Rabu, Oktober 12, 2005

KOTA BHARU, 12 Okt (Hrkh) – Berada di bandar ini sempena bulan Ramadan benar-benar terasa kelainannya. Syiar Islam semakin bersemarak lebih-lebih lagi selepas dimasyhurkan Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam, 1 Oktober lalu.

Sebelum ini kerajaan negeri menggamit kedatangan pelancong untuk merasai kelainan berpuasa di Kota Bharu dengan kempen berkunjung ke Kelantan sambil beribadat.
Malah Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mempelawa mereka yang tidak mempunyai wang untuk beribadat di Makkah sempena Ramadan, datanglah ke sini, bagi memenuhi citarasa tersebut.
Biar pun kempen seperti itu tidak kedengaran lagi, namun setiap kali kedatangan Ramadan kemeriahan dirasakan dengan sambutan kain-kain sepanduk yang mengucap Selamat Menjalani Ibadat Puasa boleh dilihat di merata tempat dan lokasi ibadat baru diwujudkan.
Sepanduk yang mengungkapkan mengenai kelebihan Ramadan dan ucap selamat daripada pemimpin dipaparkan di tempat-tempat awam dan pagar masjid.
Di Kota Darulnaim, pusat pentadbiran kerajaan negeri, setiap pagi bermula jam 8, tazkirah Ihya Ramadan diadakan di Bilik Audio, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Tazkirah kira-kira 10 minit dimulakan Menteri Besar pada 1 Ramadan lalu dan ia boleh didengari di seluruh kompleks Kota Darulnaim. Selepas itu Timbalan Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Manakala di Dewan Zulkifli Muhamad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan tazkirah juga diadakan iaitu selepas solat Zohor. Ia bermula 1 Ramadan lalu sehingga akhir bulan puasa ini.
Antara penceramah jemputan termasuk Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pensyarah, guru agama dan imam jemputan.
Selain itu, Badan Perhubungan PAS Kelantan juga mengadakan program tadarus al Quran di setiap kawasan parlimen yang bermula di Tumpat pada 7 Ramadan lalu.
Kemudian diikuti Pasir Mas pada 8 Ramadan, Tanah Merah (9 Ramadan), Kuala Krai dan Gua Musang (10 Ramadan), Pasir Puteh (11 Ramadan), Kubang Kerian (12 Ramadan), Ketereh (13 Ramadan), Bachok (14 Ramadan).
Rantau Panjang(15 Ramadan), Kota Bharu (16 Ramadan), Jeli (17 Ramadan), Pengkalan Chepa (18 Ramadan) dan Machang (19 Ramadan).
Seperti kelazimannya sejak lebih 10 tahun lalu, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB – BRI) menyediakan khemah khas solat Tarawih. Tahun ini lokasinya dipindahkan ke perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV, ekoran kerja-kerja pembinaan dijalankan di Dataran MPKB BRI.
Yang Dipertuanya, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, tempat berkenaan lebih sesuai memandangkan terdapat Bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa di kawasan berhampiran.
“Biarpun tahun ini tempat solat Tarawih sudah berpindah dari Dataran MPKB BRI ke perkarangan stadium, namun sambutan orang ramai seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya di sini.
Imam yang mengendalikan solat tersebut adalah guru hafiz jemputan. Selain itu, imam khas dari Mesir, Syeikh Muhaimin Syeikh Saeed turut diundang menjadi imam solat Tarawih.
Tempat-tempat ibadat lain yang menjadi tumpuan utama termasuk Masjid Muhammadi, Masjid Telipot, Masjid Kampung Sireh, Masjid As Salam, Pengkalan Chepa dan Masjid Negeri di Kubang Kerian.
Suatu kelainan juga dirasakan bermula awal bulan ini apabila Menara Jam Besar di Bulatan Tuan Padang di tengah-tengah pusat bandar di pasang alat pembesar suara bagi memperdengarkan kuliah agama, bacaan ayat-ayat suci al Quran dan azan.
Perubahan yang ketara setiap kali Ramadan juga dirasakan apabila ribuan penduduk membanjiri Dataran Ilmu untuk mendengar kuliah pada pagi Jumaat yang disampaikan Menteri Besar.
Lautan manusia dapat dilihat berada di atas jalan di dataran tersebut bermula jam 9.30 hingga 10.30 pagi, Jumaat lalu. Pelancong-pelancong luar Kelantan juga mengambil kesempatan berkunjung ke sini, untuk menikmati Ramadan di negeri Serambi Mekah.
- mJ

0 Comments:

Post a Comment