Rabu, Januari 04, 2006

MENUNTUT KEADILAN.... Ketua Pemuda PAS Pasir Mas, Mohd Ridza Haji Zain mengemukakan petisyen pilihan raya DUN Pengkalan Pasir di Mahkamah Tinggi Kota Bharu tengah hari tadi. Mohd Ridza sebagai pempetisyen diiringi Pengerusi Jawatankuasa Petisyen Pilihan Raya DUN berkenaan, Takiyuddin Hassan dan Hanipa Maidin. Panel peguam seramai 11 orang yang diketuai bekas Timbalan Dekan Undang-Undang Universiti Malaya, Haji Mohamad Ariff Mohd Yusoff dilantik bagi mengendalikan kes tersebut. Turut hadir Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa dan calon DUN Pengkalan Pasir, Haji Hanifa Ahmad bersama hampir 100 penyokong PAS yang berada di perkarangan mahkamah sejak awal pagi lagi.Foto Rizal Tahir.
 



KOTA BHARU, 3 Jan (Hrkh) – PAS hari ini melakukan persiapan terakhir bagi menyediakan petisyen pilihan raya DUN Pengkalan Pasir sebelum difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu esok.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan berkata, persiapan bagi menyediaan petisyen itu sudah di peringkat akhir dan esok ia akan difailkan.
Katanya, sebelum ini PAS Pusat mewujudkan Jawatankuasa Khas Petisyen Pilihan Raya DUN Pengkalan Pasir yang dipengerusi bersama beliau dan peguam, Hanipa Maidin.
"Jawatankuasa ini pula menubuh sebuah panel peguam dan setakat ini dianggotai lima peguam terkenal bagi mengkaji kes tersebut. Seorang peguam kanan yang pakar dalam undang-undang perlembagaan dilantik mengetuai panel itu,” katanya di sini.
Menurutnya juga PAS mempunyai asas kukuh dalam petisyen pilihan raya kecil itu antaranya kes pengundi hantu yang dapat dibuktikan termasuk orang yang telah mati masih lagi tersenarai dalam daftar pemilih baru-baru ini.
"Dan ada pula orang yang mengundi bagi pihak orang yang sudah mati itu,” ujarnya yang juga anggota Exco kerajaan negeri.
Pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 6 Disember lalu PAS tewas dengan kekurangan majoriti sebanyak 134 undi, sedangkan sebelum pengiraan undi pos calon PAS, Haji Hanifa Ahmad mengatasi Haji Hanafi Mamat (BN) kelebihan dua undi.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan ceramah khas mengenai petisyen pilihan raya tersebut akan diadakan di Dewan Perniagaan Cina di Jalan Kebun Sultan kira-kira jam 9 malam ini.
Antara penceramahnya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agung, Dato’ Kamaruddin Jaffar dan Takiyuddin.
- mJ

0 Comments:

Post a Comment