Rabu, Februari 22, 2006

BAITULMAQDIS 21 Feb. - Hamas yang diminta membentuk kerajaan baru Palestin kini berusaha untuk bergabung dengan kumpulan-kumpulan sekular.

Ismail Haniyeh, bekas pentadbir universiti dan penganjur pelajar untuk kumpulan sayap ketenteraan Hamas, dicalonkan untuk memikul jawatan Perdana Menteri selepas Hamas mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen Palestin bulan lalu.

Tindakan beliau untuk bergabung dengan kumpulan sekular memperkukuhkan reputasinya sebagai seorang pragmatis yang lebih rela bertolak ansur daripada berbalah dengan puak-puak Palestin yang bermusuhan.

Ismail menemui Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas semalam dan seorang jurucakap berkata, Mahmoud akan menyampaikan permintaan bertulis kepadanya untuk membentuk sebuah kerajaan apabila mereka mengadakan rundingan pusingan kedua hari ini.

Ismail mempunyai tempoh selama lima minggu untuk membentuk kerajaan baru Palestin.

Semalam, para pegawai Hamas mengadakan rundingan mengenai soal pergabungan dengan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin iaitu sebuah kumpulan sekular berhaluan kiri.

Ismail berkata, beliau akan mengadakan satu pertemuan lewat minggu ini dengan anggota-anggota pergerakan Fatah pimpinan.

Ismail mula menjadi perhatian ramai selepas pembunuhan pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin dan penggantinya, Abdel Aziz Rantisi pada 2004.

Beliau mempunyai hubungan baik dengan Mahmoud dan telah memainkan peranan sebagai orang tengah di antara Hamas dan PA, yang dibentuk pada 1994 dan dikuasai oleh Fatah. - AP

0 Comments:

Post a Comment