Khamis, Oktober 13, 2005

Oleh ROY RASUL
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Hrkh) – Tindakan menyerahkan keputusan untuk menyenaraikan Tabung Haji Plantation Berhad (THP) di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL)kepada Perdana Menteri menggambarkan Tabung Haji sendiri tidak yakin dengan tindakan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz berkata, ia dapat dilihat dalam taklimat pihak Tabung Haji kepada ahli-ahli parlimen di parlimen semalam di mana akhirnya menyerahkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membuat keputusan.
“Sepatutnya apabila dia beri taklimat kepada MP (Ahli Parlimen) mereka sudah tetapkan keputusan,” katanya dalam perbincangan bersama Exco Pemuda Dewan Pemuda PAS berhubung isu Tabung Haji di pejabatnya di Parlimen hari ini.
Katanya, walaupun taklimat telah diberikan tetapi keputusannya masih dirujuk kepada Perdana Menteri dan ini bererti wujud persoalan-persoalan yang dibangkitkan ahli parlimen yang tidak dapat dijawap oleh pihak Tabung Haji.
“Jadi mereka mengambil jalan tengah untuk serah kepada Perdana Menteri,” katanya.
Malah katanya, beliau akan memaklumkan kepada menteri-menteri kabinet supaya memahami hujah yang dibangkit ahli-ahli parlimen mengenai kekhuatiran mereka di atas kewajaran Tabung Haji Plantation diapungkan kepada awam.
“Kita akan cuba berbincang dalam dewan walaupun pun diserah kepada PM lagipun dia selalu bincang perkara ini dalam kabinet dan kita boleh bincang kalau semua bangkitkan,” katanya.
Menurutnya, anggota parlimen membangkitkan isu pengapungan Tabung Haji Plantation Berhad di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bukan dari sudut halal dan haramnya tetapi lebih kepada kewajarannya.
Secara peribadi katanya beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Ini katanya, apabila disenaraikan ia bukan satu perniagaan tetapi seperti tikam loteri di mana ada elemen-elemen untung nasib.
“Pada saya ada elemen perjudian kat situ jadi tak wajar,” katanya,
Selain itu katanya, pelaburan tersebut melibatkan duit orang kampung.
“Kalau kita nak labur kita kena labur menerusi syarikat lain yang sudah ada bukan dengan pengapungan syarikat kita kerana ia ada risiko,” katanya.
Tambahan pula dalam keadaan ekonomi sekarang dakwanya harga jatuh dan ia boleh mendatang kerugian kepada pendeposit.
“Saya tak nampak apa perlunya diapungkan syarikat walhal Tabung Haji merupakan satu agensi kerajaan boleh dapat 'feredebled loan' dari mana-mana bank, tidak ada sebab mengapa terpaksa mengambil pilihan untuk mengapung,” katanya.
Disebabkan itu katanya, tiada syarikat bumiputera menunjukkan rekod yang boleh dibanggakan dan katanya lagi sepatutnya Tabung Haji boleh mengambil iktibar daripada Felda yang tidak jadi diapungkan kerana ia lebih baik.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Krian, Salahuddin Ayub yang bercakap kepada pemberita selepas perbincangan tersebut berkata, mereka meminta Perdana Menteri campurtangan dan memberi satu keputusan bahawa pengapungan itu dibatalkan.
“Ini supaya jaminan pendeposit dapat satu jaminan yang wang mereka dalam Tabung Haji tidak hadapi sebarang risiko,” katanya.
Malah katanya, beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Pahang supaya Tabung Haji tidak meneruskan niat untuk mengapungkan Tabung Haji Plantation.
Katanya lagi, Tabung Haji harus belajar dari Felda yang menarik balik keputusan untuk diapungkan dan hari ini katanya, mereka boleh memberi dividen yang agak memuaskan kepada peneroka.
Sementara itu, turut serta dalam rombongan tersebut bagi menyerahkan memorandum tersebut ialah Ahli parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman; Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Idris Ahmad; Pengarah Jabatan Pembangunan Pelajar, Abdullah Karim dan lain-lain. - mks.

0 Comments:

Post a Comment