Ahad, Disember 11, 2005

Tokoh pendidik negara, Datuk Dr Hassan Ahmad menyokong inisiatif badan pendidikan Cina, Dong Jiong Zong (DJZ) yang berjuang untuk mengembalikan kedaulatan bahasa ibunda di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik langkah DJZ menganjurkan Persidangan Membantah Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Matematik dan Sains di Kajang esok.

Menurutnya, beliau turut mendapat jemputan DJZ ke persidangan tersebut, tetapi tidak dapat menghadirinya.

Dr Hassan menyifatkannya sebagai satu usaha berani dari satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengembalikan kedaulatan bahasa ibunda mereka.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, DJZ me! ngambil inisiatif yang bijak dan tepat sebagai satu langkah untuk mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam pengajaran matapelajaran Matematik dan Sains.

"Pertubuhan Melayu sepatutnya mengambil langkah sama untuk mendesak kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam kedua-dua matapelajaran tersebut.

"Malangnya orang Melayu tidak berani berbuat demikian. Sindrom ini lambat laun akan menyebabkan bahasa ibunda mereka tidak berfungsi lagi," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Kepincangan

Menurutnya, sistem pendidikan negara sudah dirosakkan dengan penggunaan bahasa Inggeris dan ia perlu diperbetulkan semula.

Dr Hassan berkata, sejak sekian lama bahasa Melayu tidak pernah menunjukkan sebarang kegagalan dalam apa juga bidang, termasuk pendidikan peringkat tinggi.

Katanya, bahasa pengantar bahasa Melayu bukan sahaja diterima oleh orang Melayu, malahan bukan Melayu dan! berjaya melahirkan cerdik pandai dalam pelbagai bidang seperti sainti s, akauntan, jurutera dan ahli pendidikan.

"Kepincangan ini perlu dihentikan segera kerana dalam tempoh lima tahun lagi, kira-kira 500,000 pelajar Melayu akan gagal dalam pendidikan kerana kelemahan penguasaan bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu Persekutuan Badan Pendidik dan Pembangunan Melayu berkata, pihaknya tidak dijemput menghadiri persidangan anjuran DJZ itu.

Sekretariatnya, Jamaluddin Nawi berkata, bagaimanapun, beberapa individu dalam persekutuan itu dijemput untuk hadir dalam persidangan tersebut.

Resolusi pendidikan

"Saya rasa idea DJZ untuk mengadakan persidangan berkenaan dikutip dari Kongres Pendidikan Melayu yang diadakan pada bulan Mac lalu," katanya.

Dalam kongres berkenaan beberapa resolusi berhubung pendidikan di negara ini telah dirumuskan, antaranya membantah penggunaan bahasa Inggeris bagi Sains dan Matematik.

Bagaimanapun kata Jamaluddin, respons yang diber! ikan oleh kerajaan terhadap memorandum berhubung perkara tersebut, sangat perlahan.

"Kerajaan, kata hendak mengkaji tetapi sehingga hari ini kita tidak tahu perkembangan seterusnya," katanya.

Persekutuan Badan Pendidik dan Pembangunan Melayu dipengerusikan oleh bekas Pengarah Institut Teknologi Malaysia (ITM) Tan Sri Arshad Ayub manakala Tengku Razaleigh Hamzah adalah pengerusi Kongres Pendidikan Melayu anjuran persekutuan tersebut.

0 Comments:

Post a Comment