Selasa, Februari 28, 2006

 
Tue | Feb 28, 06 | 01:59:42 PM
Oleh Zulkifli Sulong
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - PAS dengan kerjasama pelbagai pihak akan mengadakan demonstrasi aman secara besar-besaran membantah kenaikan harga minyak yang melampau di perkarangan KLCC sebaik sahaja selesai Sembahyang Jumaat  3 Mac ini, kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.
Demonstrasi ini bertujuan untuk menunjukkan bantahan rakyat terhadap keputusan kerajaan yang tidak rasional dan membelakangi kepentingan rakyat banyak itu, katanya.
Kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen untuk setiap liter minyak berkuatkuasa hari ini. Ini merupakan kenaikan paling besar yang dilakukan oleh kerajaan sehingga kini.
Ini adalah kenaikan 18 peratus dari harga minyak yang ada dan bagi PAS ia kenaikan yang melampau.
Kenaikan ini tidak dilihat rasional ketika Petronas, sebagai syarikat pengeluar minyak milik negara, mencatatkan keuntungan lebih RM50 bilion tahun lepas.
"PAS membantah keras kenaikan ini dan ingin menyatakan bantahan ini secara langsung di perkarangan bangunan Petronas yang terletak di KLCC," kata Nasharudin kepada Harakahdaily.
Bagi beliau, kenaikan minyak ini melampau kerana kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan barangan keperluan lain dan sudah tentu ia akan memberikan bebanan besar kepada rakyat dan negara selepas ini.
"Apa salahnya kerajaan menggunakan keuntungan Petronas untuk mengekang kenaikan harga minyak? Dengan tindakan ini, harga barangan lain akan kekal dan tidak membebankan rakyat ramai," kata beliau.
Salahguna mandat
Bagi Nasharudin, langkah kerajaan ini adalah satu salah guna mandat besar yang telah diberikan oleh rakyat kepada kerajaan yang ada.
Sehubungan itu, Nasharudin menyeru semua pihak yang prihatin supaya turun ke KLCC Jumaat ini  khasnya ahli PAS dari seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub menyeru semua Pemuda PAS seluruh negara agar turun ke KLCC Jumaat ini.
"Saya menyeru semua Pemuda turun ke KLCC kali ini. Kita kena tunjukkan kepada kerajaan Pemuda tidak akan diam dengan langkah yang tidak wajar ini," kata Salahudin kepada Harakah.

 

0 Comments:

Post a Comment