Ahad, November 27, 2005

PASIR MAS, 27 Nov (Hrkh) – Wartawan yang sedang menunggu untuk memasuki tempat penamaan calon di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim 1 pagi tadi terkejut dengan perarakan beramai-ramai penduduk Cina dan India yang membawa bendera PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke Madrasah An Nur di Kubang Bemban.

Mereka pada awalnya beranggapan perarakan calon PAS sudah bermula, sebaliknya kehadiran ribuan penyokong Barisan Alternatif itu sebenarnya untuk menyertai puluhan ribu penyokong PAS yang sudah berada di Kubang Bemban.
Ekoran itu jurugambar dari pelbagai media menghala kamera mereka kepada perarakan tersebut.
“Ini benar-benar mengejutkan, saya tidak pernah tengok orang Cina dan India begitu ramai mengiringi calon PAS pada pilihan raya kecil sebelum ini. Saya ingat perarakan calon PAS sudah bermula, kerana mereka berarak dalam jumlah yang begitu ramai,” kata seorang wartawan akhbar berbahasa Cina.
Perarakan penyokong bukan Muslim itu menghala ke Kubang Bemban melalui kawasan itu pada jam 8.25 pagi.
Jurugambar akhbar sekali lagi berkejar untuk merakam sudut menarik apabila seorang wanita tua sedang menjunjung bakal buluh yang bertindan-tindan di atas kepalanya ketika melalui kawasan tersebut.
 
Kawasan bandar Pasir Mas mulai sesak sejak jam 7.30 pagi, apabila penyokong dari dua parti dan calon bebas menuju ke tempat perarakan masing-masing. Kesesakan lebih ketara lagi apabila FRU datang bersama kenderaan termasuk trak ‘water-canon’, bas dan trak pengangkut di kawasan terbabit.
Peniaga-peniaga juga mengambil kesempatan membuka gerai perniagaan masing-masing di sekitar tempat penamaan calon. Peniaga makanan tidak ‘menang tangan’ melayan serbuan penyokong parti sejak awal pagi lagi.
Selain itu, Masjid Besar Pasir Mas menjadi ‘hotel’ bagi penyokong parti yang datang dari luar Kelantan sehingga tandas kekeringan air.

0 Comments:

Post a Comment