Khamis, Januari 19, 2006

PERTAHAN KUASA MAHKAMAH SYARIAH
HENTIKAN PINDAAN ARTIKEL 121 (1A) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Jika Perlembagaan Dipinda Mereka Yang Hendak Keluar Islam Tidak Perlu Lagi Melalui Mahkamah Syariah Utusan Malaysia 18 Jan 2006 . Permohonan isytihar keluar Islam dibatal. Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan permohonan seorang wanita, Asiah Begam Nahurghani untuk mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Islam dan memeluk agama Hindu. Peguam Abdul Muiz Samsuri yang mewakili MAIWP membantah permohonan itu dengan alasan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut mengikut Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Samy Vellu Adakan Pertemuan Sulit Dengan Wakil Agama Lain Minta Perlembagaan Dipinda Utusan Malaysia 18 Jan 2006 - Pinda perlembagaan jaga hak bukan Islam. MIC meminta kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan sedia ada bagi memastikan hak orang bukan Islam di negara ini akan lebih terpelihara. Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pendirian yang diambil oleh parti itu adalah hasil daripada pertemuan dengan Majlis Perundingan Agama yang dianggotai oleh wakil agama Kristian, Hindu, Buddha dan Sikh di pejabatnya semalam. “Pada akhir pertemuan kita telah sepakat bahawa satu tindakan yang lebih proaktif iaitu satu pindaan (Perlembagaan Persekutuan) perlu dilakukan dan jika kerajaan bersetuju ia boleh mengatasi masalah pada masa depan”, kata Samy Vellu

ABIM Pertahan Kedaulatan Mahkamah Syariah Yang Diperuntukkan Dalam Perlembagaan ABIM memandang berat kenyataan melalui media, Dato’ Seri Samy Vellu mengenai mesyuarat di antara Menteri Bukan Islam yang akan diadakan hari ini. Mesyuarat tersebut menggambarkan bermulanya satu dikotomi antara Menteri-menteri beragama Islam dan bukan Islam. ABIM menegaskan bahawa Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan kerana perubahan pindaan dengan memasukkan fasal (1A) pada tahun 1988 telah diluluskan oleh Parlimen. Masyarakat bukan Islam harus mengiktiraf dengan jelas bahawa hak kebebasan beragama orang-orang bukan Islam tidak pernah terancam seperti mana yang digemburkan. Sehingga kini mereka bebas mengamalkan ajaran dan amalan masing menurut lunas undang-undang. Khairul Anuar Arifin Mohd Munir - Setiausaha Agung ABIM

Pemuda PAS Kempen Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan Tidak Dipinda Harakah 18 Jan 2006 - Dewan Pemuda PAS (DPP) akan mengadakan kempen ke seluruh negara bagi menjelaskan mengapa cadangan meminda Perkara 121 (1A) Perlembagaan Malaysia perlu ditolak. DPP juga akan menghantar memorandum kepada Raja-Raja Melayu melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada 23 Januari ini. Ketuanya, Salahuddin Ayub memberitahu, kempen penerangan yang pertama akan diadakan di Kuala Lumpur pada 25 Januari ini. "Dalam perhimpunan itu kita menjemput kesemua pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) umat Islam untuk berucap mempertegaskan sikap masing-masing terhadap perkara itu," katanya. Ketika ditanya adakah Pergerakan Pemuda Umno juga akan dijemput untuk bersama-sama dalam perhimpunan itu, Salahuddin memberitahu kesemua NGO dan umat Islam akan dijemput tanpa mengira kepentingan politik.

Peringatan Kepada Pemimpin UMNO Untuk Pertahankan Islam Forum Utusan Malaysia 19 Jan 2006 - Saudara Pengarang, Kerajaan Malaysia tidak pernah menghalang mana-mana penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka, bahkan kerajaan telah pergi terlalu jauh sehinggakan perayaan agama lain seperti Deepavali dan Krismas disambut sebagai suatu perayaan negara. Apakah ini tidak menjaga kepentingan penganut agama lain? Cadangan dari pertubuhan agama bukan Islam (bahkan terdapat pemimpin kerajaan bukan beragama Islam) yang mencadangkan pindaan terhadap peruntukan ``bahawa setiap anak kepada ibu bapa yang beragama Islam adalah automatik beragama Islam''. Jika hak dan tanggungjawab ibu bapa Islam ini dipersoal, bererti pemimpin-pemimpin dan pertubuhan agama bukan Islam ini telah mencabar dan cuba mencampuri urusan dalam ajaran Islam itu sendiri. Kepada pemimpin-pemimpin UMNO beragama Islam dan parti-parti lain yang sudah beragama Islam, ingatlah anda dilantik dan dipilih oleh Allah menjadi pemimpin untuk menjaga kepentingan agama Islam di Malaysia tanpa mengenepikan keperluan penganut agama lain. Namun, jangan sesekali mudah terpengaruh dengan cadangan dan usul yang boleh menggugat Islam sebagai agama rasmi di Malaysia ini. Kepada pemimpin pertubuhan agama lain, ketahuilah bahawa Islam tidak memaksa penganut agama lain memeluk Islam. Ingatlah bahawa jika kita cuba mencampuri urusan orang lain, akhirnya orang lain pula akan mencampuri urusan kita. Mohd Noor Idris , Legeh, Jeli, Kelantan.

0 Comments:

Post a Comment