Rabu, Oktober 15, 2008

KUALA LUMPUR:Sehari selepas disahkan bebas daripada cabaran perundangan, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin menafikan beliau ada ditawarkan supaya menyertai Umno.

Sebaliknya tegas wakil rakyat itu beliau masih bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen semalam, Zulkifli juga menegaskan beliau akan bersama dengan parti yang memperjuangkan Islam.

Ekoran keputusan mahkamah semalam banyak pihak membuat andaian bahawa beliau akan menyertai Umno.

Malah komen pengunjung blognya juga menyentuh kemungkinan tersebut.

Menurut beliau, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan parti itu masih memperjuangkan Islam.

"Setakat ini belum lagi (tawaran dari Umno). Saya ambil pendirian dan konsisten dengan pendirian saya untuk memartabatkan Islam dan mana-mana platform yang memperjuangkan Islam.

"Kalau DAP memperjuangkan Islam, saya pilih bersama DAP” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada kenyataannya itu bermakna beliau akan menyertai PAS, Zulkifli berkata, beliau tidak bermaksud demikian.

"Saya masih duduk di kerusi PKR. Cuma ada sedikit hiccup atas perjuangan dengan Islam tapi tak timbul soal melompat parti.

"Saya masih berhubung dengan Datuk Seri Anwar dan beliau memberi jaminan pada saya yang perjuangan Islam masih diiktiraf," katanya.

Zulkifli berkata, beliau telah dipanggil mengadap jawatankuasa disiplin partinya berhubung penyertaannya dalam perhimpunan membantah penganjuran forum ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam pada 9 Ogos lalu dan tiada tindakan yang dikenakan ke atasnya.

"Saya telah memberikan penjelasan yang cukup jelas tentang pendirian saya bahawa saya utamakan perjuangan Islam dan kalau PKR utamakan Islam, saya tiada masalah.

"Saya tiada halangan khususnya dari (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) yang telah banyak kali berjumpa dan berhubung.

"Saya tak dikenakan sebarang sekatan untuk teruskan perjuangan Islam saya khususnya berkaitan dengan bangsa," katanya.

Zulkifli berkata, beliau bersyukur atas penarikan balik petisyen tersebut dan selalu meletakkan keyakinan bahawa kebenaran akan terserlah.

"Walaupun kita bersedia untuk menghadapi perbicaraan tersebut dengan persediaan rapi dan saksi yang kita ada tapi keputusan yang dibuat oleh BN untuk menarik balik petisyen tersebut, kita terima dengan dada yang lapang," katanya.

Sementara itu, Anwar ketika diminta mengulas mengenai hal itu berkata Zulkifli masih menjadi wakil rakyat PKR bagi kawasan Kulim-Bandar Baharu.

Katanya, dakwaan bahawa Zulkiffli keluar daripada PKR dan menyertai parti lain adalah khabar angin semata-mata, tambahan pula mereka sering berhubung dan tidak pernah dimaklumkan pengerusi Persatuan Peguam Islam itu mahu keluar daripada parti.

Berhubung tindakan calon BN kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menarik balik petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangan Zulkiffli, Anwar berkata, perkara itu mungkin disebabkan BN tidak yakin dengan keupayaan mereka untuk menang atau mereka juga tidak yakin bahawa akan ada pilihan raya kecil diadakan.

"Banyak pandangan mengatakan kes itu kuat (untuk BN menang). Itu yang saya dengar daripada peguam mereka dan mereka akan lawan habis-habisan tetapi memandangkan keadaaan politik dan ekonomi sekarang, BN dan Umno tidak bersedia menghadapi pilihan raya kecil sebab itu mereka tarik petisyen terhadap Zulkifli di Kulim-Bandar Baharu," katanya.

Semalam, Zulkifli berjaya mengekalkan kerusi Kulim-Bandar Baharu apabila Mahkamah Tinggi Alor Star menolak petisyen tersebut selepas Barisan Nasional (BN) memohon untuk menarik balik petisyen berkenaan.

Pada 27 April lepas, bekas calon BN bagi kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Mohd Hafarizam Harun memfailkan petisyen memohon keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas bagi kerusi itu diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

0 Comments:

Post a Comment