Rabu, Januari 04, 2006

Lima nama pemilih berdaftar dikemukakan sebagai bukti berlaku penyogokan pihak lawan sepanjang tempoh kempen berlangsung. Butir fakta penyogokan juga disebut melibatkan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak.

 KOTA BHARU, 4 Jan (Hrkh) – PAS memohon Mahkamah Tinggi Kota Bharu membuat satu pengisytiharan pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir yang diadakan 6 Disember lalu sebagai tidak sah dan terbatal berdasarkan kepada perlanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Petisyen yang mengandungi tuntutan tersebut dikemukakan di Mahkamah Tinggi hari ini yang difailkan seorang pemilih, Mohd Ridza Zain, 38 melalui peguam Tetuan C Jegathesan.

Mohd Ridza sebagai pempetisyen memfailkan tuntutan tersebut kepada responden pertama Hanafi Mamat, responden kedua, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir dan ketiga (Suruhanjaya Pilihan Raya – SPR).

Pempetisyen diwakili peguam terkenal, Haji Mohamad Ariff Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Haji Asmuni Awi, Aminuddin Zulkifli, Abdullah Abdul Karim, Zulqarnain Lukman, Zameri Mat Nawang, Hisham Fauzi, Nasrul Mohamed, M Reza Hassan dan Ahmad Najib Deris.

Petisyen setebal 22 muka surat dikemukakan Mohd Ridza yang turut diiringi hampir 100 penyokong PAS termasuk calon PAS Pengkalan Pasir, Haji Hanifa Ahmad, Naib Presiden Haji Husam Musa dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan.

Fakta yang dikemukakan pada petisyen itu termasuk kesalahan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu berlaku penyogokan wang dan projek pembangunan yang dianggap menjejaskan keputusan pilihan raya.

Lima nama pemilih berdaftar dikemukakan sebagai bukti berlaku penyogokan pihak lawan sepanjang tempoh kempen berlangsung. Butir fakta penyogokan juga disebut melibatkan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak.

 

Selain itu, pihak Barisan Nasional disebut mengadakan jamuan dengan pengetahuan responden pertama setiap malam di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Eng, Pasir Mas sepanjang tempoh kempen.

Fakta penyamaran juga disebut yang dilakukan agen-agen responden pertama di mana terdapat seorang pemohon mendapatkan kertas undi di atas nama orang lain dan membuang undi di atas nama Fatimah Mahmood di Sekolah Kebangsaan Ibrahim Tiga, sedangkan empunya nama berada di Grik ketika itu.

Seorang lagi pemilih berdaftar Yusof Harun yang datang untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Tanjung Chenok pada jam 1 tengah hari dan mendapati sudah ada orang mengundi bagi pihaknya.

Pempetisyen juga mengemukakan fakta di bawah Seksyen 9 (1) dibaca bersama 32 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di mana berlaku pengaruh tidak wajar iaitu pemimpin BN mengancam pemilih-pemilih.

Antaranya Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Hussien memberi amaran kepada guru-guru supaya tidak mengundi calon PAS. Selain itu, Menteri Pertahanan memberi amaran bekas tentera supaya tidak mengundi calon PAS.

Fakta kes dikemukakan berdasarkan kepada amalan rasuah di bawah Seksyen 11 (1)( c) dan Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Rasuah 1954. Pelanggaran undang-undang pilihan raya dan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 turut dibangkitkan dalam petisyen tersebut.

Oleh itu, pempetisyen yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas menuntut satu pengisytiharan bahawa responden pertama, Hanafi tidak dipilih dengan sewajarnya.
- MJ

0 Comments:

Post a Comment