Sabtu, Disember 03, 2005

PENGKALAN PASIR, 3 Dis (Hrkh) - Proses pengundian pilihanraya kecil Pengkalan Pasir terdedah kepada permasalahan pengundi yang tidak dikenali dan kemungkinan penyamaran dan pencemaran kehadiran “pengundi hantu”.

Sehubungan itu, Pengerusi Malaysia for Free Election, Mafrel, Abd Malek Hussin dalam kenyataannya hari ini menyeru ejen-ejen pengundian parti dan calon bertanding supaya lebih berwaspada dan teliti dalam masa pengundian bagi memastikan pemilih yang benar-benar sah dan berkelayakan sahaja dibenarkan mengundi.
Dalam kajian Mafrel, daftar pemilih Pengkalan Pasir menghadapi tiga masalah utama:
1. 70.92% pemilih berdaftar langsung tidak mempunyai alamat nombor rumah;
2. 4.26% alamat yang mempunyai pemilih enam orang atau lebih didapati tidak wujud samasekali;
3. 20.44% pemilih tidak dikenali oleh tuanpunya atau penghuni alamat yang didaftarkan oleh pemilih yang berkenaan.
Kata Malek, Mafrel menemui berbagai pelanggaran prinsip-prinsip pilihanraya adil dan bebas dalam pilihanraya kecil N.12 Pengkalan Pasir terutamanya mengenai 70% pengundi berdaftar yang tiada sebarang alamat (Nombor Rumah) untuk disemak.
Mafrel telah menjalankan kajian ke atas buku daftar pemilih yang disahkan pada 15 Ogos 2005 yang digunakan untuk tujuan pilihanraya kecil tersebut.
Kajian tersebut mendapati daripada 18411 pemilih yang berdaftar, 13058 pemilih atau 70.92% didapati langsung tidak mempunyai alamat nombor rumah. Manakala hanya 5353 pemilih atau 29.08% sahaja yang mempunyai alamat nombor rumah.
Mafrel juga, katanya, mendapati terdapat 47 buah alamat rumah mempunyai enam atau lebih bilangan pemilih yang berdaftar menggunakan alamat tersebut.
Untuk kepastian mengenai kesahihan status alamat dan identiti pemilihnya, MAFREL telah menjalankan pemantauan melalui kerja lapangan bagi menyemak alamat-alamat bernombor rumah yang mempunyai enam atau lebih pemilih yang berdaftar.
Operasi pemantauan selama dua hari ini melibatkan kesemua 47 buah alamat dan seramai 362 pemilih. Penemuan MAFREL mendapati 4.26% alamat bernombor langsung tidak dapat dikesan atau tidak wujud samasekali.
Didapati juga, katanya, 20.44% pemilih tidak dikenali oleh tuanpunya atau penghuni di alamat yang didaftarkan oleh pemilih.

0 Comments:

Post a Comment