Ahad, Oktober 09, 2005

 

ISLAMABAD 8 Okt. - Lebih 2,100 orang dipercayai terkorban dan banyak lagi cedera dalam gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter yang menggegarkan benua kecil Asia Selatan, terutama kawasan utara Pakistan dan India serta timur Afghanistan pagi ini.

Berdasarkan maklumat yang diterima setakat 12 tengah malam ini (waktu Malaysia) hampir 2,000 orang disahkan terkorban di ketiga-tiga negara tersebut.

Sebanyak 14 gegaran susulan turut dirasai dan ia diramalkan akan berlarutan sehingga Isnin ini.

Gempa bumi juga terjadi di kawasan selatan Aceh.

Beberapa kampung di Pakistan ranap manakala di ibu negara, Islamabad, berpuluh-puluh orang dikhuatiri terbunuh atau terperangkap apabila dua bangunan pangsapuri runtuh.

``Kerosakan dan bilangan kemalangan jiwa dijangka sangat besar.

``Inilah gempa bumi terburuk di Pakistan sejak kebelakangan ini,'' kata ketua jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Shaukat Sultan di sini, hari ini.

Pihak berkuasa memberi amaran angka kemalangan jiwa dijangka meningkat di utara Pakistan, tetapi maklumat lanjut sukar diperoleh kerana talian komunikasi terputus.

Gempa bumi berlaku pada pukul 9.50 pagi waktu tempatan (11.50 pagi waktu Malaysia) dan berpusat di kawasan pergunungan Kashmir Pakistan, dekat sempadan India, kira-kira 95 kilometer ke timur laut Islamabad.

Ia diikuti empat gegaran susulan berukuran 5.4 hingga 5.9 pada skala Richter.

Gegarannya dirasai di seluruh utara dan timur Pakistan di samping wilayah Kashmir dan beberapa bahagian Afghanistan.

Berpuluh-puluh orang dikhuatiri terbunuh atau terperangkap dalam runtuhan satu blok pangsapuri 12 tingkat yang roboh di sini.

Pihak berkuasa berkata, dua blok itu mengandungi 75 unit.

``Beratus-ratus penghuni dipercayai berada dalam 75 unit itu,'' kata seorang pegawai kerajaan, Mohammad Ali.

Di bandar Lahore, timur Pakistan, sekurang-kurangnya sembilan orang cedera termasuk lapan pegawai renjer tentera terperangkap apabila bumbung pejabat runtuh. Seramai 1,000 orang disahkan terbunuh di Muzaffarabad, ibu negeri wilayah Kashmir yang dikuasai Pakistan manakala lebih 600 lagi maut di kawasan Hazara, North West Frontier Province, utara Pakistan.

Saksi di Islamabad juga berkata, bumi bergegar selama lebih 30 saat, menggoncangkan bangunan dan mencetuskan panik.

Masjid-masjid di ibu negara Pakistan turut memperdengarkan ayat-ayat suci sejurus kemudian.

Di Kashmir India, sekurang-kurangnya 36 askar dan 164 penduduk awam terkorban manakala lebih 300 lagi cedera dirawat di hospital.

``Askar berkenaan terbunuh di Garisan Kawalan (LOC),'' kata seorang jurucakap tentera India, P. Sehgal dengan merujuk kepada garisan sempadan yang memisahkan wilayah Kashmir di antara India dan Pakistan.

Penduduk di ibu kota Kashmir India, Srinagar berkata, gempa bumi melanda kawasan itu sekitar 9.25 pagi (11.55 pagi waktu Malaysia).

``Inilah gempa bumi paling kuat pernah saya alami sepanjang hayat saya,'' kata Aisha Begum.

Gegaran itu turut menggoncangkan bangunan di ibu negara India, New Delhi.

Dalam pada itu di Afghanistan, dua kanak-kanak terbunuh dan hampir 12 rumah musnah.

Pusat Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyifatkan gempa bumi itu sebagai `kuat' dan menyatakan ia berlaku sedalam 10 kilometer di perut bumi.

Pegawai USGS, David Applegate memberitahu CNN, kerana pusat gempa itu agak dekat dengan permukaan bumi, gegarannya dirasai di kawasan yang luas. - Agensi

0 Comments:

Post a Comment