Isnin, Januari 16, 2006

Beliau ialah menantu Perdana Menteri, namun beliau telah membuatkan Umno yang merupakan parti tunjang Barisan Nasional kini jatuh melutut. Terlalu banyak petaka yang dibawanya sehinggakan pengunduran beliau tidak akan membawa sebarang makna. Tindakan menunjuk-nunjuk yang dia itu kaya – dengan cara membeli 3 peratus saham ECM Libra bernilai RM9.2 juta, sebagai contohnya – telah pun melantun kepada Paklah dan Umno. Akan tetapi Khairy Jamaluddin beranggapan dia akan dapat menangani semua itu, dengan cara menyerang kembali para pengkritiknya dengan saman malu, tanpa mahu menjawab apa juga persoalan sambil memperlekeh anggota Umno yang mahu tahu. Paklah tidak boleh merombak kabinet beliau, seperti yang patut dibuatnya sekarang ini, kerana Khairy mahukan orang pilihannya turut diambil kira. Selagi banyak kuasa yang diberikan kepada Khairy dalam kerajaan pimpinan Paklah, selagi itulah Umno akan berpecah belah jadinya. Barisan Nasional tidak lagi serupa gagasan politik seperti yang diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra di mana ia merupakan wadah antara semua pihak yang sama rata dan sama tara. Di situlah pemimpin- pemimpin Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC) yang menganggotai kabinetnya mempunyai hak yang sama dengan beliau untuk bersuara. Tunku pernah berkata adanya beberapa perkara yang tidak dibincangkan oleh kabinet kerana ada pihak yang tidak menyetujuinya. Perkara itu dibentangkan semula selepas berlaku perundingan untuk mengetepikan bantahan. Itulah kisah dulu. Kini, pemimpin bukan daripada Umno dalam Barisan Nasional mahu diketahui umum sebagai orang yang mula-mula memberikan sokongan kepada cadangan Umno. Lagi pun bukankah undi mereka yang menyebabkan kaum wanita dijadikan warga kelas dua.

Hari ini, apa sahaja yang dikatakan oleh Khairy akan diambil kira oleh pentadbiran Paklah. Beliau pernah berkhidmat sekejap dengan kerajaan. Itu pun sebagai Setiausaha Politik Paklah beberapa tahun yang lalu. Kini dia terlibat dengan syarikat yang besar-besar kerana dia adalah anak menantu Paklah. Salah satu syarikat itu ialah ECM Libra. Khairy bukannya ada memiliki sebarang pengalaman sejurus selesai pengajiannya. Beliau pernah mendapat PPE (philosophy, politics economis) daripada Oxford dan LL M daripada London School of Economics. (Di Malaysia dia boleh dianggap sebagai seorang ahli falsafah, orang politik, ekonomis, peguam antarabangsa dan bapa mertuanya pula boleh dianggap sebagai seorang ilmuwan Islam kerana beliau memiliki ijazah dalam Pengajian Islam daripada Universiti Malaya!) Khairy pernah mencuba sedaya upaya mendapatkan kerusi Parlimen Rembau dalam pilihan raya umum yang lalu, kerana itu adalah kampung halamannya. Tetapi dia tidak berjaya mendapatkannya. Terlalu ramai yang menentang beliau mendapatkan peluang itu. Khairy telah berbuat banyak kesilapan ketika pilihan raya kecil di Pengkalan Pasir. Umno mungkin menang dengan majoriti yang besar seandainya dia tidak menyibuk di sana. Umno sudah pun kehilangan banyak undi kerana kewujudan Dato’ Annuar Musa sebagai Ketua Perhubungan Umno Kelantan yang amat dibenci oleh orang sana. Besar kemungkinan tiga orang wakil rakyat Umno Kelantan perlu melepaskan jawatan kerana keuzuran. Kalau PAS dapat menang walaupun satu kerusi antara tiga kerusi itu, kedudukan Umno di Dewan Undangan Negeri adalah sama dengan kedudukannya sebelum pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.

Yang menyelamatkan imej Khairy di Pengkalan Pasir ialah kehadiran Dato Seri Najib Tun Razak. Akan tetapi Pengkalan Pasir telah digembar-gemburkan sebagai “kawasan khas Khairy.”. Berjuta-juta Ringgit telah dibelanjakan hanya untuk Umno menang kerusi itu. Namun, lagak bagak Umno telah terhenti sejurus ia dimulakan. Tiga orang wakil rakyat Umno negeri sedang sakit. Dan berkemungkinan melepaskan kerusi mereka. Ini bermakna Khairy terpaksa muncul lagi di negeri itu kalau ada pilihan raya kecil. Dia tidak boleh menolak perkara ini. Khairy mahu menjadi Perdana Menteri seelok-eloknya selepas bapa mertuanya mengundurkan diri. Setakat ini segala gerakan politiknya telah merungsingkan para kaki gedebe dalam Umno. Beberapa soalan telah dikemukakan bagaimana dia dapat mengumpul begitu banyak wang. Untuk membisukan para pengkritik beliau, dia telah mengemukakan satu saman malu terhadap harakahdaily.com dan MP PAS YB Husam Musa yang mempersoal bagaimana dia dapat banyak wang untuk membeli saham ECM Libra. Pada masa lampau keadaan semacam itu amat mudah ditepisnya. Tetapi Umno kini sudah berpecah-belah kepada beberapa fraksi, kebanyakannya menentang Paklah. Antara puak yang menentang ini termasuklah daripada kem Naib Tun Razak. Dalam Umno pun Khairy mempunyai musuh yang sanggup berganding bahu dengan orang luar walaupun mereka tidak berapa setuju dengan orang luar itu. Khairy tidak boleh menjadi seorang pemimpin di Malaysia seandainya Umno menolak beliau. Umno juga tidak ambil peduli kalau nama beliau dipuji sebagai orang yang penting dalam tahun 2006.

Memang Umno sudah berpecah-belah kepada beberapa fraksi. Sudah ada kecenderungan untuk menggulingkan mereka yang menentang pemimpin parti. Akan tetapi, pemimpin parti, dalam hal ini ialah Paklah yang juga seorang Perdana Menteri, sudah terpaksa memilih mereka yang dipilih oleh persidangan Umno. Untuk menentukan mereka tidak akan terpilih, dia mungkin boleh menghadkan pilihan raya umum sebelum adanya pemilihan parti pada 2007 ataupun 2008. Itu pun mungkin tidak akan berguna. Seperti mana gagalnya usaha orang seperti Khairy yang cuba menonjol sebagai pemimpin dengan memperlekehkan akar umbi. Usaha beliau untuk menjatuhkan beberapa pemimpin yang lain setakat ini sudah pun gagal walaupun dia berjaya mengetepikan mantan Menteri Besar Negri Sembilan, Tan Sri Isa Samad daripada menganggotai kabinet dan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan. Isa Samad datang daripada Linggi yang mengamalkan adat Temenggung dan bukannya Adat Perpatih yang menjadi amalan utama di Negri Sembilan. Apabila muncul pemilihan Umno pada 2007 nanti, Isa pasti akan berada di pihak pembangkang yang menentang puak Paklah.

Buat masa ini daripada setiap dua orang MP terdapat seorang yang menganggotai barisan kerajaan Persekutuan – sebagai Menteri, Timbalan Menteri, dan Setiausaha Parlimen. Terdapat lebih kurang 90 orang MP dalam kerajaan. Khairy mahu jumlah itu dikurangkan. Ada desas-desus mengatakan bahawa Khairy mahu menggugurkan enam orang menteri yang sudah pun berada di Mekah mengerjakan fardu haji untuk mengelak daripada dipecat. Semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, dia tidak berjaya mengecutkan bilangan anggota kabinetnya dan itulah kabinet selama 22 tahun yang membawa padah kini. Inilah juga yang membuatkan Paklah tertahan dalam tindakannya. Dia sudah menjadi keliru. Menantu beliau sudah bertegas mahukan orang-orang beliau menganggotai kabinet yang baru. Sudah ada desas-desus bahawa Paklah tidak lagi semacam dulu. Semalam dia telah memberitahu kabinet bagaimana dia menandatangani satu perjanjian dengan Jepun yang memberikan status negara yang paling diutamakan yang membolehkan negara itu mengimport kereta tanpa cukai. Sebagai balasan, Malaysia diberikan status yang sama untuk mengimport tanpa cukai buah-buahan yang tidak diperlukan oleh Jepun.

Sesungguhnya sudah lama Amerika Syarikat meminta diberikan status semacam ini di Malaysia, tetapi Tun Mahathir enggan menandatangani perjanjian semacam itu semasa beliau mentadbir kerajaan dulu. Mahathir sedar Malaysia akan rugi dalam perjanjian semacam itu. Kini, Amerika mahu Malaysia menyokong kemasukan Australia dan New Zealand menganggotai ASEAN. Paklah mesti memberi penjelasan kenapa dia hanya memberi maklum, dan tidak membincangkannya dulu dengan kabinet beliau mengenai perjanjian yang ditandatanganinya di Jepun.

Musuh-musuh beliau dalam Umno menyalahkan Khairy kerana tindak-tanduk Paklah. Memang dia akan dipersalahkan ke atas apa juga yang dilakukannya. Soalan utama yang dia perlu jawab ialah bagaimana dia dapat mengetahui kandungan dokumen rasmi negara sedangkan dia tidak pun memegang sebarang jawatan rasmi. Sebelum dia dapat menjawab yang dia mempunyai jawatan rasmi itu, ada soalan lain bagaimana dia memegang jawatan itu sedangkan dia diberi gaji untuk bertugas di tempat lain. Khairy sudah memijak terlalu banyak tumit sehingga dia bermasalah dengan banyak kumpulan. Dia tidak boleh bertugas tanpa sokongan orang lain, walaupun dia terlalu taksub dengan anggapan yang dia mampu berbuat begitu. Itu sebabnya dia mengundang banyak musuh daripada kalangan pemimpin Umno dan akar umbi. Tanggapan beliau ialah manusia tidak boleh diambil kira, dan mereka boleh dibeli untuk memihak kepadanya dan dengan kata-kata terakhir darinya. Taktik semacam itu tidak membawa kesan di Rembau. Ia tidak akan berjaya di tempat lain ataupun adakah cara lain pula?

0 Comments:

Post a Comment