Rabu, Disember 28, 2005

Kenyataan Media

MENYOKONG KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI SYARIAH KUALA LUMPUR BERHUBUNG HAK JAWI MENGURUSKAN PENGKEBUMIAN MOHAMMAD ABDULLAH (M. MOORTHY)

Kami dari pertubuhan-pertubuhan Islam menyokong penuh keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mengesah dan membenarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menguruskan pengkebumian jenazah Mohammad Abdullah (M.Moorthy) di tanah perkuburan Islam.

Bukti bahawa Allahyarham telah memeluk agama Islam dan ternyata ada pendaftaran yang sah serta bukti pengeluaran sijil pengislaman di JAWI tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Kami kesal terhadap keputusan itu dicabar oleh pihak-pihak tertentu walaupun peruntukan undang-undang jelas bahawa keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dicabar oleh Mahkamah sivil.

Alasan kami adalah seperti berikut:

1. Penghakiman kes ini yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah adalah sah dan mengikut bidangkuasa mahkamah ini kerana Allahyarham sudah diperakui sebagai seorang Islam dan tidak ada keraguan berkaitan keislamannya.

2. Dinyatakan dalam Perkara 121A, Perlembagaan Persekutuan bahawa mana-mana Mahkamah tidak boleh campur tangan dalam keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dalam sesuatu kes,

3. Keputusan Mahkamah Syariah juga tidak boleh dibatalkan oleh mana-mana Mahkamah lain seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

4. Mempertikaikan keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah adalah suatu perlanggaran undang-undang yang boleh membawa kepada kesalahan penghinaan kepada Mahkamah tersebut ( Contempt of Court).

Oleh itu pihak berkuasa yang diberi kuasa untuk menguruskan jenazah ini tidak perlu mengambil kira sebarang keputusan lain kerana ia sudah dinyatakan dengan jelas oleh Mahkamah Tinggi Syariah bahawa JAWI berhak menguruskan pengkebumian jenazah tersebut mengikut pengkebumian Islam.

Akibat dari keputusan itu dicabar melalui afidavit yang dihantar oleh pihak keluarga Allahyarham ke Mahkamah Tinggi , pengkebumian itu terpaksa ditangguh sudah melebihi seminggu dan ini adalah suatu yang sangat tidak wajar dan melanggari tuntutan syara' bahawa jenazah seseorang Islam sangat perlu dikebumikan sesegera mungkin.

Tindakan mencabar keputusan itu sangat tidak wajar dan kami mempersoalkan bagaimana ini boleh berlaku sedangkan peruntukan secara undang-undang tidak membolehkan kes-kes yang berkait dengan undang-undang syariah dibatalkan oleh undang-undang sivil.

Oleh kerana secara prinsipnya telahpun dapat dibuktikan bahawa Allahyarham tidak pada mana-mana waktu yang tercatat di JAWI mengisytiharkan keluar daripada Islam, maka seharusnya proses menyerahkan jenazah itu kepada JAWI untuk segera dikebumikan sepatutnya tidak diganggu.

Kami berpendirian adalah sangat berbahaya jika hal ini terus berlarutan kerana ia akan menyentuh soal agama yang sangat sensitif kepada masyarakat di negara ini. Bila pihak-pihak yang berkaitan menunjukkan penentangan secara beramai-ramai untuk mengganggu penyerahan jenazah dari Hospital Kuala Lumpur kepada pihak JAWI ia akan mudah membakar api kemarahan kepada masyarakat antara agama.

Kami yang mewakili suara masyarakat Islam ingin menggesa agar semua pihak menghormati keputusan itu dan tidak mengambil kesempatan untuk menegangkan suasana yang jika berlarutan akan boleh mewujudkan konflik dalam masyarakat.

Kami dengan ini menggesa perkara berikut diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkaitan:

1. Pihak berkuasa segera melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah supaya jenazah Allahyarham dikebumikan mengikut pengkebumian Islam.

2. Keputusan Mahkamah Syariah dalam kes ini yang jelas tidak harus dicabar oleh mahkamah sivil hendaklah benar-benar dikuatkuasakan supaya tidak timbul percanggahan dalam peruntukan undang-undang yang sedia ada.

3. Pihak-pihak yang cuba mengganggu JAWI dalam urusan pengambilan jenazah Allahyarham dan mengkebumikannya tidak meneruskan tindakan menentang keputusan itu yang jelas berada dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

4. Jenazah Allahyarham perlu segera diuruskan pengkebumiannya tanpa berlengah-lengah lagi kerana ini jelas bertentangan dengan tuntutan syariah yang memerlukan pengkebumian disegerakan.

Datuk Sheikh Azmi Hj. Ahmad
Pengerusi Institut Penyelidikan dan Pegembangan Syariah Malaysia (ISRA)

Sheikh Abu Bakar Awang
Yang DiPertua Persatuan Ulama Kedah

Haji Abdul Ghani bin Samsudin
Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA)

Hj Mahfuz bin Omar
Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK)

Hj. Mohd Azmi bin Abdul Hamid
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

Ahmad Tarmizib bin Sulaiman
Pengerusi Ikatan Siswazah Syariah Malaysia

Hj. Ismail bin Wan Teh
Pengerusi
Kumpulan Prihatin Masyarakat Negeri Kedah

0 Comments:

Post a Comment