Selasa, Februari 28, 2006

Minyak naik 30 sen -- Harga baru petrol, diesel dan LPG berkuat kuasa mulai hari ini

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga runcit minyak petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 30 sen sekilogram (kg), berkuat kuasa esok.

Dengan keputusan tersebut, harga runcit baru petrol premium RON97 di Semenanjung Malaysia naik kepada RM1.92 seliter, petrol RON92 RM1.88 seliter, diesel RM1.581 seliter dan LPG RM1.75 sekilogram.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam ini memberitahu, kenaikan harga bahan bakar itu dilakukan bagi menangani kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia selain membendung peningkatan subsidi yang ditanggung kerajaan.

``Kerajaan memberi jaminan bahawa harga runcit barangan petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini,'' kata kenyataan itu.

Kenaikan yang diumumkan itu merupakan yang tertinggi setakat ini.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga runcit barangan petroleum ini ialah pada 31 Julai 2005 dengan peningkatan sebanyak 10 sen seliter bagi petrol, 20 sen seliter untuk diesel dan lima sen sekilogram untuk LPG.

Menurut kenyataan tersebut, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM7.41 bilion pada tahun lalu walaupun menaikkan harga produk petroleum itu manakala pengecualian cukai pula berjumlah RM7.85 bilion.

Bagi tempoh antara Januari hingga Februari 2006, kerajaan menanggung beban subsidi dan pengecualian cukai sebanyak RM1.19 bilion dan RM1.44 bilion, kata kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu, tanpa subsidi dan pengecualian cukai, harga runcit bagi RON97 di Semenanjung ialah RM2.46 seliter diikuti RON92 sebanyak RM2.37 seliter, diesel sebanyak RM1.98 seliter dan LPG RM3.21 sekilogram.

Menurut kenyataan itu, walaupun kerajaan menaikkan harga petrol, diesel dan LPG namun harga bahan bakar itu masih lagi rendah berbanding negara-negara ASEAN lain kecuali Brunei.

Tambah kenyataan berkenaan, kerajaan turut memperkenalkan sistem pemberian subsidi kepada 84 peratus kenderaan yang menggunakan diesel dalam sektor pengangkutan darat.

Mereka terdiri daripada pengusaha pengangkutan awam dan perkhidmatan barangan pengguna melalui fleetcard, kata kenyataan itu.

``Melalui penggunaan fleetcard ini, mereka boleh membeli diesel yang diberi subsidi di stesen minyak dengan harga 15 sen lebih rendah daripada harga yang ditetapkan,'' jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penjimatan kewangan yang dibuat melalui harga produk petroleum pada kali ini akan digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan dan meningkatkan sistem pengangkutan awam demi kepentingan penduduk negara ini.

0 Comments:

Post a Comment