Selasa, Februari 28, 2006

 
Tue | Feb 28, 06 | 01:59:42 PM
Oleh Zulkifli Sulong
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - PAS dengan kerjasama pelbagai pihak akan mengadakan demonstrasi aman secara besar-besaran membantah kenaikan harga minyak yang melampau di perkarangan KLCC sebaik sahaja selesai Sembahyang Jumaat  3 Mac ini, kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.
Demonstrasi ini bertujuan untuk menunjukkan bantahan rakyat terhadap keputusan kerajaan yang tidak rasional dan membelakangi kepentingan rakyat banyak itu, katanya.
Kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen untuk setiap liter minyak berkuatkuasa hari ini. Ini merupakan kenaikan paling besar yang dilakukan oleh kerajaan sehingga kini.
Ini adalah kenaikan 18 peratus dari harga minyak yang ada dan bagi PAS ia kenaikan yang melampau.
Kenaikan ini tidak dilihat rasional ketika Petronas, sebagai syarikat pengeluar minyak milik negara, mencatatkan keuntungan lebih RM50 bilion tahun lepas.
"PAS membantah keras kenaikan ini dan ingin menyatakan bantahan ini secara langsung di perkarangan bangunan Petronas yang terletak di KLCC," kata Nasharudin kepada Harakahdaily.
Bagi beliau, kenaikan minyak ini melampau kerana kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan barangan keperluan lain dan sudah tentu ia akan memberikan bebanan besar kepada rakyat dan negara selepas ini.
"Apa salahnya kerajaan menggunakan keuntungan Petronas untuk mengekang kenaikan harga minyak? Dengan tindakan ini, harga barangan lain akan kekal dan tidak membebankan rakyat ramai," kata beliau.
Salahguna mandat
Bagi Nasharudin, langkah kerajaan ini adalah satu salah guna mandat besar yang telah diberikan oleh rakyat kepada kerajaan yang ada.
Sehubungan itu, Nasharudin menyeru semua pihak yang prihatin supaya turun ke KLCC Jumaat ini  khasnya ahli PAS dari seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub menyeru semua Pemuda PAS seluruh negara agar turun ke KLCC Jumaat ini.
"Saya menyeru semua Pemuda turun ke KLCC kali ini. Kita kena tunjukkan kepada kerajaan Pemuda tidak akan diam dengan langkah yang tidak wajar ini," kata Salahudin kepada Harakah.

 

Harga minyak naik lagi: Media jangan sembunyi rungutan rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - PAS berharap pihak media terutama stesen televisyen tempatan memainkan peranan dengan menyiarkan komen serta pandangan berhubung kenaikan harga minyak oleh pakar ekonomi dan orang ramai yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik.

Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kesal dengan tindakan serta sikap pihak media yang kerap menyiarkan komen daripada orang ramai yang bersetuju dengan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak sedangkan rungutan penentang 'digelapkan'.

Menurut beliau, tindakan itu amat tidak adil dan pihak media itu juga tidak diberi kebebasan untuk melaporkan berita yang sebenar diperolehi daripada komen orang ramai.

Kerajaan telah memutuskan kenaikkan harga runcit petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 30 sen seliter dan sekilogram berkuat kuasa hari ini.

Tuan Guru kesal dengan sikap kerajaan yang menaikkan harga bahan api itu dan kemudian membuat perbandingan kenaikkan itu masih dianggap murah berbanding kebanyakkan negara Asean kecuali Brunei.

"Kerajaan ini bukan sahaja membebankan rakyat tetapi menipu, seringkali menipu apabila menaikkan harga minyak mereka akan bandingkan dengan negara yang tidak ada minyak, cuba bandingkan dengan Brunei," katanya dalam sidang media selepas meraikan Majlis ramah mesra sempena Tahun Baru Cina anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, di Sri Petaling, malam tadi.

Menurutnya, sudah tentu kenaikan minyak itu bukan sahaja menjadi bebanan kepada pemilik kenderaan tetapi ia akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang-barangan.

Beliau berkata, sepatutnya kerajaan boleh menyelesaikan masalah tersebut tanpa menaikkan harga petrol dan diesel kerana negara mempunyai hasil petroleum yang mendapat keuntungan yang besar.

Katanya, Petronas bukan sahaja mempunyai pelaburan dalam negara tetapi ia turut mempunyai pelaburan di seluruh dunia.

Sehubungan itu beliau berharap supaya rakyat sedar serta mengambil panduan daripada rakyat di luar negara yang akan melakukan bantahan terhadap kerajaan sekiranya kerajaan menaikkan apa sahaja barang keperluan mereka.

Malangnya, tambah beliau, rakyat di negara akan berdemonstrasi juga tetapi hanya dilakukan di stesen-stesen minyak untuk mendapatkan minyak dengan harga yang lama.

Beliau mengingatkan rakyat supaya jangan mengambil sikap menyerah kalah sebaliknya perlu menunjukkan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang sering menaikkan harga minyak.


Beliau juga berkata, ahli Parlimen PAS akan membangkitkan isu kenaikan minyak serta apa sahaja isu yang melibatkan rakyat dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 9 Mac nanti. - lanh

Minyak Lagi

Harga minyak naik lagi: Mimpi ngeri yang berpanjangan

ROSLAN SMS
 
Sedang tumpuan dan simpati kita menjurus terhadap kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat di sepanjang Sg. Damansara yang musnah harta-benda mereka akibat banjir kilat luar biasa pada pagi Ahad lalu, seluruh rakyat Malaysia akan bangun pagi ini dengan satu lagi kejutan baru.

Kali ini ianya lebih besar dan menjejaskan hampir seluruh rakyat jelata.

Bahana kenaikkan harga barang dan terbaru kenaikan tambang bas sekolah serta impak selsema burung di sekitar Gombak masih terus menghantui kita semua, kini satu lagi beban besar pula melanda dan menghempap hidup kita.



Menurut BERNAMA satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri lewat malam tadi mengumumkan kenaikan harga runcit produk-produk petroleum termasuk diesel sebanyak 30 sen berkuatkuasa hari Selasa (hari ini).

Harga runcit petrol naik 30 sen seliter manakala LPG naik 30 sen sekilogram. Menurut kenyataan tersebut kenaikkan kali ini (sebagaimana alasan kenaikan-kenaikkan sebelum ini) adalah bagi mengimbangi kesan kenaikkan harga minyak mentah dunia dan membendung penambahan subsidi yang sedia dipikul oleh kerajaan.

Kali terakhir kenaikkan produk petroleum seumpama ini adalah pada 31 Julai tahun lalu, bermakna mimpi ngeri 7 bulan lalu yang masih menghantui hidup kita terus berlarutan malah lebih dahsyat lagi dengan kenaikkan baru ini!

Dan seperti biasa pihak kerajaan tanpa segan-silu membandingkan kenaikkan ini dengan harga petrol di negara-negara lain umpamanya di Thailand dan Filipina yang menurut kenyataan itu lebih mahal dari di Negara kita. Mudah-mudahan dengan perbandingan ini rakyat akan akur dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Alangkah baiknya kerajaan ku kerana harga minyaknya lebih murah dari negara jiran walaupun setelah diumumkan naik 30 sen!

Kenapa tak dibandingkan terus kos sara hidup di Thailand dan Filipina? Harga barangan runcit di Thailand dan Filipina bagaimana? Harga sewa rumah, kenderaan, tambang pengangkutan dan seumpamanya bagaimana?

Kenapa tak pula dikhabarkan yang jumlah minyak yang dikeluarkan dari perut bumi Malaysia lebih banyak dari negara-negara ini, kalau demikian sepatutnya harga runcit minyak di sini jauh lebih murah lagi?!

Barangkali semua itu tak perlu kerana rakyat Malaysia ini baik-baik belaka. Dibakar poketnya, ditebuk tabung simpanannya, mereka kan tetap tunduk dan patuh, tanpa banyak kira bicara.

Keberanian rakyat Thailand, Filipina dan malah Indonesia membantah secara terbuka sebarang perkara yang menjejaskan penghidupan mereka, tidak akan berlaku di Malaysia. Oleh itu dengan senang hati kerajaan mengumumkan kenaikkan harga minyak ini, kepada yang terjejas kami mohon maaf, kepada yang marah-marah harap bersabar, apa pun terimalah ia dengan seadanya, Malaysia Boleh!

Minyak naik 30 sen -- Harga baru petrol, diesel dan LPG berkuat kuasa mulai hari ini

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga runcit minyak petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 30 sen sekilogram (kg), berkuat kuasa esok.

Dengan keputusan tersebut, harga runcit baru petrol premium RON97 di Semenanjung Malaysia naik kepada RM1.92 seliter, petrol RON92 RM1.88 seliter, diesel RM1.581 seliter dan LPG RM1.75 sekilogram.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam ini memberitahu, kenaikan harga bahan bakar itu dilakukan bagi menangani kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia selain membendung peningkatan subsidi yang ditanggung kerajaan.

``Kerajaan memberi jaminan bahawa harga runcit barangan petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini,'' kata kenyataan itu.

Kenaikan yang diumumkan itu merupakan yang tertinggi setakat ini.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga runcit barangan petroleum ini ialah pada 31 Julai 2005 dengan peningkatan sebanyak 10 sen seliter bagi petrol, 20 sen seliter untuk diesel dan lima sen sekilogram untuk LPG.

Menurut kenyataan tersebut, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM7.41 bilion pada tahun lalu walaupun menaikkan harga produk petroleum itu manakala pengecualian cukai pula berjumlah RM7.85 bilion.

Bagi tempoh antara Januari hingga Februari 2006, kerajaan menanggung beban subsidi dan pengecualian cukai sebanyak RM1.19 bilion dan RM1.44 bilion, kata kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu, tanpa subsidi dan pengecualian cukai, harga runcit bagi RON97 di Semenanjung ialah RM2.46 seliter diikuti RON92 sebanyak RM2.37 seliter, diesel sebanyak RM1.98 seliter dan LPG RM3.21 sekilogram.

Menurut kenyataan itu, walaupun kerajaan menaikkan harga petrol, diesel dan LPG namun harga bahan bakar itu masih lagi rendah berbanding negara-negara ASEAN lain kecuali Brunei.

Tambah kenyataan berkenaan, kerajaan turut memperkenalkan sistem pemberian subsidi kepada 84 peratus kenderaan yang menggunakan diesel dalam sektor pengangkutan darat.

Mereka terdiri daripada pengusaha pengangkutan awam dan perkhidmatan barangan pengguna melalui fleetcard, kata kenyataan itu.

``Melalui penggunaan fleetcard ini, mereka boleh membeli diesel yang diberi subsidi di stesen minyak dengan harga 15 sen lebih rendah daripada harga yang ditetapkan,'' jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penjimatan kewangan yang dibuat melalui harga produk petroleum pada kali ini akan digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan dan meningkatkan sistem pengangkutan awam demi kepentingan penduduk negara ini.

Ahad, Februari 26, 2006

Semua dijemput untuk menghadiri Demo Aman sempena Hari Protes Umat Islam Seluruh Dunia seperti berikut :

Tarikh : JUMAAT 3 Mac 2006
Masa : 2 ptg - Selepas Solat Jumaat
Tempat : Masjid Jamek Ampangan, Seremban (Jalan Jelebu)

Demo Aman ini akan diadakan pada tarikh tersebut di seluruh dunia dan sebuah masjid terpilih di setiap negeri di Malaysia. Peringkat N.Sembilan adalah di Masjid Jamek Ampangan. Sila sebarkan maklumat ini secara meluas melalui e-mel. SMS, talipon, perbualan, di papan kenyataan masjid serta surau.

Sila bawa poster, kain rentang atau apa-apa yang sesuai seperti  :

KAMI CINTAKAN NABI MUHAMMAD SAW
JANGAN HINA NABI MUHAMMAD SAW
JANGAN HINA ISLAM
KAMI RELA BERKORBAN UNTUK RASULULLAH
BOIKOT BARANGAN DENMARK

Sabtu, Februari 25, 2006

MB kesal anak dilabelkan militan

Oleh: HERMAN HAMID

KOTA BHARU 24 Feb. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal apabila gambar anaknya, Nik Adli digunakan sebagai simbol militan dalam salah satu modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Beliau berkata, tindakan pihak yang menyediakan modul tersebut jelas sesuatu yang mendukacitakan beliau dan seluruh ahli keluarganya memandangkan setakat ini anaknya yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu masih belum dibuktikan di mahkamah sebagai pengganas.

Sehubungan itu beliau akan mengutus surat kepada pihak yang berkenaan supaya tidak lagi memaparkan anaknya itu sebagai seorang pengganas dalam modul PLKN termasuk pada masa hadapan.

``Kalau benar orang yang buat itu (menyediakan modul yang menggambarkan Nik Adli sebagai pengganas) seorang yang bertanggungjawab, dia kena minta maaf kepada saya, isteri saya dan anak saya.

``Macam mana boleh kata anak saya pengganas sedangkan tidak ada mana-mana mahkamah pun yang sabitkan anak saya sebagai pengganas,'' katanya pada kuliah mingguan beliau di sini hari ini.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar terbitan Pas, Harakah, yang memetik Pengarah Bahagian Penyelidikan PLKN, Mohd. Yusof Ahmad mengakui menggunakan gambar Nik Adli sebagai lambang militan.

Pengakuan Mohd. Yusof itu menurut Harakah keluaran terbaru, dibuat semasa pertemuan tertutup Dewan Pemuda Pas Pusat dengan pengurusan kanan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) baru-baru ini.

Jumaat, Februari 24, 2006

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - PAS kesal dengan layanan pengurusan New Straits Times Press (NSTP) yang hanya mahu menerima memorandum bantahan pemecatan editornya serta desakan permohonan maaf dilakukan di hadapan pintu pagar masuk bangunannya di Jalan Riong, di sini.

Rasa tidak puas hati itu diluahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum dalam demonstrasi aman selepas menunaikan solat Jumaat, di Masjid Abu Bakar As-Sidik, Bangsar.

Image
Mereka berarak ke pejbat NST dari Masjid Abu Bakar
Lebih 1,500 umat Islam menyertai demonstrasi aman membantah penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad s.a.w. dalam lakaran Wiley Miller di muka surat L8 ruangan Coffee Break di akhbar sisipan 'Life and Style' NST pada 20 dan 21 Februari, yang menggambarkan mesej sinis dan menghina kemuliaan Nabi Muhammad dan Nabi Nuh a.s.

Bagaimanapun, demonstrasi itu berada lebih kurang 500 meter dari pejabat NSTP kerana dihalang oleh pasukan keselamatan polis dan pasukan polis simpanan persekutuan (FRU) untuk mendekati pejabat tersebut.

Hadirin melaungkan; `Boikot NST, jahanam NST, hancur NST, Allahu Akbar' serta membawa slogan `NST ejen Singapura', Don't Insult the Prophet'. 

Image
Antara sepanduk yang dibawa
Menurut Salahuddin, walaupun pihak akhbar NST telah meminta maaf di atas kesilapan tersebut, mereka sebenarnya tidak ikhlas dengan permohonan maaf itu.

Katanya, pihak PAS akan sentiasa memantau semua akhbar tempatan supaya kesilapan yang disengaja itu tidak akan berulang.

Dalam sidang media itu, beliau berharap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membenarkan pihak polis membuat penyiasatan tanpa ada campurtangan daripada mana-mana pimpinan politik.

Katanya, PAS turut memberi amaran kepada pihak tertentu yang menjadi dalang NST supaya dipecat serta merta.

Ketika sidang medianya, sebuah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlegar-legar di kawasan demonstrasi sebanyak tiga kali dan berhenti selama tiga saat di tempat pimpinan PAS di kelilingi wartawan dan jurugambar.

Sebahagian wanita yang hadir berdemo
Image
Turut serta dalam penyerahan memorandum ialah Naib Presiden PAS, Husam Musa; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad; Timbalan Ketua Pemuda KeADILan, Samsul Iskandar Md Akif dan Ketua Penerangan PKR, Badrulhisam Sharil.

Wakil NST, Pegawai Kanan Perhubungan Korporat, Wan Abdilah Wan Nasrawi menerima memorandum tersebut dan berjanji akan menyerahkan memo itu kepada pihak pengurusan.


 

Khamis, Februari 23, 2006

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) - Pemuda PAS menolak penjelasan akhbar New Straits Times hari ini dengan menyifatkannya sebagai satu yang tidak meyakinkan.
 
Sehubungan itu, Ketuanya, Salahudin Ayub menuntut supaya Pengarang akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada umat di negara ini atas penyiaran kartun yang tidak bertanggungjawab itu.
 
Satu surat menuntut perkara berkenaan telah ditunjukkan oleh Salahudin kepada media dalam sidang akhbarnya hari ini.
"Jika tidak ada permohonan maaf terbuka, kami akan berdemo di depan pejabat NST Jumaat ini," kata Salahudin.
 
Semalam akhbar NST menyiarkan kartun yang disifatkan sebagai menyindir usaha membela penghinaan terhadap Nabi dan bagi Pemuda PAS kartun itu menghina Nabi.
Beberapa pertubuhan termasuk Pemuda PAS membuat laporan polis mengenainya.
 
Laporan polis
ABR melaporkan, Salahudin menyifatkan akhbar New Straits Times (NST) mengancam keselamatan negara dan berniat jahat apabila menyiarkan kartun berkaitan karikatur kontroversial mengenai Nabi Muhammad s.aw.
 
"Perbuatan menyiarkan kartun itu juga boleh mengancam keselamatan negara kerana ia berunsur hasutan dan akan memecah belahkan perpaduan di negara ini," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.
Akhbar itu menyiarkan kartun yang dilukis Willie Miller di muka surat lapan dalam ruangan "coffee break". Kartun itu menggambarkan seorang pelukis karikatur sedang duduk menunggu pelanggan sambil melukis sesuatu di atas kertas.
 
Salahuddin mengganggap kartun yang disiarkan oleh akhbar berkenaan sengaja mempersendakan isu yang dianggap sensitif dan merupakan satu penghinaan terhadap masyarakat Islam seluruh dunia.
Pengarah Latihan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Izham Nayan berkata penyiaran kartun itu menunjukkan akhbar itu berniat jahat untuk menghina agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia, menghina umat Islam, tidak menghormati perlembagaan negara dan biadab.
 
"Kita mahu editor akhbar ini diambil tindakan sewajarnya," tegas beliau.
Selain Pemuda PAS dan PPIM, turut membuat laporan polis ke atas NST ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang bergabung di bawah Majlis Angkatan Permuafakatan NGO-NGO Malaysia (Mapan).
Bendahari Agung GPMS Azan Ismail berkata akhbar berkenaan cuba menguji sensitiviti orang Islam di negara ini dengan menyiarkan kartun itu malah mencabar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, agar tidak menyiarkan karikatur yang menghina Nabi.

Rabu, Februari 22, 2006

BAITULMAQDIS 21 Feb. - Hamas yang diminta membentuk kerajaan baru Palestin kini berusaha untuk bergabung dengan kumpulan-kumpulan sekular.

Ismail Haniyeh, bekas pentadbir universiti dan penganjur pelajar untuk kumpulan sayap ketenteraan Hamas, dicalonkan untuk memikul jawatan Perdana Menteri selepas Hamas mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen Palestin bulan lalu.

Tindakan beliau untuk bergabung dengan kumpulan sekular memperkukuhkan reputasinya sebagai seorang pragmatis yang lebih rela bertolak ansur daripada berbalah dengan puak-puak Palestin yang bermusuhan.

Ismail menemui Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas semalam dan seorang jurucakap berkata, Mahmoud akan menyampaikan permintaan bertulis kepadanya untuk membentuk sebuah kerajaan apabila mereka mengadakan rundingan pusingan kedua hari ini.

Ismail mempunyai tempoh selama lima minggu untuk membentuk kerajaan baru Palestin.

Semalam, para pegawai Hamas mengadakan rundingan mengenai soal pergabungan dengan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin iaitu sebuah kumpulan sekular berhaluan kiri.

Ismail berkata, beliau akan mengadakan satu pertemuan lewat minggu ini dengan anggota-anggota pergerakan Fatah pimpinan.

Ismail mula menjadi perhatian ramai selepas pembunuhan pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin dan penggantinya, Abdel Aziz Rantisi pada 2004.

Beliau mempunyai hubungan baik dengan Mahmoud dan telah memainkan peranan sebagai orang tengah di antara Hamas dan PA, yang dibentuk pada 1994 dan dikuasai oleh Fatah. - AP

Selasa, Februari 21, 2006

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Harakah yang baru bagi menggantikan Dato' Hishamudin Yahaya.

Menurut memo yang ditandatangani oleh Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, yang diedarkan kepada semua kakitangan Harakah dan anak-anak syarikatnya hari ini, perlantikan itu berkuatkuasa serta merta (hari ini 21 Februari).

"Tuan/puan dengan ini hendaklah merujuk kepada Pengarah Urusan yang baru dalam segala urusan yang berkaitan dengan bidang tugas tuan/puan," kata memo itu.

Perlantikan itu, kata Mustafa dalam memonya, adalah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang telah bersidang pada hari ini (21 Februari 2006).

Isnin, Februari 20, 2006

Ceramah Kesihatan Percuma

Tajuk : "Kanser Golongan Wanita : Pencegahan dan Rawatan"
Oleh : Dr Linda Mohammad
Tarikh : AHAD 26 Februari 2006
Masa : 10 pagi
Tempat : Surau Taman Alamanda, Senawang

Turut diadakan Pemeriksaaan Kesihatan Percuma 9 pagi -1 tgh
Pemeriksaan Tekanan Darah, Indeks Berat Badan dan
Kandungan Gula

TERBUKA KEPADA SEMUA KAUM DAN AGAMA

Anjuran : Biro Helwa Surau Alamanda, Yayasan Amal
Malaysia NS, Nisa Kawasan Rembau

Maklumat lanjut hubungi :
Norwani 013-3851202
Rozmal 012-2267406

Teluk Kemang 19 Feb- Mesyuarat PASTI kawasan Teluk kemang pagi tadi telah membuka lembaran baru dalam pengurusan PASTI kaw tlk kmg apabila semua pengurus pasti-pasti unit bersetuju untuk menjadikan pengurusan PASTI kaw teluk kmg secara berpusat. langkah yg telah dimulakan sejak 2 tahun lalu dengan mengumpul data kewangan pasti2 unit setiap bulan, brosure yg sama dan selaras untuk semua pasti kaw teluk kemang dan yuran permulaan pendaftaran yg selaras telah berjaya dilakukan sebelum ini. hari ini, satu anjakan paradigma apabila semua sepakat untuk menjalankan pengurusan berpusat dengan dikendalikan sepenuhnya oleh pemuda kaw. pelbagai masalah sebelum ini yg telah menimpa pasti adalah disebabkan pasti2 unit bergerak secara bersendirian. apabila berlaku penggabungan ini, diharapkan permasalahan yg kerap berlaku setiap tahun iaitu kekurangn kewangan untuk mengendalikan pasti2 yg kekurangan pelajar. sebelum ini beberapa pasti bermasalah terpaksa diambil alih oleh pemuda kaw.
 
Keputusan yg dibuat bersama ini meletakkan harapan yg tinggi kepada pemuda kaw teluk kmg untuk mengendalikan pengurusan PASTI kaw secara sistematik seperti Jabatan Pendidikan Daerah. ini adalah projek perintis N.S. Diharapkan ianya akan menjadi satu momentum baru dalam menjadikan PASTI N9 diletakkan dibawah pengurusan berpusat seperti yg dilaksanakan di Johor dan Sabah.
 
Mesyuarat pasti kawasan yang turut dihadiri oleh hampir keseluruhan ajk pemuda kawasan tlk kmg berjalan secara harmoni dan muhibbah. Jangkaan mendapat tentangan daripada pasti2 unit adalah meleset sama sekali apabila mereka memberi sokongan padu dan tiada bantahan. Inilah apa yg dikatakan semangat kerja berjamaah dan kefahaman berada di bawah satu aqidah perjuangan Islam. semoga langkah permulaan awal ini diredai Allah dan memberi kesan yang cemerlang dengan penubuhan pasti2 baru di kawasan ini.-ul-haq

Sabtu, Februari 18, 2006

 CERAMAH PERDANA

YB Dato Seri Hj Abd Hadi Awang – Presiden PAS
Dato Dr Hassan Ali – Naib Presiden PAS
Dr Hatta Ramli – Bendahari PAS Pusat
Dr Badrul Amin Bahrun – Ahli MT Parti Keadilan Rakyat
Dr Rosli Yaakop – Pesuruhjaya PAS NS

AHAD 26 Februari 2006
JAM 9 malam
Di Markas PAS Cawangan Ampangan, Seremban (Sebelah Surau Hitam)

“Semua Dijemput Hadir”

Maklumat lanjut hubungi :
019-6532973 , 013-3426346

Khamis, Februari 16, 2006

Setelah dunia Islam dikejutkan dengan karikatur yang menghina junjungan kita Nabi Muhammad saw yang pada mulanya disiarkan oleh akhbar dari Denmark, barulah umat Islam tercari-cari apakah tindakan yang harus diambil memandangkan akhbar berkenaan enggan meminta maaf kerana telah melukakan hati ribuan juta umat Islam di seluruh dunia.

Antaranya ialah dengan mengadakan demonstrasi, menghantar surat bantahan serta memboikot produk yang berasal dari Denmark. Tapi bagaimana umat Islam hendak memboikot sesuatu barangan yang pada hukumnya memang haram dan dikilangkan pula di negara Islam ?

Yang paling ketara ialah jenama arak Carlsberg yang berasal dari Denmark , dikilangkan di Shah Alam, Selangor serta menguasai lebih 50% pasaran arak tempatan serta diekspot pula ke negara-negara Asia lain.

Inilah masanya kerajaan Malaysia yang berpegang kepada prinsip Islam Hadhari serta menjadi Pengerusi kepada Persidangan Negara-Negara Islam OIC agar mengambil pendekatan yang realistik terhadap pekilang-pekilang arak, lebih-lebih lagi pekilang arak dari Negara Denmark yang hingga ke saat ini tidak mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf kepada semua umat Islam di dunia.

Sekiranya negara barat boleh mengenakan pelbagai sekatan ekonomi serta meletakkan pelbagai syarat perdagangan untuk melindungi syarikat tempatan mereka, mengapa kita tidak dapat berbuat demikian agar pelabur-pelabur yang melabur di Malaysia terlebih dahulu menjaga sensitiviti agama Islam sebagai agama rasmi ?

Pekilang-pekilang arak yang ingin beroperasi di Malaysia haruslah dikenakan beberapa syarat antaranya ialah mereka hanya dibenarkan mengambil pekerja bukan Islam untuk bekerja di kilang atau syarikat mereka. Sekiranya pada ketika ini kita boleh mengenakan syarat seperti hanya warga Indonesia dan Filipina sahaja boleh diambil sebagai pembantu rumah, pekerja Vietnam sebagai pekerja kilang dan seterusnya, mengapa tidak diletakkan pula syarat kilang arak hanya dibenarkan mengambil pekerja bukan Islam , baik pekerja tempatan ataupun pekerja asing.

Malah bukan setakat pekerja sahaja pekilang arak mesti mengambil orang bukan Islam , malah jawatan lain termasuk pengarah syarikat , pembekal, pengedar dan peruncit juga haruslah diambil dari kalangan orang bukan Islam.

Begitu juga dengan tempat operasi kilang arak berkenaan, hendaklah ianya tidak beroperasi di kawasan penduduk yang majoritinya beragama Islam. Sekiranya hasil daripada pembangunan semasa serta kepadatan penduduk yang bertambah, maka lesen pekilang arak tidak sepatutnya diperbaharui, serta pekilang arak berkenaan harus diberi tempoh agar mereka dapat berpindah ke kawasan yang majoriti penduduknya adalah bukan Islam.

Islam begitu bertoleransi dengan penganut agama lain. Islam tidak menghalang pengikut agama lain makan apa yang mereka suka, serta minum apa yang mereka suka, asalkan pengikut agama lain menjaga sensitiviti umat Islam setempat.

Sebagai sebuah negara Islam juga , Malaysia boleh meletakkan syarat bahawa pekilang arak yang beroperasi di Malaysia ini hendaklah memastikan bahawa pengeluaran arak mereka hanyalah untuk pasaran tempatan sahaja, bukannya untuk pasaran ekspot. Adalah agak pelik Malaysia sebuah negara Islam menjadi pengeluar arak utama bagi rantau Asia Tenggara atau pun rantau Asia. Apatah lagi pekilang arak tersebut berasal dari negara Denmark, negara dimana akhbar mereka memulakan penyiaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad saw.

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang

Rabu, Februari 15, 2006

Bil ()dlm.MN.PK.A351.PTA/05/08

 

Tarikh : 8 Muharram 1427 - 7 Februari 2006

 

Kpd :

H.E. Borge Petersen

Ambassador Extraordinary and Plenipotentiary

22nd Floor, Wisma Denmark, 86, Jalan Ampang, 50450

Kuala Lumpur

 

Tuan Yang Terutama,

 

BANTAHAN TERHADAP PENYIARAN KARIKATUR NABI MUHAMMAD SAW OLEH AKHBAR JYLLANDS-POSTEN

 

Saya mewakili Majlis Mufti-mufti Malaysia membantah sekeras-kerasnya perbuatan biadap akhbar Jyllands-Posten yang menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW kerana perbuatan berkenaan adalah merupakan satu penghinaan kepada agama Islam dan seluruh penganut Islam yang sukar untuk dimaafkan.

 

Kami berkepercayaan bahawa agama adalah hak manusia dan tidak boleh mana-mana pihak menghina dan mencaci agama lain. Keharmonian beragama yang masih bertahan di negara ini adalah disebabkan tiada perbuatan jijik dan hina seperti yang telah dilakukan oleh akhbar berkenaan yang menggambarkan sikap tidak menghormati sensitiviti agama lain.

 

Penganut Kristian dan agama lain bebas mengamalkan ajaran masing-masing di Negara ini kerana umat Islam amat berpegang kepada ajaran kitab suci Al Quran yang menegaskan : "Bagi kamu agama kamu , bagiku agamaku"  "Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah"

 

Kami menuntut penyiaran karikatur berkenaan dihentikan serta merta dan perbuatan yang tidak bertamadun berkenaan tidak diulangi pada masa akan datang. Kami juga menuntut akhbar berkenaan memohon maaf kepada seluruh umat Islam SEBELUM SAMPAI KE SITUASI KAMI MUFTI-MUFTI GAGAL LAGI MENGAWAL PERASAAN UMAT ISLAM DI NEGARA INI.

 

Sekian.

 

DATO SERI DR HJ HARUSSANI BIN HJ ZAKARIA

SMP, DPMP, SIM, AMN, PKT, PJK

Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan

Mewakili Majlis Mufti-Mufti Malaysia

 

(Surat ini disiarkan dalam dalam web Jabatan Mufti Perak)

http://mufti.perak.gov.my/berita/surat%20rasmi%203.pdf

Selasa, Februari 14, 2006

Al Fatihah

Isnin 13 Feb - PAS N.Sembilan hari ini telah kehilangan seorang pejuang veteran yang gigih iaitu Tn Hj Zainuddin dari Jempol, N.Sembilan. Beliau telah kembali ke rahmatullah setelah sekian lama uzur. Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh menantu beliau Sdr Nazri Zainal pada jam 11:21 malam tadi.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan sekitar jam 11 pagi Selasa 14 Februari di Kg Cacar, Jempol. Allahyarham telah banyak berjasa dalam perjuangan Islam disamping beliau juga telah melahirkan dan mendidik anak-anak beliau menjadi pembela agama yang turut bergiat aktif dalam parti antaranya Us Nazri Zainuddin dan Us Khairi Zainuddin.

Semoga ruhnya ditempat bersama-sama ruh orang-orang yang memperjuangkan Islam. Kepada mereka yang ingin mengucapkan atau mengirimkan SMS takziah bolehlah menghubungi Us Nazri 019-6460234 atau Us Khairi 019-6138096

Isnin, Februari 13, 2006

Egypt Footballers Sport Prophet T-Shirt in ACN Finale

Striker Abu Trika wearing the prophet T-shirt during the warm-up.

By Ahmed Fathy, IOL Correspondent

CAIRO, February 11, 2006 (IslamOnline.net) – Egyptian footballers, who won the prestigious African Cup of Nations title on Friday, February 10, after a die-hard battle against Cote d'Ivoire, sported T-shirts with the phrase "We Are Ready to Sacrifice Ourselves for Our Prophet Muhammad" printed on them.

Before warming-up for the decisive match, the players lined up to greet a crowd of about 80,000 at the Cairo Stadium and were all dressed in the "Prophet" T-shirts.

They were unable to wear the T-shirts in the finale because of the FIFA guidelines, which ban teams to have any kind of slogans on their T-shirts during official matches.

Twelve cartoons of Prophet Muhammad (peace and blessings be upon him), first published last September by Denmark's mass-circulation Jyllands-Posten and then reprinted by several European dailies, have caused an uproar in the Muslim world.

The drawings included portrayals of the Prophet wearing a time-bomb shaped turban and showed him as a knife-wielding nomad flanked by shrouded women.

"We Love You Prophet"

Pro-Prophet placards were raised by fervent Egyptian fans during the games. (Reuters)

Placards reading "We love you Prophet," "Stop Insulting Our Prophet Muhammad," and "Boycott Danish Products" were raised by fervent fans during the match and other previous games, especially those of host Egypt.

Mohammed Hosni, supervisor of ACN Web site, urged the fans to shout "Allah's Prophet…Peace and Blessings be upon him" immediately after the national anthems of both teams and before the referee whistled the go-ahead.

The initiative to praise Prophet Muhammad was publicized via mobile messages and appeared on billboards in front of the Cairo Stadium's gates.

Egypt won the much-coveted cup after defeating Cote d'Ivoire 4-2 on penalties with President Hosni Mubarak, his wife and two sons watching.

The victory set off nationwide celebrations.

Egyptian newspapers Saturday heaped praise on Issam el-Hadary, the goalkeeper who gave his team a record fifth title by saving two penalties in a dramatic shootout.

"Hadary was confirmed as a superstar during the African Nations Cup. He entered the club of great goalkeepers, another product of the Red Devils," the state-owned Al-Gomhurriya daily said in reference to the country's league champion.

Egypt's victory was unimaginable when the tournament kicked off last month, but Egypt came out of the qualifying stages on top of its Group A after defeating Cote d'Ivoire 3-1.

The Pharaohs then beat the Democratic Republic of Congo and Senegal in the quarters and semis before securing a record fifth trophy.

Egypt coach Hassan Shehata said they owed their victory to the total support by the 80,000-strong crowd even at a point when it looked like this was not going to be their day.

Sabtu, Februari 11, 2006

Jumaat, Februari 10, 2006

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Hrkh) - Lebih 8,000 orang berarak, menyertai perhimpunan aman di hadapan Kedutaan Denmark di sini hari ini, mendesak pihak akhbar dan kerajaan Denmark serta sekutunya memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di atas kebiadapan akhbar Jyllands Posten yang memulakan penyiaran karikatur menghina Rasulullah s.a.w.

Demonstrasi aman yang diketuai Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bermula di Masjid Kampung Baru setelah selesai menunaikan solat Jumaat.

 

Ini merupakan demonstrasi kali kedua yang dibuat oleh PAS Pusat manakala kali pertama dilakukan oleh Pemuda PAS Pusat pada 5 Februari lalu.

 

Sepanjang perarakan itu mereka melaungkan takbir dan selawat kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w. Mereka membawa sepanduk, antara lain bertulis `Boikot produk Denmark', Free-Dumb to insult?,Hancur Denmark dan slogan dalam bahasa Arab.

 

Turut serta dalam perarakan tersebut, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Mohd Ramli; Ketua Penerangan, Ustaz Ahmad Awang; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Timbalan Ketua Muslimat, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali; Majlis Tertinggi PKR, Dr Badarulamin Baharom; Exco PAS Pusat, Negeri dan Kawasan.

 

Dalam perhimpunan di hadapan Wisma Denmark, Tuan Guru Abdul Hadi telah menyatakan bantahan kepada tindakan akhbar Denmark itu dan mengingatkan umat Islam supaya melahirkan kasih dan kecintaan kepada junjungan Besar Rasulullah s.a.w. dengan membuktikan segala kecintaan terhadap baginda hingga ke akhirat.

 

Katanya, umat Islam perlu meneruskan ketinggian martabat Nabi Muhammad s.a.w. dengan meneruskan segala ajaran dan perjuangannya.

 

Menurut beliau, walaupun akhbar mempunyai kebebasan tetapi kebebasan itu sudah pasti mempunyai hadnya dan umat Islam tetap menyanjung kebebasan.

 

"Ajaran Islam mewajibkan kita menjaga keselamatan kedutaan asing walaupun dengan negara yang bermusuh (berperang) kedutaan dan diplomat-diplomat tidak boleh diganggu.

 

"Ini mesti difahami dan ini merupakan satu gambaran yang sebenar dan hari ini kita menunjukkan gambaran yang sebenar mengenai Islam yang diperjuangkan oleh PAS," katanya.

 

Beliau berkata, Duta Denmark, Steen Petarson berjanji akan menyampaikan bantahan umat Islam kepada pihak kerajaan Denmark tetapi beliau menyatakan `dia tidak ada hak untuk meminat maaf yang berhak meminta maaf adalah kerajaan Denmark'.

 

Tuan Guru mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang menjaga keamanan dan dengan kerjasama itu, mereka boleh menjadi saksi di hadapan Allah di akhirat kelak kerana telah mengadakan bantahan terhadap penghinaan Rasulullah s.a.w.

 

 

 

Abdul Hadi bersama timbalannya di Kedutaan DenmarkMohamad Sabu turut menyatakan bantahan dengan mengingatkan umat Islam supaya tidak melayan segala provokosi yang dimulakan oleh puak jahiliah.

 

Beliau meminta umat Islam memboikot barangan Denmark serta negara sekutunya dengan segera.

 

Katanya, umat Islam dilarang sama sekali menghina semua nabi serta mana-mana agama sama ada Kristian,Buddha, Hindu dan sebagainya.

 

Laungan takbir `Allah-u Akbar' menghangatkan lagi perhimpunan aman petang tadi. Walaupun diiringi hujan renyai-renyai, mereka tidak sedikit pun berganjak sebaliknya perhimpunan tetap diteruskan.

 

Mohamad Sabu berharap pihak akhbar dan kerajaan Denmark perlu segera meminta maaf kepada seluruh umat Islam dan menjaga sensitiviti umat Islam seluruh dunia.

 

Beliau melahirkan kekesalan kerana sikap kurang ajar yang telah ditunjukkan oleh akhbar `Tribune Sarawak' yang turut menghina Rasulullah s.a.w.

 

"Jika kerajaan dan akhbar Denmark tidak menarik balik penghinaan itu kami umat Islam di sini akan meneruskan bantahan setiap minggu sehingga pihak terlibat meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam," katanya disambut dengan laungan takbir.

 

Salahuddin Ayub turut menyatakan perhimpunan itu merupakan satu amaran awal dan umat Islam tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang terlibat menghina junjungan besar Rasulullah s.a.w.

 

Beliau menegaskan Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mesti bertegas mengarahkan negara anggotanya memboikot barang-barangan Denmark serta negara sekutunya.

 

"Jangan hanya bisu seribu bahasa, kami umat Islam sanggup mati kerana mempertahankan ketinggian martabat Rasulullah," katanya.

 

Orang ramai bertakbir apabila bendera Denmark diturunkan dan diganti pula dengan kibaran bendera lambang PAS.

 

Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali dengan penuh semangat mengingatkan suri rumah supaya memboikot barang Denmark.

 

Katanya, Muslimat PAS mewakili wanita seluruh dunia menyatakan bantahan tehadap penghinaan ke atas Nabi Muhammad.

 

Ustaz Nasharuddin Mat Isa terkilan dengan seketariat Kedutaan Denmark  yang tidak membenarkan wakil delegasi seramai enam orang untuk bertemu dengan dutanya di pejabatnya tingkat 28.

 

Katanya, hanya tiga orang pimpinan PAS sahaja yang dibenarkan bertemu dan menyerahkan memorandum bantahan terhadap penghinaan Rasulullah iaitu Ustaz Abdul Hadi Awang, beliau sendiri dan Dato' Kamarudin Jaffar.

 

Sementara itu Ketua Polis Dang Wangi, ACP Kamal Bashar memuji demonstasi yang dipimpin oleh PAS itu berjalan secara aman tanpa sebarang provokosi daripada mana-mana pihak.

 

Katanya, pihak polis telah mengarahkan seramai 200 orang anggotanya untuk mengawal demonstrasi aman tersebut.

 

Pegawai di Kedutaan Denmark, Steen Hommel lega kerana demonstasi itu berlaku secara aman.

 

 

 

Beribu-ribu umat berarak membantah penghinaan terhadap Rasulullah di Kedutaan Denmark KL.Beliau berkata pegawai di Kedutaan Denmark berasa selamat dengan kawalan daripada pihak seketariat yang ketat.

 

Bagaimanapun Steen sedih dengan syor memboikot barangan Denmark kerana tindakan itu mengundang kurang rasa yakin negara Barat untuk mengadakan hubungan dagangan dengan negara ini.

 

Dato' Kamaruddin Jaffar pula melahirkan rasa gembira di atas sambutan 'luar jangka' umat Islam di negara ini terhadap piket bantahan yang dianjurkan.

 

Baginya, mesej yang disampaikan hari ini sudah cukup mengingatkan kepada bukan Islam dan negara Barat bahawa umat Islam pantang jika maruah agama mereka diinjak.

 

Justeru berdasarkan kepada memorandum dan solidariti yang ditunjukkan, PAS mendesak kerjaan Denmark dan negara terbabit membuat permohonan maaaf secara terbuka, katanya.

 

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti KeADILan Rakyat (PKR), Ustaz Badrol Amin Bahron pula menyeru seluruh umat Islam bersatu menentang siapa sahaja yang menghina Islam.

 

"Kita tentang akhbar Denmark, Perancis dan beberapa negara Eropah yang menyiarkan semula karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w. Malah kami menetang keras tindakan akhbar di negara ini yang turut menyiar gambar tersebut," katanya.

 

Baginya, akhbar itu perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini mahupun di dunia.

 

Jika kerajaan melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menahan beberapa individu Islam yang dikatakan mengugat keselamatan awam, PKR mahu kerajaan menjelaskan apa tindakan mereka dalam memastikan sensitiviti umat Islam tidak akan diusik selepas  kejadian ini, katanya.

 

Dalam pada itu, jurucakap Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin pula menyeru umat Islam di negara ini memboikot barangan keluaran Denmark, Perancis dan negara-negara yang turut serta terbabit menyiarkan karikatur.

 

Usaha ini perlu dipastikan berjaya bagi mengajar tindakan biadap negara tersebut mencetus kemarahan umat Islam, katanya.- lanh

PERARAKAN BANTAHAN... Berpuluh ribu umat Islam berarak menuju Kedutaan Denmark di Wisma Denmark, KL bagi membantah penghinaan terhadap Rasulullah yang dilakukan oleh akhbar negara itu. Mereka berarak dari Masjid Kg Baru sebaik sahaja selesai Solat Jumaat. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memimpin perarakan dan demo itu. Foto Harakahdaily.