Ahad, Oktober 09, 2005

 


SALAH satu daripada tiga Menara Margalla di Islamabad runtuh selepas gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter menggegarkan bandar berkenaan semalam. - AP.

SIRNAGAR, India 8 Okt. - Siri gempa bumi yang menggegarkan tiga buah negara di Asia Selatan awal pagi tadi merupakan paling buruk dalam tempoh 70 tahun.

Seorang penduduk tempatan, Aisha Begum, 84, berkata, dia tidak pernah merasai gegaran gempa bumi sekuat hari ini.

``Setahu saya, ini merupakan kali pertama kawasan berkenaan digegarkan dengan gempa yang begitu kuat,'' jelasnya.

Bagi seorang pekedai tempatan, Aminbin Khaliq pula, dia bersyukur kepada Allah kerana terselamat daripada bencana itu.

Menurutnya, mujurlah gempa bumi tersebut berlaku hari ini dan bukannya semalam.

``Jika tidak, lebih ramai mangsa akan terkorban kerana majoriti penduduk sibuk mengerjakan sembahyang Jumaat di masjid-masjid. Keadaan di kawasan bencana mungkin tidak terkawal,'' katanya.

Bagi sekumpulan penduduk yang menetap di salah satu daripada tiga Menara Margalla, Islamabad, kejadian gempa bumi pagi ini bagaikan satu mimpi buruk buat mereka.

Salah seorang penduduk yang terselamat, Sajida Burki memberitahu, dia bersama-sama penduduk lain bergegas keluar dari rumah mereka selepas gegaran itu berlaku.

Katanya, kebanyakan daripada penduduk tidak sempat menukar pakaian apatah lagi menyelamatkan barang-barang berharga mereka.

``Kami nampak ramai penduduk bergegas keluar dari Menara Margalla namun ketika mereka sedang bergegas keluar, bangunan berkenaan runtuh sekali gus menyebabkan kebanyakan penduduk tadi tertimbus.

``Jeritan kanak-kanak dan wanita kedengaran. Ramai daripada mereka mengerang kesakitan dan menjerit meminta tolong. Suasana di sana sangat tragis,'' jelas Sajida.

Kali terakhir Asia Selatan digegarkan dengan gempa bumi yang begitu kuat ialah pada 31 Mei 1935 apabila gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter memusnahkan bandar Quetta mengorbankan kira-kira 30,000 hingga 60,000 orang. - AFP

0 Comments:

Post a Comment