Isnin, Disember 26, 2005

KERAJAAN Islam Hadhari di bawah pimpinan UMNO telah memberikan pukulan maut kepada perjuangan wanita Islam di Malaysia. Pindaan kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang dibawa ke Dewan Negara minggu ini menunjukkan betapa tidak prihatinnya kerajaan terhadap hak dan masalah yang dihadapi oleh wanita Islam di Malaysia. Rang undang-undang ini telah dibawa ke Dewan Rakyat baru-baru ini dan diluluskan tanpa sebarang perbahasan. Lebih buruk lagi, 19 orang Senator Barisan Nasional di Dewan Negara yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap rang undang-undang ini telah diberi kata dua oleh Menteri (seorang lelaki) supaya meluluskannya. Ini menunjukkan penggunaan kuasa menteri secara tidak bermoral sedangkan cadangan pindaan tersebut, jika diluluskan, akan memberikan implikasi yang amat besar kepada wanita Islam di Malaysia.

Pada bahagian pendahuluan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 telah dinyatakan bahawa akta ini mengkanunkan perkara-perkara mengenai perkahwinan, perceraian, nafkah, penjagaan dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan kehidupan keluarga. Sejak akta ini diluluskan pada tahun 1984 hingga tahun 2005, iaitu selama 21 tahun, akta ini telah mengalami 4 kali pindaan termasuk pindaan yang baru dibuat baru-baru ini. Pindaan yang dibentangkan ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada minggu ini adalah pindaan yang kelima dan kedua pada tahun 2005. Sebagai seorang yang beragama Islam, persoalan utama yang timbul di sini adakah pindaan yang dicadangkan itu selaras dengan hukum Islam dan selari dengan maqasid syariah (tujuan pensyariatan Islam) ?
Sebanyak 26 seksyen telah dicadangkan untuk dipinda dalam rang undang-undang akta ini. Secara umumnya, kebanyakan pindaan yang dicadangkan adalah berbentuk teknikal dan boleh dipersetujui. Namun begitu, terdapat beberapa seksyen yang perlu dipertimbangkan dan dibahaskan semasak-masaknya sebelum diluluskan sama ada di peringkat Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Semua ahli Parlimen sepatutnya diberikan sepenuhnya untuk berbahas dan menimbangkan sama ada pindaan yang dicadangkan itu patut diterima atau tidak dan bukan diperintah supaya menerima pindaan tersebut tanpa memikirkan implikasinya kepada rakyat khususnya wanita Islam. Amat malang sekali, inilah yang berlaku dalam keadaan kerajaan melaungkan Islam Hadhari dan demokrasi.
Cadangan pindaan-pindaan yang perlu dikaji dan disemak kembali
1. Pindaan seksyen 23(3) yang dibuat ialah menukarkan perkataan ‘dan’ kepada ‘atau’ dalam permohonan berpoligami. Seksyen asal bagi 23(3) : ‘Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan surat akuan menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu.’....... Antara syarat berpoligami untuk suami ialah dia perlu membuktikan perkahwinan dengan wanita lain adalah patut ‘dan’ perlu. Patut dalam erti kata patut baginya untuk berkahwin seorang lagi dengan kemampuan fizikal, mental dan rohani suami untuk memberi keadilan kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada dan wanita yang ingin dikahwininya itu. Perlu dalam erti kata, perkahwinan yang diingininya itu mesti dilangsungkan juga. Jika tidak, akan berlaku perkara-perkara negatif atau buruk. Jika pindaan ini diterima, maka suami hanya perlu memenuhi salah satu syarat untuk berpoligami : patut atau perlu, dan tidak perlu memenuhi kedua-duanya sekali. Ini akan menjejaskan hak isteri kerana, jika suami ingin berpoligami tetapi tidak mampu berlaku adil dan dia memenuhi kondisi ‘perlu’.
2. Pindaan seksyen 23 dengan memasukkan subseksyen (9). Seksyen ini melibatkan isu pemilihan oleh isteri antara nafkah atau harta sepencarian. Seksyen 23(9)(b) melibatkan isu pembahagian harta sepencarian antara suami dengan isteri yang sedia ada apabila suami ingin berpoligami. Peruntukan ini menyatakan : S.23(9) Tiap-tiap mahkamah yang memberikan kebenaran atau memerintahkan supaya suatu perkahwinan didaftarkan di bawah seksyen ini hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan itu -
(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada; atau
(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh mana-mana pihak itu dalam masa perkahwinan itu melalui usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan
Suami, melainkan dalam keadaan uzur syar’ie, bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Hak terhadap nafkah dan harta sepencarian adalah hak isteri yang diperakui oleh undang-undang dan isteri tidak sepatutnya hanya dibenarkan memilih salah satu. Ketika masih wujud ikatan perkahwinan, isu tuntutan nafkah oleh isteri tidak sepatutnya timbul kerana perkara itu adalah tanggungjawab suami. Jika dia enggan memberi nafkah, isteri boleh menuntut haknya di bawah seksyen 59(1) dan menuntut tunggakan nafkah di bawah seksyen 69.
Harta sepencarian, mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, ditakrifkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut hukum syarak. Berdasarkan kes Roberts lwn Umi Kalthom [1966], Raja Azlan Shah telah memutuskan bahawa harta sepencarian adalah perkara adat Melayu dan dipakai hanya dalam kes di mana suami atau isteri yang dicerai menuntut dari isteri atau suaminya dalam masa hidupnya. Oleh itu, dapat difahami bahawa isu harta sepencarian hanya timbul apabila suami isteri bercerai dan sama sekali tidak timbul apabila suami ingin berpoligami. Pindaan yang dicadangkan menggambarkan harta sepencarian boleh dituntut walaupun masih wujud ikatan perkahwinan. Pihak yang mencadangkan pindaan sepatutnya lebih berhati-hati menggunakan istilah ‘harta sepencarian’ dan tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan dalam perkara yang sudah jelas. Pindaan ini perlu ditolak kerana tidak relevan dan bertentangan dengan hukum syarak.
3.Cadangan pindaaan kepada seksyen 52 ialah untuk membolehkan suami, selain daripada isteri, memohon fasakh. Dalam Islam, kedua-dua pihak berhak menuntut fasakh sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetatpkan. (Ibn Rusyd, Bidayatul Mujtahid (Vol.II), 1991, Kuala Lumpur : Victory Agency. ms 455). Walaupun suami mempunyai hak menceraikan isteri, perbezaan pembubaran perkahwinan melalui fasakh ialah suami tidak perlu membayar mut’ah kepada isteri. Permohonan fasakh biasanya mengambil masa kerana hakim akan melihat kes dengan teliti sebelum membuat keputusan membubarkan perkahwinan atau tidak, secara adil dan saksama. Pindaan yang dicadangkan ini boleh diterima kerana hukumnya telah sedia ada.
4. Cadangan memotong seksyen 58 mengenai kuasa-kuasa Mahkamah memerintahkan pembahagian harta sepencarian daripada Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Pemotongan ini tidak wajar kerana perintah Mahkamah di bawah seksyen 58 adalah selaras dengan hukum syarak dan tidak ada sebab untuk memotongnya. Sekiranya dipotong, tiada peruntukan dalam akta ini untuk dijadikan panduan pihak-pihak yang menuntut harta sepencarian.Oleh itu, cadangan pemotongan itu wajar ditolak.
5. Cadangan memasukkan subseksyen (e) ke dalam Seksyen 73(1) yang menyentuh mengenai kuasa mahkamah memerintahkan nafkah bagi kanak-kanak. Pindaan ini tidak wajar dan tidak selaras dengan hukum syarak kerana tuntutan nafkah tidak seharusnya berasaskan kepada tuntutan seorang ayah untuk berpoligami. Tanggungjawab memberi nafkah ini adalah berterusan tanpa mengambil kira keinginan ayah untuk berpoligami atau tidak. Sekiranya ayah mengabaikan nafkah anak tanpa alasan yang munasabah, tuntutan boleh dibuat bagi pihak anak itu di bawah seksyen 73(1)(a). Oleh yang demikian, pindaan ini perlu ditolak kerana tidak relevan dan tidak selaras dengan hukum syarak.
6. Cadangan memasukkan seksyen baru iaitu seksyen 107A mengenai perintah larangan terhadap pelupusan harta sepencarian akan menimbulkan banyak masalah bagi kedua-dua pihak. Untuk sesuatu prosiding tuntutan harta sepencarian oleh suami atau isteri, adalah wajar untuk mendapatkan perintah mahkamah menegah pihak yang memegang geran/hakmilik daripada melupuskan harta tersebut. Walau bagaimanapun, cadangan yang dikemukakan ini seolah-olah memberi ruang tuntutan seluas-luasnya dalam mana-mana prosiding antara suami isteri yang belum selesai. Perintah larangan yang dicadangkan ini adalah lebih baik dihadkan kepada prosiding tuntutan harta sepencarian sahaja dan bukan meluas kepada mana-mana prosiding antara suami isteri yang belum selesai. Oleh itu, peruntukan yang dicadangkan ini tidak perlu diletakkan berasingan sebaliknya dimasukkan dalam seksyen 58 yang sedia ada dan dihadkan kepada tuntutan harta sepencarian sahaja.
7. Cadangan memasukkan seksyen 122 yang menyentuh kuasa mahkamah untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian. Pada asalnya, seksyen ini telah dipotong melalui pindaan yang telah dibuat pada tahun 1994. Peruntukan yang dicadangkan ialah sebenarnya peruntukan yang terkandung dalam seksyen 58 yang dicadangkan untuk dipotong dalam rang undang-undang ini. Peruntukan seksyen 58 ini, pada asalnya, berada di dalam Bahagian V akta, iaitu Bahagian Pembubaran Perkahwinan.
Peruntukan dalam seksyen 58 dipindahkan dari Bahagian V ke Bahagian VIII, iaitu Bahagian Lain-lain adalah difahami untuk mengeluarkan tuntutan harta sepencarian semata-mata akibat perkahwinan yang dibubarkan, kerana pindaan lain yang dicadangkan dalam rang undang-undang ini termasuk dalam tuntutan yang boleh dibuat oleh isteri apabila suami memohon untuk berpoligami. Berdasarkan hujah-hujah yang telah dibentangkan sebelum ini, amalan undang-undang Islam di Malaysia membenarkan tuntutan harta sepencarian dibuat setelah ikatan perkahwinan terputus dan bukan disebabkan suami berpoligami. Pindaan ini perlu ditolak kerana tidak relevan dan seksyen 58 perlu dikekalkan.
Setelah meneliti cadangan pindaan yang dibuat, banyak perkara-perkara yang dicadangkan sebenarnya berada dalam budi bicara Hakim Syarie. Hakim bertanggungjawab membuat keputusan yang terbaik dan perintah-perintah yang munasabah bagi menjamin keadilan untuk kedua-dua pihak. Membuat peruntukan yang terlalu banyak atau terlalu terperinci akan membataskan kebebasan Hakim Syarie dalam membuat keputusan.
Adalah menjadi harapan supaya Rang Undang-undang Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Pindaan 2005) dikaji semula dan tidak diluluskan sebelum dipertimbangkan oleh semua pihak semasak-masaknya. Pihak kerajaan tidak sepatutnya menghalang mana-mana pihak untuk menyuarakan pendapat kerana ini adalah sebahagian daripada jaminan hak yang diberikan kepada warganegara Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.
 
22 Disember 2005
Unit Undang-undang
Dewan Muslimat PAS Pusat

0 Comments:

Post a Comment