Rabu, Julai 02, 2008

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Persoalan mula timbul mengenai siapa yang mungkin mendalangi kemungkinan konspirasi di sebalik tuduhan liwat membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

ImageKelompok media dan pemerhati politik mula bercerita pelbagai teori dan kemungkinan berhubung kes ini yang masing-masing memberi hujah menurut peristiwa tertentu yang mereka rekodkan.

Namun, umum mula dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan para pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya dari Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang menafikan pembabitan Anwar sekaligus menyatakan bahawa ini satu konspirasi menjatuhkan Anwar.

Begitupun beberapa nama telah disebut sebagai antara yang didakwa mendalangi isu ini sambil nama-nama yang dikaitkan itu menafikan dakwaan.

ImageSeorang sumber yang enggan namanya disiarkan mendakwa, beberapa orang bekas penyokong kepada mantan Timbalan Perdana Menteri itu turut terbabit dalam konspirasi memalukan Anwar dengan tuduhan liwat.

Sumber turut mendakwa bahawa perancangan mengenakan Anwar dengan tuduhan yang sama telah dikesan sejak kehadiran Saiful Bukhari Azlan di pejabat Anwar sebagai pembantu khas.

"Malangnya ketika itu Anwar tidak menyangka kehadiran Saiful Bukhari sebagai orang yang boleh mengancam reputasi Anwar," kata sumber.

Beliau mendakwa, pergerakan bekas penyokong Anwar itu dikesan sebaik sahaja tersebar laporan menyatakan orang tersebut akan membuat sesuatu terhadap Anwar.

Image"Dan kita sudah melihat gerak-geri individu terbabit beberapa minggu selepas pilihan raya umum lalu, dan pada mulanya kita rasakan orang itu akan menggunakan seorang pembantu Anwar yang lain (bukan Saiful) untuk memfitnah Anwar.

"Tetapi akhirnya dalam kes ini Saiful pula yang dibabitkan dalam konspirasi ini," dakwanya.

Menurut sumber, oleh kerana sikap Anwar yang tidak mudah buruk sangka terhadap sesiapa sahaja yang datang untuk memberi kerjasama, akhirnya beliau difitnah sedemikian rupa.

Begitupun sumber enggan menamakan siapa individu tersebut yang dimaksudkan sebagai antara konspirator selain tidak mengesahkan samada individu itu ahli KeADILan atau bukan.

"Jika Anwar diperlakukan sekali lagi dengan cara yang terkutuk ini, saya pasti rakyat tidak boleh menerimanya dan rakyat akan turut serta menentang penzaliman ini," ujarnya.

Sementara dalam kenyataan terbaru Anwar, beliau sendiri menafikan tuduhan meliwat itu sambil menyatakan ia satu konspirasi yang ingin menjatuhkan beliau.

ImageAnwar sendiri hari ini tampil untuk menyatakan beliau tidak bersalah, malah menyatakan ia satu kerja hina yang dibuat hanya untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan.

Terdahulu, dalam perkembangan isu liwat Anwar, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan bahawa BN tidak terlibat dengan apa yang dikatakan konspirasi menjatuhkan Anwar.

Bagi Perdana Menteri, satu perkara biasa kepada orang yang dituduh untuk menafikan tuduhan terhadapnya.

Begitupun beliau memberi jaminan bahawa kes membabitkan dakwaan terhadap Anwar ini akan disiasat setelus mungkin.

0 Comments:

Post a Comment