Rabu, November 26, 2008
Cuba kita tanya secara rambang rakyat Malaysia ketika ini apa masalah
mereka. Adakah masalah utama mereka akan diberhentikan kerja , harga getah
dan sawit merudum jatuh , harga barang naik ? Atau mereka akan jawab ladang
babi berhampiran rumah mereka , papan tanda jalan pelbagai bahasa depan
rumah mereka , mereka tak dapat mengamalkan Yoga ?
Nampaknya rakyat Malaysia sekarang ini dialihkan perhatian oleh media , baik
media pro BN mahu pun media pro Pakatan Rakyat (kerana menghabiskan masa
menepis serangan media pro BN) terhadap isu-isu yang remeh temeh. Sedangkan
banyak isu lain yang lebih besar.
Tanya seorang isteri apa masalah mereka ? Mereka akan jawab suami mereka tak
beri nafkah , suami mereka gila perempuan , suami mereka gila judi
Tanya seorang suami apa masalah mereka ? Mereka akan jawab harga barang naik
, elaun dipotong , harga getah turun.
Tanya seorang anak apa masalah mereka ? Mereka akan jawab tak lama lagi nak
buka sekolah , tapi ayah tak mampu nak bayar yuran , tak mampu nak bayar
tambang bas.
Tanya seorang ibu apa masalah mereka ? Mereka akan jawab harga ikan naik ,
anak perempuan mereka selalu keluar malam , anak lelaki mereka sudah mula
berjinak dengan dadah.
Tanya seorang ayah apa masalah mereka ? Mereka akan jawab rumah yang dibeli
terbengkalai , pinjaman bank perlu dibayar , duit sewa rumah juga perlu
dibayar.
Tanya seorang polis apa masalah mereka ? Mereka akan jawab kes samun makin
meningkat , kes rogol makin meningkat , kes macam-macam lagilah.
Tanya seorang imam masjid pula apa masalah mereka ? Mereka akan jawab jemaah
solat semakin berkurangan , kehadiran kuliah agama semakin berkurangan.
Tanya seorang doktor apa masalah mereka ? Mereka akan jawab kes pembuangan
bayi semakin banyak , kes bayi lahir tanpa bapa semakin banyak.
Tapi bila kita tanya ahli politik , kita tanya menteri apa masalah mereka ?
Mereka akan jawab papan tanda jalan mesti Bahasa Melayu , ketuanan Melayu
mesti dipertahankan , lapangan terbang perlu di bina di Negeri Sembilan dan
macam-macam isu lagi yang digembar gemburkan.
Jadilah rakyat yang bijak dan berfikiran terbuka serta rasional.