Rabu, November 23, 2005

Oleh Tun Paduka Tuan

Setelah membiarkan Ibrahim Ali ‘terkonting-konting’ seorang diri setelah dipecat daripada menjadi ketua penaja Umno Pasir Mas tanpa sebab jelas, tiba-tiba timbul niat di hati Annuar Musa untuk mendekatinya semula. Ini semua ialah kerana berlakunya pilihan raya kecil Pengkalan Pasir. Pengumuman yang dibuat oleh Ibrahim untuk bertanding atas tiket bebas benar-benar merimaskan Annuar dan juga Umno.

Mulanya Umno merasakan Ibrahim hanya bergurau sahaja. Umno dan Annuar tidak fikir selepas kalah di dalam pilihan raya umum 2004 lalu, Ibrahim berani turun sekali lagi.

Pilihan raya kecil itu dikira sukar untuk Ibrahim menang. Ada juga orang Umno beranggap Ibrahim membuat gempar untuk menjual dirinya.

Tetapi apabila Ibrahim serius, mereka mula gelabah. Banyak rakan-rakan Ibrahim yang masih setia dengan parti jenis lembu itu, (Umno lah!) menghubungi Ibrahim. Ada yang telefon, dan ada yang SMS. Semuanya minta Ibrahim supaya tidak bertanding. Malah ada yang memujuk Ibrahim dengan linangan air mata.

Mereka rupanya arif apa yang terjadi kalau Ibrahim bertanding. Kemasukan Ibrahim akan memecahkan undi mereka. Jadi melalui rakan-rakan terdekat Ibrahim, Annuar gunakan untuk pujuk Ibrahim Ali. Salah seorang tukang pujuk nombor satu ialah Ariffin Buncit.

Boleh dikatakan setiap hari Ariffin Buncit memodek dan memujuk Ibrahim, minta agar jangan bertanding. Macam-macam alasan yang direka dan disumbatkan ke dalam telinga Ibrahim, termasuk maruah Ibrahim akan tercemar, dia akan dilupakan rakyat kalau kalah dan sebagainya, namun Ibrahim tetapi juga dengan keputusannya.

Kegagalan segala usaha untuk memujuk Ibrahim itu menyebabkan Annuar Musa dalam keadaan terdesak. Akhirnya dia mengambil keputusan berani untuk berhadapan sendiri dengan Ibrahim Ali. Tindakan Annuar ini dikira berani kerana sebelum ini walaupun mereka bersua, tetapi tidak pernah bercakap secara serius mengenai politik dan masa depan Ibrahim. Malahan Annuar tidak sedikitpun peduli mengenai nasib Ibrahim! Buktinya dia tidak pernah membela atau membawa cadangan supaya kes pemecatan Ibrahim dirujuk semula.

Pada perhitungan Annuar pula menemui Ibrahim pada saat ini adalah baik. Dia akan untung sekiranya Ibrahim dengar kata-katanya. Manakala Ibrahim pula merasakan dia dihargai. Itulah fikir Annuar Musa. Jadi atas semangat win-win maka beliau menemui Ibrahim Ali pada 20 November lepas.

Pertemuan ini berlaku di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur. Turut sama hadir ialah Rohaya Idrus, isteri Ibrahim. Dia menjadi saksi kepada pertemuan di antara kedua orang sahabat ini.

Mulanya Ibrahim ingat pertemuan itu sebagai biasa sahaja, untuk makan, sebab lama mereka tidak makan bersama. Tetapi rupanya lain hajat dan juga warna pertemuan itu. Pertemuan itu khusus membincangkan mengenai politik Ibrahim dan juga perihal pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.

Sambil makan Annuar menceritakan latar belakang politik Pengkalan Pasir serta peluang untuk Umno menang. Annuar membawa retorik, kalau Umno menang Kelantan akan berubah, rakyat akan terbela. (Amboi.. yang kau makan wang rakyat PPRT tu apa?). kata Annuar lagi kemenangan di Pengkalan Pasir itu adalah merupakan kunci kepada Umno untuk tawan Kelantan. Kata Annuar, orang yang mencorak atau menjadi faktor ialah Ibrahim Ali. Lima minit pertama Annuar banyak memuji Ibrahim Ali.

Berikut adalah sedutan percakapan mereka berdua:

“Him sungguh ke demo nak tanding?” tanya Annuar.
“Sungguh...!” balas Ibrahim selamba tetapi bersungguh.
“Habis dah ke fikir?” tanya Annuar, semacam tidak percaya.
“Kawan dah buat keputusan!” balas Ibrahim pendek dan tegas.

Mendengar kata-kata ini Annuar jadi terdiam seketika. Dia cuba membaca minda Ibrahim. Lama kemudian baru dia menyambung.

 “Tak leh ke kalau tarik niat tu, kita nak menang ni,?” Annuar membuka isi hatinya.
“Kawan nak menang jugak. Lawanlah, kalau berani, sama-sama lawan, apa nak takut dengan kawannya!” Ibrahim terus mempertahkan prinsipnya.
“Kawe fikir soal demo, masa depan demo. Kawan sayang ke demo...!”

Tidak sempat Annuar habiskan ayatnya Ibrahim menyampuk menyinga; “Nuar, mu balah (henti) kecek. Aku dah cemuh dengan hipokrit mu ni, ba’ lah.” (Sebenarnya Ibrahim sudah lama memendam perasaan ini kepada Annuar. Annuar telah acap kali mempermainkannya).
Annuar jadi terus tergaman dan hilang kata-kata.

“Kawan janji, kalau demo tidak tanding, lepas pilihan raya demo akan diterima jadi ahli Umno!” kata Annuar memberanikan diri membuka isi hatinya dengan harapan Ibrahim menerimanya.

“Hey.. Nuar mu ingat kawan lapar sangat ke nak jadi ahli Umno? Kawan bukan budak Nuar, kawan dah lebih 30 tahun masuk politik...demo jangan nak jadikan kawan budak cabuk...!” balas Ibrahim terus menyinga. Dia tersinggung dengan tawaran dan cara Annuar melayannya. Ibrahim benar-benar tidak dapat mengawal perasaanya, menyebabkan dia menempuk meja. (Macam mesyuarat MT semasa nak pecat Anwar Ibrahim).

Annuar terus membatukan diri. Dia juga tergaman.
 “Nuar mu ingat aku ni anak Tok Gawa Ali... aku tidak akan tunduk kepada sapa-sapa kalau maruah aku tercemar...!” sambung Ibrahim Ali. Isterinya di sisi jadi terkejut.

“Aku tidak jadi ahli Umno pun tak pa Nuar, kalau layan aku macam kucing begitu. Kucing pun manusia tidak buat begitu. Dan mu mari ni tak usah nak pujuk aku... bak politik kita tak ketepi, kita sain (kawan) biasa sahaja. Sain boleh...!” sambung Ibrahim lagi. Annuar terus jadi tidak terkutip dan terkulat-kulat. Air di dalam cawan di hadapannya dingin tanpa dihirup.

Al kisah pertemuan pada malam itu gagal. Ibrahim bukan sahaja tolak tawaran Annuar yang hendak berusaha membawanya masuk semula ke dalam Umno, tetapi Ibrahim beri amaran jangan sesekali cuba hendak permainkan dia. Dia boleh dikatakan apa sahaja, tetapi soal maruah jangan sekali, dia akan mengamuk. Itulah Ibrahim Ali.

Kesimpulannya malam itu Annuar balik dengan tangan kosong. Misinya hendak tawan Ibrahim (agar jangan bertanding) dengan menggunakan senjata nak bawa Ibrahim masuk Umno gagal. Dan paling malang bagi Annuar, niat busuknya telah dianggap sebagai satu penghinaan kepada Ibrahim Ali.

0 Comments:

Post a Comment