Ahad, Mac 26, 2006

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Kesemua 19 aktivis yang ditahan di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dalam demonstrasi membantah kenaikan harga minyak anjuran MTUC pagi tadi telah dibebaskan dari Balai Polis Pudu pada jam 5.10 hingga 5.35 petang tadi.

ImageTepat jam 5.10 petang Azmi Ali, Mohd Zai Mustaffa dan Mohd Fiqtrey Al Hakimi dibebaskan dan lima minit selepas itu Aiman Atirah Al Jundi dan Khairul Anwar Khusairi dibebaskan.

Dr Hatta Ramli serta dua anaknya, Amirah dan Atiqah pula dibebaskan pada jam 5.17 petang disambut oleh Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar dan pimpinan Parti KeADILan Rakyat (PKR), Tian Chua, Sivarasa Rasiah dan Xavier Fernandes.

Menyusul selepas itu Yusoff Ahmad, Hamid Bahrawi Omar Tan Abdullah, Salmah Abdul Rashid, Sanussi Saidin, Rosli Yusoff dan Hariss Ebrahim dibebaskan pada jam 5.20 petang.

Sementara Mohd Asril Nasruddin, Mohd Salihin Johari, Kamal Mohammad, Zulkarnain Khalid dan Faizal Ahmad dibebaskan pada jam 5.35 petang.

Selepas dibebaskan semua tahanan berkumpul di hadapan Balai Polis Pudu sambil melaungkan supaya harga minyak diturunkan serta kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan kerana menyusahkan rakyat dengan kenaikan harga minyak 30 sen 28 Februari lalu.

ImageDr Hatta dalam ucapannya selepas dibebaskan berharap semua yang ditahan dalam demonstrasi hari ini (26 Mac 2006) akan lebih bersemangat lagi untuk terus membantah kenaikan harga minyak ini.

"Kena tangkap ini semua perkara kecil sahaja, yang penting perjuangan membela rakyat.Ini akan memberi semangat kepada pejuang.Turun minyak...turun PM, hidup rakyat...hidup rakyat," laungnya sambil disahut semua penyokong yang setia menanti di hadapan balai polis sejak jam 2.00 petang lagi.

Dalam pada itu Kamaruddin yang yang bercakap bagi pihak PAS mengutuk keras tindakan polis menahan peserta perhimpunan aman pagi tadi.

Beliau yang ditemui ketika menunggu tahanan dibebaskan menyifatkan tangkapan yang dibuat telah dirancang terlebih dahulu setelah sebelum ini dua demonstrasi atas isu yang sama dianjurkan PAS dan PKR di KLCC.

"Kita akan teruskan protes kenaikan harga minyak ini demi memastikan hak rakyat terus diperjuangkan," katanya. 

Sementara itu beberapa aktivis yang ditahan mendakwa mereka telah diperlakukan secara kasar oleh pihak polis.

Seorang dari mereka, Mohd Fiqtrey berkata, semasa ditahan di hadapan KLCC polis bertindak kasar dengan memijaknya.

Beliau yang masih berasa sakit mahu membuat laporan polis di atas tindakan kasar polis menahannya itu.

"Saya akan ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan selepas itu akan membuat laporan polis," katanya./wn

0 Comments:

Post a Comment