Selasa, Februari 28, 2006

Harga minyak naik lagi: Media jangan sembunyi rungutan rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - PAS berharap pihak media terutama stesen televisyen tempatan memainkan peranan dengan menyiarkan komen serta pandangan berhubung kenaikan harga minyak oleh pakar ekonomi dan orang ramai yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik.

Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kesal dengan tindakan serta sikap pihak media yang kerap menyiarkan komen daripada orang ramai yang bersetuju dengan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak sedangkan rungutan penentang 'digelapkan'.

Menurut beliau, tindakan itu amat tidak adil dan pihak media itu juga tidak diberi kebebasan untuk melaporkan berita yang sebenar diperolehi daripada komen orang ramai.

Kerajaan telah memutuskan kenaikkan harga runcit petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 30 sen seliter dan sekilogram berkuat kuasa hari ini.

Tuan Guru kesal dengan sikap kerajaan yang menaikkan harga bahan api itu dan kemudian membuat perbandingan kenaikkan itu masih dianggap murah berbanding kebanyakkan negara Asean kecuali Brunei.

"Kerajaan ini bukan sahaja membebankan rakyat tetapi menipu, seringkali menipu apabila menaikkan harga minyak mereka akan bandingkan dengan negara yang tidak ada minyak, cuba bandingkan dengan Brunei," katanya dalam sidang media selepas meraikan Majlis ramah mesra sempena Tahun Baru Cina anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, di Sri Petaling, malam tadi.

Menurutnya, sudah tentu kenaikan minyak itu bukan sahaja menjadi bebanan kepada pemilik kenderaan tetapi ia akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang-barangan.

Beliau berkata, sepatutnya kerajaan boleh menyelesaikan masalah tersebut tanpa menaikkan harga petrol dan diesel kerana negara mempunyai hasil petroleum yang mendapat keuntungan yang besar.

Katanya, Petronas bukan sahaja mempunyai pelaburan dalam negara tetapi ia turut mempunyai pelaburan di seluruh dunia.

Sehubungan itu beliau berharap supaya rakyat sedar serta mengambil panduan daripada rakyat di luar negara yang akan melakukan bantahan terhadap kerajaan sekiranya kerajaan menaikkan apa sahaja barang keperluan mereka.

Malangnya, tambah beliau, rakyat di negara akan berdemonstrasi juga tetapi hanya dilakukan di stesen-stesen minyak untuk mendapatkan minyak dengan harga yang lama.

Beliau mengingatkan rakyat supaya jangan mengambil sikap menyerah kalah sebaliknya perlu menunjukkan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang sering menaikkan harga minyak.


Beliau juga berkata, ahli Parlimen PAS akan membangkitkan isu kenaikan minyak serta apa sahaja isu yang melibatkan rakyat dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 9 Mac nanti. - lanh

0 Comments:

Post a Comment