Sabtu, Februari 25, 2006

MB kesal anak dilabelkan militan

Oleh: HERMAN HAMID

KOTA BHARU 24 Feb. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal apabila gambar anaknya, Nik Adli digunakan sebagai simbol militan dalam salah satu modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Beliau berkata, tindakan pihak yang menyediakan modul tersebut jelas sesuatu yang mendukacitakan beliau dan seluruh ahli keluarganya memandangkan setakat ini anaknya yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu masih belum dibuktikan di mahkamah sebagai pengganas.

Sehubungan itu beliau akan mengutus surat kepada pihak yang berkenaan supaya tidak lagi memaparkan anaknya itu sebagai seorang pengganas dalam modul PLKN termasuk pada masa hadapan.

``Kalau benar orang yang buat itu (menyediakan modul yang menggambarkan Nik Adli sebagai pengganas) seorang yang bertanggungjawab, dia kena minta maaf kepada saya, isteri saya dan anak saya.

``Macam mana boleh kata anak saya pengganas sedangkan tidak ada mana-mana mahkamah pun yang sabitkan anak saya sebagai pengganas,'' katanya pada kuliah mingguan beliau di sini hari ini.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar terbitan Pas, Harakah, yang memetik Pengarah Bahagian Penyelidikan PLKN, Mohd. Yusof Ahmad mengakui menggunakan gambar Nik Adli sebagai lambang militan.

Pengakuan Mohd. Yusof itu menurut Harakah keluaran terbaru, dibuat semasa pertemuan tertutup Dewan Pemuda Pas Pusat dengan pengurusan kanan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) baru-baru ini.

0 Comments:

Post a Comment