Selasa, Disember 20, 2005

Image hosted by Photobucket.com
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Hrkh)- PAS menubuhkan Tabung Bantuan Mangsa Banjir bagi memberikan bantuan segera kepada mangsa banjir yang dialami oleh penduduk lima negeri utara Semenanjung sekarang. Jentera Muslimat PAS di semua peringkat pula di arahkan supaya turun ke medan segera bagi membantu mangsa banjir.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Azizah Khatib Mat berkata, beliau telah mengarahkan semua peringkat Muslimat PAS agar turun membantu mangsa.

"Banyak perkara yang boleh dibantu oleh Muslimat bukan lelaki sahaja boleh membantu," kata Azizah kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan semua pihak untuk membantu mangsa banjir berkenaan.

Mereka yang ingin menyumbang bolehlah memasukkan terus sumbangan mereka dengan memasukkan wang terus ke akaun Maybank 564070703248 atas nama Parti Islam Semalaysia.

Bantuan itu, kata Dr Lo' Lo' akan dihantar terus kepada mangsa bangjir yang memerlukan bantuan.

Lajnah Kebajikan PAS Pusat juga mengarahkan lajnah berkenaan di peringkat negeri dan kawasan digerakkan segera bagi membantu mangsa banjir di kawasan mereka.

"Begitu juga lajnah peringkat Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak perlu digerakkan segera bagi menghulurkan bantuan di mana perlu," kata Dr Lo' Lo' yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Banjir melanda Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan Terengganu sekarang ini. Empat dilaporkan telah meninggal dunia akibat banjir kali ini.

Kedah dan Perlis mencatatkan rekod banjir terbesar sejak beberapa tahun lalu. Daerah yang paling teruk adalah Kubang Pasu dan Jitra.

Sementara itu, PAS di negeri-negeri menubuhkan bilik gerakan khas bagi membantu mangsa banjir.

Di Kedah, PAS Kedah bertindak menubuhkan Jawatankuasa Khas Membantu Mangsa Banjir ekoran beberapa kawasan di negeri ini.

Antara kawasan yang teruk menimpa musibah itu adalah Changloon, Jitra, Padang Terap, Bukit Pinang, Pokok Sena, Jerlun dan Anak Bukit di Kuala Kedah.

Menurut Setiausaha PAS Kedah, Aris Awang, pihaknya dengan kerjasama PAS kawasan yang terlibat telah menghantar petugas bagi memberi bantuan awal terutamanya memindahkan mangsa ke pusat penempatan banjir di beberapa buah sekolah. -ZS

0 Comments:

Post a Comment