Jumaat, Februari 24, 2006

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - PAS kesal dengan layanan pengurusan New Straits Times Press (NSTP) yang hanya mahu menerima memorandum bantahan pemecatan editornya serta desakan permohonan maaf dilakukan di hadapan pintu pagar masuk bangunannya di Jalan Riong, di sini.

Rasa tidak puas hati itu diluahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum dalam demonstrasi aman selepas menunaikan solat Jumaat, di Masjid Abu Bakar As-Sidik, Bangsar.

Image
Mereka berarak ke pejbat NST dari Masjid Abu Bakar
Lebih 1,500 umat Islam menyertai demonstrasi aman membantah penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad s.a.w. dalam lakaran Wiley Miller di muka surat L8 ruangan Coffee Break di akhbar sisipan 'Life and Style' NST pada 20 dan 21 Februari, yang menggambarkan mesej sinis dan menghina kemuliaan Nabi Muhammad dan Nabi Nuh a.s.

Bagaimanapun, demonstrasi itu berada lebih kurang 500 meter dari pejabat NSTP kerana dihalang oleh pasukan keselamatan polis dan pasukan polis simpanan persekutuan (FRU) untuk mendekati pejabat tersebut.

Hadirin melaungkan; `Boikot NST, jahanam NST, hancur NST, Allahu Akbar' serta membawa slogan `NST ejen Singapura', Don't Insult the Prophet'. 

Image
Antara sepanduk yang dibawa
Menurut Salahuddin, walaupun pihak akhbar NST telah meminta maaf di atas kesilapan tersebut, mereka sebenarnya tidak ikhlas dengan permohonan maaf itu.

Katanya, pihak PAS akan sentiasa memantau semua akhbar tempatan supaya kesilapan yang disengaja itu tidak akan berulang.

Dalam sidang media itu, beliau berharap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membenarkan pihak polis membuat penyiasatan tanpa ada campurtangan daripada mana-mana pimpinan politik.

Katanya, PAS turut memberi amaran kepada pihak tertentu yang menjadi dalang NST supaya dipecat serta merta.

Ketika sidang medianya, sebuah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlegar-legar di kawasan demonstrasi sebanyak tiga kali dan berhenti selama tiga saat di tempat pimpinan PAS di kelilingi wartawan dan jurugambar.

Sebahagian wanita yang hadir berdemo
Image
Turut serta dalam penyerahan memorandum ialah Naib Presiden PAS, Husam Musa; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad; Timbalan Ketua Pemuda KeADILan, Samsul Iskandar Md Akif dan Ketua Penerangan PKR, Badrulhisam Sharil.

Wakil NST, Pegawai Kanan Perhubungan Korporat, Wan Abdilah Wan Nasrawi menerima memorandum tersebut dan berjanji akan menyerahkan memo itu kepada pihak pengurusan.


 

0 Comments:

Post a Comment