Ahad, Januari 22, 2006

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Lapan menteri -- empat dari MCA dan seorang masing-masing dari MIC, Gerakan, Parti Bersatu Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) -- hari Sabtu menarik balik memorandum bersama yang mereka kemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Rabu lepas.

Mereka ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting (MCA), Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy (MCA), Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (MCA), Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek (MCA), Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu (MIC), Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik (Gerakan), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Maximus Ongkili (PBS), dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (SUPP).

Ong, juga Presiden MCA dalam satu kenyataan berkata MCA serta pemimpin-pemimpin parti komponen lain Barisan Nasional tidak berniat mengenakan tekanan ke atas kerajaan dengan memorandum itu.

"Kami beri jaminan kepada PM bahawa kami tidak berniat mengenakan tekanan ke atas kerajaan tetapi untuk menyampaikan pandangan, rayuan dan keprihatinan orang bukan Islam. Sebagaimana dinasihatkan oleh PM, mengemukakan memo itu tidak sesuai dari segi prosedur. Berikutan nasihat beliau, kami telah menarik balik memo itu," kata kenyataan tersebut.

Parti itu, katanya, menyambut baik jaminan PM bahawa mereka akan meneruskan rundingan di Kabinet seperti yang mereka telah lakukan sebelum ini dan memberikan input mengenai isu pertukaran agama.

"Kami setuju perlu ada perbincangan berterusan mengenai isu perundangan dan perlembagaan yang menyentuh hak bukan Islam. Kami penuh yakin terhadap kebijaksanaan PM dalam menyelesaikan isu," katanya dalam kenyataan yang ditandangani oleh empat menteri MCA.

Sementara itu, Samy Vellu yang juga Presiden MIC berkata partinya akan menarik balik memorandum bersama itu.

Ini berikutan nasihat Perdana Menteri kepada beberapa orang Menteri bukan Islam termasuk beliau yang berjumpa dengan PM pagi tadi.

"Kami amat menghargai nasihat serta pandangan Perdana Menteri dan akan akur dengan keputusan beliau," kata Samy Vellu dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata MIC juga mengalu-alukan nasihat Abdullah supaya isu itu di bincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata MIC amat yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri dalam menangani isu tersebut.

Dr Lim, Presiden Gerakan berkata dalam kenyataannya bahawa memorandum itu bertujuan memberi input, pandangan dan keprihatinan orang bukan Islam kepada Perdana Menteri.

"Ini kerana isu itu sebenarnya telah dibincangkan di Kabinet beberapa minggu lepas. Banyak pendapat telah disampaikan. Kabinet memutuskan untuk menangguhkan perbahasan dan perbincangan, dan merujuk kepada Peguam Negara bagi melihat aspek perundangan dan membuat perakuan," tambahnya.

Yang demikian, kata Dr Lim memorandum itu bertujuan memberikan input selanjutnya secara lebih sistematik dan spesifik, tetapi secara sulit dan dengan niat yang baik.

"Ia tidak bertujuan mengenakan tekanan ke atas Perdana Menteri, dan tidak langsung sebagai ancaman kepada beliau," katanya.

"Selepas perbincangan dengan Perdana Menteri, kami sedar ini tidak sesuai dari segi prosedur, terutama kini ia menjadi pengetahuan umum dan menimbulkan persepsi yang salah."

"Berikutan nasihat Perdana Menteri, kami memutuskan menarik balik memorandum itu. Bagaimanapun, bila perakuan Peguam Negara dibentangkan di Kabinet untuk perbincangan pada masa depan, kami akan mengemukakan pandangan dan perakuan kami ketika itu," kata Dr Lim.

Ongkili yang sedang melawat Singapura dalam kapasiti selaku pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysaia (MCPF) berkata beliau akur dengan nasihat Perdana Menteri supaya menarik balik memorandum itu.

"Kami yakin penuh Perdana Menteri dapat menyelesaikan isu-isu yang dihadapi negara," kata Ongkili kepada Bernama.

Menteri yang bertanggungjawab mengenai perpaduan dan integrasi nasional itu berkata memo itu tidak berpunca khusus dari menteri-menteri berkenaan.

Ia lebih merupakan himpunan pandangan yang dilahirkan secara umum oleh pelbagai kumpulan kaum dan agama termasuk cadangan spesifik yang dikemukakan oleh Majlis Perundingan mengenai Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sik (CCBCHS) selepas kes yang menyelubungi kematian pendaki Everest Sarjan M. Moorthy atau Muhamad Abdullah.

"Majlis berkenaan menemui kebanyakan menteri bukan Islam itu secara individu dan menyerahkan salinan memo yang mereka telah serahkan kepada Perdana Menteri".

"Selepas mengkaji memo itu yang pada pandangan kami mengandungi cadangan yang wajar diberi pertimbangan dan kajian selanjutnya oleh kerajaan, menteri-menteri itu berpendapat daripada menyampaikan pandangan secara individu mengenai pelbagai cadangan, lebih baik kami mengemukakan cadangan itu dalam satu nota bersama," kata beliau.

Ongkili berkata tindakan itu dilakukan secara ikhlas ingin menyelesaikan isu yang boleh menimbulkan perdebatan dan mempunyai kesan jangka panjang terhadap perpaduan dan kesatuan rakyat terutama mereka yang merasa terjejas oleh kelemahan perundangan.

Chin, ketika dihubungi Bernama di Miri malam ini, berkata beliau juga bersetuju menarik balik memorandum dengan pemahaman bahawa isu-isu yang dibangkitkan akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang.

"Memandangkan apa yang PM telah katakan kepada lima menteri (pada mesyuarat mereka) hari ini adalah wajar menarik balik memo, saya akur dengan tindakan itu," kata beliau.

0 Comments:

Post a Comment