seminggu dan cuti bersalin 60 hari.

Setelah lama dilaksanakan di Kelantan baru kerajaan Persekutuan mengekorinya dari belakang. Cuti dua hari seminggu dilaksanakan di negeri ini sejak hampir 15 tahun lalu, sedangkan Pusat baru beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun hari ini kerajaan negeri yang ditadbir PAS mencetus satu lagi pemikiran baru apabila sedang mengkaji cadangan membayar gaji kepada kakitangannya dua kali sebulan.

Sekiranya ia benar-benar direalisasikan, Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat wajar dinobat sebagai ‘bapa kebajikan pekerja’ era terkini.

Ketika sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini, beliau berkata, kerajaan Kelantan sedang mengkaji kertas cadangan berhubung perkara tersebut.

“Perkara ini telah lama diamalkan di London. Jadi kita ambil teori itu bawa ke negeri kita. Kita nak kaji positif dan negatifnya dulu. Kesan positifnya, apabila dibayar gaji dua kali, mereka yang berhutang dapat meringankan sedikit bebanan hutang dan kedai-kedai runcit tidak mengalami masalah sangat.

“Dari segi negatifnya pula ia boleh menghilangkan sifat menabung. Amalan penabungan boleh menjadi kurang. Di samping itu kerajaan negeri perlu menambah pegawai. Kos pentadbiran juga akan bertambah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan Kelantan menjadi negeri pertama yang melaksanakan pembayaran gaji dua kali sebulan di negara ini.

Kata beliau, hasil kajian itu dijangka dapat diketahui awal tahun depan. “Ia juga mungkin dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Ia akan melibatkan seramai 5,000 kakitangan,” katanya.
- /mj

0 Comments:

Post a Comment