Rabu, Jun 25, 2008

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menegaskan beliau tidak akan mengadakan sebarang pertemuan dengan pemimpin Umno bagi mengelak perpecahan dalam PAS sendiri.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, sebarang perundingan dengan parti lawan itu hanya akan memecahbelahkan PAS kerana ada di kalangan anggota PAS yang tidak bersetuju dengan perkara itu.

"Terhadap ura-ura yang mengatakan saya akan mengadakan perundingan dengan Umno, ini saya nak jawab, tak akan ada perjumpaan dengan Umno.

"Kita tak mahu nanti timbul perpecahan dalam PAS sendiri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini. 

Beliau berkata PAS perlu menjaga hati anggota dan juga penyokong parti itu selain tidak mahu Muktamar PAS yang akan datang menjadi medan melepaskan kemarahan anggota parti yang tidak setuju dengan cadangan itu.

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz berkata kerajaan negeri hari ini merangka beberapa lagi langkah penjimatan yang akan dilaksanakan serta-merta.

"Kerajaan negeri Kelantan telah lama mengamalkan langkah penjimatan dan ia dilaksanakan berdasarkan ajaran Islam, iaitu jangan boros dan juga jangan kedekut dalam mengurus kewangan kerajaan," katanya.

Antara langkah penjimatan itu ialah semua penerbangan pegawai kerajaan perlu menggunakan kelas ekonomi kecuali bagi kes kesihatan dan tuntutan elaun exco kerajaan negeri dihadkan.

Nik Aziz berkata pembiayaan program yang dianjur kerajaan negeri dikurangkan sebanyak 30 peratus daripada biasa dan program hendaklah diadakan di dewan-dewan milik kerajaan negeri.

Selain itu, penjimatan elektrik di semua pejabat kerajaan pada waktu rehat kecuali ada staf yang bertugas dan juga penjimatan dari segi pembelian peralatan pejabat.

"Kerajaan juga akan memberhentikan segera projek naik taraf yang tidak perlu. Pekeliling mengenainya akan diedar dalam dalam masa terdekat," katanya.

0 Comments:

Post a Comment