Rabu, Disember 28, 2005

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari Rabu memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada jenazah pendaki Everest, M. Moorthy, adalah seorang Islam sebelum kematiannya kerana perkara itu telahpun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 22 Dis lepas bahawa beliau adalah seorang Muslim.

Hakim Datuk Raus Sharif turut menolak permohonan isteri Moorthy, Kaliammal Sinnasamy, yang menuntut perintah supaya Hospital Kuala Lumpur menyerahkan mayat suaminya untuk dikebumikan mengikut adat dan upacara Hindu.

Sebelum ini, timbul persoalan siapakah yang berhak untuk menguruskan jenazah Moorthy atau nama Islamnya Muhammad Abdullah, setelah mayatnya menjadi rebutan apabila usaha Jabatan Agama Islam Wilaya h Persekutuan (JAWI) untuk mengebumikannya dibantah oleh anggota keluarganya yang mendakwa beliau tidak pernah memeluk Islam.

Mayat Moorthy, yang disimpan di HKL sementara menunggu keputusan mahkamah hari ini, dipercayai akan diambil untuk urusan pengebumiannya oleh pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan hari ini.

0 Comments:

Post a Comment