Khamis, Mac 30, 2006

Peguam Syarie Menulis: Hukuman mati ikut Barat kurang insafkan penjenayah

SARANAN Majlis Peguam, baru-baru ini, supaya hukuman gantung sampai mati dimansuhkan kerana pelaksanaannya selama ini gagal menurunkan kadar jenayah, terutama jenayah berat perlu diperhalusi daripada pelbagai sudut. Sambil mengagungkan apa yang berlaku di Amerika Syarikat, majlis itu sebenarnya gagal mendalami sensitiviti dan keperluan masyarakat tempatan.
 
Saranan ini sebenarnya hasil resolusi yang dibincangkan ketika mesyuarat agung tahunan ke-60 badan guaman itu pada 18 Mac lalu.

Jika kadar jenayah yang masih tinggi dijadikan alasan, apakah jaminan sekiranya hukuman mati ini dimansuhkan kadar jenayah akan turun? Adakah pesalah berat yang telah dihukum ini akan keluar dari penjara dengan penuh keinsafan dan tidak mengulangi kesalahannya?

Kegagalan menurunkan kadar ini sebenarnya berpunca daripada pelaksanaan hukuman mati dan bukan hukuman itu sendiri. Apa yang berlaku sekarang, hukuman mati dijalankan secara tertutup dan tidak disaksikan orang ramai.

Bagaimanakah hukuman sebegini dapat memberi kegerunan kepada sesiapa kerana mereka sendiri tidak pernah melihat ia dilaksanakan. Hukuman seperti ini biasanya dijalankan di dalam penjara dan disaksikan pegawai penjara, pegawai perubatan, majistret dan ahli keluarga terdekat. Orang awam hanya akan mengetahui setelah hukuman itu dilaksanakan.

Di Arab Saudi dan beberapa negara lain yang menjalankan hukuman mati secara terbuka, apakah kadar jenayah negara itu tinggi? Ini adalah bukti bahawa hukuman sebegini akan melindungi masyarakat umum daripada dikacau ganggu orang yang tidak bertanggungjawab.

Jangan hanya merujuk kepada Barat sebagai penyelesai masalah, sedangkan di tempat lain masih banyak yang kita boleh mengambil iktibar.

Majlis Peguam juga khuatir suatu hari kelak akan ada kes di mana orang yang tidak bersalah telah dihukum mati dan didapati bukan dia yang melakukan kesalahan itu kemudian hari. Memang benar orang yang tidak bersalah ini tidak boleh diselamatkan lagi kerana telah meninggal dunia. Tetapi, adakah ini alasan yang munasabah hukuman mati itu perlu dimansuhkan? Tidak adakah cara lain di mana kesilapan seperti ini dapat dielakkan?

Di dalam sistem perundangan yang kita amalkan pada masa ini, seseorang yang telah disabitkan bersalah dan dihukum dengan hukuman mati tidak akan terus dibunuh. Secara automatik kes ini akan dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi untuk rayuan dan ia akan diputuskan oleh sekurang-kurangnya tiga hakim Mahkamah Rayuan. Mahkamah yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan) akan membuat keputusan mereka.

Sekiranya masih didapati bersalah, maka rayuan ke Mahkamah Persekutuan pula boleh dibuat di hadapan panel sekurang-kurangnya tiga hakim. Setelah keputusan dicapai dan jika masih lagi disabitkan bersalah, pesalah ini boleh memohon pengampunan kepada Sultan.

Proses ini amat panjang. Tentu dalam proses ini akan muncul fakta baru yang menunjukkan ketidakbersalahan pesalah itu dan dia akan bebas daripada hukuman itu.

Sekurang-kurangnya tujuh hakim yang akan membuat keputusan itu. Setelah segala jalan diambil dan tidak berjaya, baru hukuman mati ini boleh dilaksanakan. Maka, kebarangkalian kesilapan akan berlaku amat kecil.

Seperkara lagi yang boleh diamalkan ialah dengan mengetatkan pembuktian. Pada masa ini pembuktian yang dibebankan ialah melampaui keraguan munasabah. Beban ini adalah tinggi dan hendaklah dipikul oleh pihak pendakwa. Tugas peguam bela hanya menimbulkan keraguan yang munasabah bagi membebaskan orang yang kena tuduh itu.

Beban pembuktian di dalam Islam untuk kes yang membabitkan hukuman mati adalah lebih tinggi lagi iaitu melampaui sebarang keraguan. Dengan cara ini ia akan mengelakkan kesilapan menghukum seseorang. Namun, ia tidak bermakna mereka akan terlepas begitu saja kerana masih boleh disabitkan dalam kesalahan lain yang dikategorikan sebagai takzir.

Di dalam pembuktian kes yang membawa hukuman mati, banyak perkara yang perlu diteliti hakim seperti kewibawaan saksi, dokumen dan sumpah. Dengan itu tidak akan berlaku kesilapan menghukum orang yang tidak bersalah.

Janganlah kita hanya mementingkan hak asasi pesalah. Kita perlu sedar sistem undang-undang yang diterima telah mensabitkan beliau atau suatu kesalahan yang berat seperti membunuh dan mengedar dadah.

Tidakkah kita prihatin dengan perasaan dan kesusahan yang dihadapi keluarga mangsa? Bagaimanakah keadaan keluarga mangsa yang dibunuh apabila suatu hari nanti terserempak dengan pembunuh ayah mereka?

Bagi pengedar dadah yang merosakkan masyarakat umum pula, tentulah mereka akan keluar dari penjara dan meneruskan kegiatan itu kerana memberikan pulangan lumayan. Yang menjadi mangsanya ialah anak kita yang akan terjebak ke dalam lembah kehinaan itu.

Mereka yang melakukan kesalahan kejam seperti membunuh dan mengedar dadah ini hanya mementingkan diri sendiri. Mereka sebenarnya tidak layak hidup kerana hanya memberi kemudaratan kepada orang lain. Yang pasti keluarga mangsa akan mengalami trauma, sedih, marah dan kesusahan yang tidak terhingga apabila mendapati keluarga mereka menjadi mangsa pembunuhan.

Buat sedikit kajian terhadap keluarga mangsa. Bagaimana mereka meneruskan kehidupan mereka setelah insiden kejam itu berlaku. Bagaimana perasaan mereka ketika menghadapi perbicaraan dan menerima keputusan yang dibuat hakim.

Oleh itu, saranan berkenaan perlu dikaji dan tidak terus membuat andaian hanya dengan merujuk kepada Barat. Mungkin kerajaan boleh mencuba pendekatan baru dengan melaksanakan hukuman mati di tempat terbuka dengan cara sesuai. Pasti kita akan dapati penurunan mendadak jenayah di Malaysia. Hukuman lain seperti mencuri dan merogol juga boleh dilakukan di tempat terbuka dengan tujuan sama. Dengan cara ini matlamat hukuman itu sebagai suatu pengajaran akan dapat dicapai.

Hak pesalah untuk mendapatkan perbicaraan yang adil. Tetapi, setelah dibicarakan dengan adil dan disabitkan kesalahan, maka hak keluarga mangsa dan orang awam hendaklah diutamakan. Hak keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan. Hak orang awam untuk hidup dalam keadaan selamat dan tenteram.

Rabu, Mac 29, 2006

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

SEREMBAN, 28 Mac (Hrkh) - Pelbagai acara menarik khusus untuk golongan remaja muslimah disediakan sempena pelancaran Nisa peringkat Negeri Sembilan yang akan diadakan di Gedung Lalang, Ampangan, Seremban pada Ahad 23 April 2006 ini bermula jam 9.00 pagi.

Menurut Pengarah Nisa Negeri Sembilan, Norwani Amat, antara acara yang akan diadakan ialah pertandingan fesyen muslimah cilik, pertandingan tudung kreatif remaja muslimah, pertandingan masakan rendang dan pembuka selera, deklamasi sajak, persembahan nasyid, gerai busana muslimah, jualan amal barangan terpakai serta gerai jualan usahawan muslimah.

Program itu diatur sejajar dengan peranan Nisa untuk membimbing para remaja untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara, katanya.

Majlis Pelancaran Nisa ini adalah terbuka kepada semua, sementara acara pertandingan yang disediakan adalah percuma,katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau juga memaklumkan bahawa kepada individu atau kumpulan yang ingin menyertai acara pertandingan atau membuat tempahan tapak geraihendaklah memaklumkan kepada pihak penganjur sebelum 17 April 2006.

Untuk maklumat lanjut, pendaftaran dan tempahan gerai bolehlah menghubungi Norwani (013-3851202), Hanadiah (013-6153468), Jazillah (019-3073100) dan Norashikin (019-6535145).

Di samping itu pihak penganjur juga mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada orang ramai untuk menjayakan program ini, katanya./wn.

Oleh Wajdi Mayusoh

KOTA BHARU, 29 Mac (Hrkh) – Ketika kerajaan mendakwa menghadapi masalah kewangan bagi meningkat sistem pengangkutan awam, sebaliknya setiap RM100 keuntungan Petronas, sebanyak RM53 daripadanya masuk kepada akaun kerajaan.

Hasil Petronas yang masuk kepada kerajaan ialah dalam bentuk pembayaran cukai, royalti dan dividen. Malangnya semuanya itu tidak didedah kepada rakyat.

Misalnya pada tahun lepas bayaran Petronas kepada kerajaan Persekutuan sebanyak RM31 bilion. Jumlah itu tidak termasuk hasil cukai lain seperti cukai perniagaan, pendapatan, kenderaan dan banyak lagi yang dibayar orang ramai.

Namun apa yang terbuku di hati rakyat, ke mana dibelanjakan wang keuntungan Petronas yang begitu banyak sehingga kerajaan kononnya mendakwa tidak mampu menanggung subsidi minyak dan gas untuk rakyat.

Penganalisis politik, Saifudin Nasution Ismail berkata, kerajaan tidak pernah memberitahu secara terbuka bagaimana membelanjakan hasil perolehan Petronas yang begitu banyak.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional berjaya mengelakkan rakyat daripada mendapat tahu kedudukan sebenar kewangan Petronas disebabkan Akta Pembangunan Petroleum hanya menjadi kuasa 'veto' Perdana Menteri dan bukannya Parlimen atau jemaah menteri.

“Akta ini meletakkan hanya Perdana Menteri seorang sahaja yang bertanggungjawab soal kewangan Petronas. Sebab itu Parlimen Malaysia tidak tahu ke mana duit Petronas dibelanjakan. Jemaah menteri pun mungkin tidak tahu," katanya di sini.

Petronas ditubuhkan pada tahun 1970-an, bermodal RM10 juta. Namun sekarang syarikat gergasi itu telah beroperasi di 35 negara sehingga berjaya memberi keuntungan besar kepada kerajaan.

Saifuddin juga berkata, berdasarkan kepada penjelasan Perdana Menteri, subsidi minyak sebanyak RM4.4 bilion akan digunakan bagi membangun sistem pengangkutan awam seperti monorel, LRT dan bas baru, namun ia hanya ditumpu di Lembah Klang tanpa mendapat manfaat rakyat di tempat lain.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan masih memberi subsidi gas kepada empat penjana kuasa elektrik yang dimiliki jutawan terkenal termasuk Tan Sri Lim Goh Tong, Tan Sri T Ananda Krishnan dan Tan Sri Syed Moktar Al-Bukhari.

"Kerajaan tidak jelaskan kepada rakyat subsidi yang begitu besar masih diberi kepada pengendali janakuasa tersebut yang berjumlah RM14 bilion setahun," dakwanya.

Tenaga yang dihasilkan penjana bebas itu kemudiannya dijual dengan harga 30 sen satu kilowat kepada TNB dan TNB menjual semula kepada pengguna pada kadar 23 sen satu kilowat sehingga terpaksa menanggung kerugian besar.

Ertinya setiap satu kilowat TNB rugi 7 sen dan menjadikan keseluruhan TNB kerugian sebanyak RM30 bilion, seperti pernah diumumkan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato' Shaziman Abu Mansor.

Ahad, Mac 26, 2006

 Posted by Picasa

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Kesemua 19 aktivis yang ditahan di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dalam demonstrasi membantah kenaikan harga minyak anjuran MTUC pagi tadi telah dibebaskan dari Balai Polis Pudu pada jam 5.10 hingga 5.35 petang tadi.

ImageTepat jam 5.10 petang Azmi Ali, Mohd Zai Mustaffa dan Mohd Fiqtrey Al Hakimi dibebaskan dan lima minit selepas itu Aiman Atirah Al Jundi dan Khairul Anwar Khusairi dibebaskan.

Dr Hatta Ramli serta dua anaknya, Amirah dan Atiqah pula dibebaskan pada jam 5.17 petang disambut oleh Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar dan pimpinan Parti KeADILan Rakyat (PKR), Tian Chua, Sivarasa Rasiah dan Xavier Fernandes.

Menyusul selepas itu Yusoff Ahmad, Hamid Bahrawi Omar Tan Abdullah, Salmah Abdul Rashid, Sanussi Saidin, Rosli Yusoff dan Hariss Ebrahim dibebaskan pada jam 5.20 petang.

Sementara Mohd Asril Nasruddin, Mohd Salihin Johari, Kamal Mohammad, Zulkarnain Khalid dan Faizal Ahmad dibebaskan pada jam 5.35 petang.

Selepas dibebaskan semua tahanan berkumpul di hadapan Balai Polis Pudu sambil melaungkan supaya harga minyak diturunkan serta kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan kerana menyusahkan rakyat dengan kenaikan harga minyak 30 sen 28 Februari lalu.

ImageDr Hatta dalam ucapannya selepas dibebaskan berharap semua yang ditahan dalam demonstrasi hari ini (26 Mac 2006) akan lebih bersemangat lagi untuk terus membantah kenaikan harga minyak ini.

"Kena tangkap ini semua perkara kecil sahaja, yang penting perjuangan membela rakyat.Ini akan memberi semangat kepada pejuang.Turun minyak...turun PM, hidup rakyat...hidup rakyat," laungnya sambil disahut semua penyokong yang setia menanti di hadapan balai polis sejak jam 2.00 petang lagi.

Dalam pada itu Kamaruddin yang yang bercakap bagi pihak PAS mengutuk keras tindakan polis menahan peserta perhimpunan aman pagi tadi.

Beliau yang ditemui ketika menunggu tahanan dibebaskan menyifatkan tangkapan yang dibuat telah dirancang terlebih dahulu setelah sebelum ini dua demonstrasi atas isu yang sama dianjurkan PAS dan PKR di KLCC.

"Kita akan teruskan protes kenaikan harga minyak ini demi memastikan hak rakyat terus diperjuangkan," katanya. 

Sementara itu beberapa aktivis yang ditahan mendakwa mereka telah diperlakukan secara kasar oleh pihak polis.

Seorang dari mereka, Mohd Fiqtrey berkata, semasa ditahan di hadapan KLCC polis bertindak kasar dengan memijaknya.

Beliau yang masih berasa sakit mahu membuat laporan polis di atas tindakan kasar polis menahannya itu.

"Saya akan ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan selepas itu akan membuat laporan polis," katanya./wn

Oleh Saidatul Amani, Saadon Aksah dan Wan Nordin

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli bersama dua anaknya antara yang ditahan dalam perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak yang dihadiri 2000 peserta di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) sebentar tadi.

Dua anak perempuan Dr Hatta, Amirah 9, dan Atiqah 17,  yang menyertai demonstrasi itu turut ditahan ketika hendak bersurai hadapan jalan bertentangan KLCC setelah memulakan semula demosnstrasi di kawasan berkenaan.

Lebih malang lagi seorang Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Aiman Athirah Al Jundi turut menjadi mangsa kerakusan polis menahan peserta demonstrasi setelah terdahulu sebelum itu peserta disembur dengan air 'water canon'.

Lain yang ditahan ialah aktivis Parti KeADILan Rakyat (PKR), Omar Tan Abdullah, aktivis Universiti Bangsar Utama (UBU), Fiqtrey Al Hakimi; Pemuda PAS Pandan, Kamal Mohammad; Hariss Ibrahim, Salmah Abdul Rashid, Azmi Ali;Mohd Zai Mustaffa, Khairul Anwar Mohammad Khusairi, Yusoff Ahmad, Hamid Bahrawi, Sanussi Saidin, Rosli Yusoff, Zulkarnain Khalid, Faizal Ahmad, Mohd Salihin Johari dan Mohd Asril Nasruddin. 

Image
Dr Hatta dan dua anaknya dibawa polis ke balai selepas ditahan di perkarangan KLCC.
Setakat berita ini ditulis semua yang ditahan kini berada di Balai Polis Pudu dan belum dibebaskan.

Perhimpunan yang bermula jam 10.00 pagi tadi dianjur oleh Kengres Kesatuan Sekerja Nasional (MTUC) dengan kerjasama PAS, PKR, DAP, Suarama dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Antara pimpinan yang hadir ialah, Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu; Presiden MTUC, Syed Syahir Syed Mohammud; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob; Ketua Penerangan PKR; Tian Chua dan beberapa aktivis rakyat.

Anjuran MTUC

Perhimpunan Bersama Keluarga hari ini pada asalnya dianjurkan oleh MTUC . Bagaimanapun pihak lain yang juga menentang kenaikan harga minyak ini menyertai perhimpunan MTUC itu.

Antaranya Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes) yang ditubuhkan oleh parti pembangkang dan NGO tempatan.

"Kami menganjurkan perhimpunan untuk memberikan penerangan tentang kandungan memorandum yang hendak dihantar MTUC kepada Perdana Menteri di Bangunan Parlimen esok," kata Syed Shahir, Presiden MTUC kepada Harakahdaily sebelum ini.

MTUC tidak bersetuju dengan kenaikan ini kerana golongan pekerja yang paling terasa akibatnya ekoran kenaikan harga minyak ini, kata beliau.

Lagipun, katanya, ada cara lain yang boleh diambil oleh kerajaan untuk menangani kenaikan harga minyak dunia sebagaimana cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

CERAMAH PERDANA ISU SEMASA

SABTU 1 April 2006 Jam 9 malam
Penceramah : Hj Mahfuz Omar , Dato Ibrahim Ali, Us Kamal Ashaari

AHAD 2 April 2006 Jam 9 malam
Penceramah : YB Salahuddin Ayub, YB Zaki Ibrahim, Dr Rosli Yaakop

SEMUA BERTEMPAT DI
Kg Masjid, Lenggeng, Negeri Sembilan

Anjuran : Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS N.Sembilan

Maklumat lanjut hubungi :
Zulkefly 019-2818816
Ghazali 019-2515618