Khamis, Februari 23, 2006

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) - Pemuda PAS menolak penjelasan akhbar New Straits Times hari ini dengan menyifatkannya sebagai satu yang tidak meyakinkan.
 
Sehubungan itu, Ketuanya, Salahudin Ayub menuntut supaya Pengarang akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada umat di negara ini atas penyiaran kartun yang tidak bertanggungjawab itu.
 
Satu surat menuntut perkara berkenaan telah ditunjukkan oleh Salahudin kepada media dalam sidang akhbarnya hari ini.
"Jika tidak ada permohonan maaf terbuka, kami akan berdemo di depan pejabat NST Jumaat ini," kata Salahudin.
 
Semalam akhbar NST menyiarkan kartun yang disifatkan sebagai menyindir usaha membela penghinaan terhadap Nabi dan bagi Pemuda PAS kartun itu menghina Nabi.
Beberapa pertubuhan termasuk Pemuda PAS membuat laporan polis mengenainya.
 
Laporan polis
ABR melaporkan, Salahudin menyifatkan akhbar New Straits Times (NST) mengancam keselamatan negara dan berniat jahat apabila menyiarkan kartun berkaitan karikatur kontroversial mengenai Nabi Muhammad s.aw.
 
"Perbuatan menyiarkan kartun itu juga boleh mengancam keselamatan negara kerana ia berunsur hasutan dan akan memecah belahkan perpaduan di negara ini," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.
Akhbar itu menyiarkan kartun yang dilukis Willie Miller di muka surat lapan dalam ruangan "coffee break". Kartun itu menggambarkan seorang pelukis karikatur sedang duduk menunggu pelanggan sambil melukis sesuatu di atas kertas.
 
Salahuddin mengganggap kartun yang disiarkan oleh akhbar berkenaan sengaja mempersendakan isu yang dianggap sensitif dan merupakan satu penghinaan terhadap masyarakat Islam seluruh dunia.
Pengarah Latihan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Izham Nayan berkata penyiaran kartun itu menunjukkan akhbar itu berniat jahat untuk menghina agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia, menghina umat Islam, tidak menghormati perlembagaan negara dan biadab.
 
"Kita mahu editor akhbar ini diambil tindakan sewajarnya," tegas beliau.
Selain Pemuda PAS dan PPIM, turut membuat laporan polis ke atas NST ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang bergabung di bawah Majlis Angkatan Permuafakatan NGO-NGO Malaysia (Mapan).
Bendahari Agung GPMS Azan Ismail berkata akhbar berkenaan cuba menguji sensitiviti orang Islam di negara ini dengan menyiarkan kartun itu malah mencabar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, agar tidak menyiarkan karikatur yang menghina Nabi.

0 Comments:

Post a Comment