Sabtu, Disember 03, 2005

PAS tawar RM15,000

Ganjaran Memerangi Politik Wang & Pengundi Hantu

Parti Islam Se Malaysia (PAS) memandang serius isu pengundi yang tidak layak mengundi atau 'pengundi hantu' serta rasuah politik atau 'politik wang' Ia menyalahi prinsip demokrasi dan tidak menghormati undang-undang negara ini.

Berdasarkan pengalaman pilihanraya umum yang lalu, PAS mendapati terdapat kecenderungan membawa masuk pengundi-pengundi luar yang tidak layak mengundi dengan berbagai-bagai cara untuk mengundi di DUN Pengkalan Pasir ini. PAS juga mengesan pemberian wang yang berunsur rasuah bagi mendapatkan undi yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dan perkara ini berlaku secara berleluasa.

Dengan kesedaran mengamalkan politik yang bersih daripada penyelewengan dan rasuah, PAS menawarkan GANJARAN BERNILAI SEHINGGA RM15,000.00 kepada mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat sahih berkaitan dengan pengundi hantu, rasuah dan politik wang.

Aduan tersebut boleh dibuat dengan menghubungi bilik gerakan PAS di talian 09-7981562 atau 09-7964714.

PAS berazam membenteras amalan-amalan jahat tersebut yang merupakan tunjang politik pihak-pihak berkenaan. PAS mengajak rakyat khususnya penduduk Pengkalan Pasir untuk bersama-sama dengan PAS menunjukkan contoh politik yang bersih dengan sama-sama membenci dan membenteras pengundi hantu dan politik wang. PAS sekali lagi mengajak rakyat khususnya penduduk Pengkalan Pasir menjadikan rasuah dan politik wang sebagai musuh nombor satu negara.

PAS menegaskan bahawa amalan memasukkan pengundi luar dan memberi rasuah kepada pengundi bukan sahaja menyalahi seruan mengamalkan kempen yang bersih tetapi juga menjejaskan kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati rakyat khususnya penduduk Pengkalan Pasir ini.

JUMAAT, 02 DISEMBER 2005

PENGKALAN PASIR

0 Comments:

Post a Comment