Sabtu, Disember 17, 2005

Berita Luar Negara

Hamas menang pilihan raya tempatan di Tebing Barat

NABLUS, Tebing Barat 16 Dis. - Kumpulan Hamas memenangi pilihan raya tempatan di beberapa buah bandar terbesar dalam Tebing Barat, demikian menurut perangkaan awal yang dikeluarkan hari ini.

Menurut perangkaan tersebut, Hamas menyapu lebih daripada 70 peratus undi di bandar terbesar di Tebing Barat, Nablus atau bersamaan dengan 13 kerusi dalam jawatankuasa tempatan.

Kemenangan besar Hamas dicatatkan di dua bandar iaitu Jenin dan El-Bireh. Hamas meraih lapan kerusi di Jenin sementara di El-Bireh pula, sebanyak sembilan kerusi. Di Ramallah pula, tiga kerusi berjaya dimenangi.

Kejayaan Hamas itu disambut dengan kegembiraan oleh ribuan penyokong mereka yang berada di sekitar jalan-jalan di Nablus lewat semalam.

Jurucakap Hamas, Yasser Mansour menjelaskan, kemenangan paling utama ialah semasa pilihan raya Parlimen pada 25 Januari ini.

Kemenangan besar itu jelas memberikan tamparan hebat kepada Fatah yang diterajui oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas lebih-lebih lagi pilihan raya Parlimen hanya tinggal enam minggu.

Kedudukan Fatah semakin goyah selepas sekumpulan pemimpin pengawal muda keluar parti semalam dan menubuhkan sebuah parti baru diberi nama Future dengan diketuai oleh pemimpin berpengaruh yang kini dalam penjara, Marwan Barghouti. - AP

0 Comments:

Post a Comment